Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, November 9, 2012

Warga setia kuasai bahasa kebangsaan

Warga setia 

kuasai bahasa kebangsaan

Menghairankan kerana selepas merdeka selama lebih 55 tahun dengan persetujuan menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan, penggunaannya masih menjadi persoalan. Terbaru ialah usaha untuk meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris dalam negara.

Diakui bahasa Inggeris sudah pun menjadi bahasa antarabangsa yang sepatutnya boleh dikuasai rakyat. Usaha juga perlu dilaksanakan supaya semua lepasan sekolah dan universiti kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.



Tetapi apakah penguasaannya hanya boleh dilakukan dengan mengabai atau memperlekehkan bahasa Melayu hingga ada pula beberapa kerat rakyat yang mahu sekolah Inggeris, iaitu sekolah dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, dikembalikan?


Apakah ini saja jalannya untuk memastikan seseorang pelajar fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris? Mestikah penguasaan baik bahasa Inggeris hanya boleh dicapai dengan mengabaikan bahasa Malaysia?



Tak serius guna bahasa Malaysia



Sehingga sekarang masih terdapat sebilangan rakyat negara ini yang berterusan tidak serius berhubung penggunaan bahasa Malaysia hingga ada lepasan sekolah, khususnya dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang tidak boleh bertutur atau memahami bahasa Melayu dengan baik.


Persoalan mengenai penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah tidak seharusnya timbul lagi, begitu juga pandangan bahawa hanya dengan wujudnya sekolah bahasa Inggeris barulah rakyat negara ini boleh menguasai bahasa itu.

Dalam keghairahan mahu rakyat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, janganlah kita meminggirkan bahasa Malaysia. Ia sudah pun diterima sebagai bahasa kebangsaan. Semua yang mengakui warga negara ini seharusnya bersedia mendukung dan mencintai bahasa Malaysia, iaitu bukan sekadar memahami tetapi juga boleh bertutur dengan baik.

Bahasa Malaysia sebenarnya adalah tonggak kenegaraan dan kedudukannya juga mengatasi bahasa lain termasuk bahasa sukuan. Hakikat ini perlu difahami oleh semua rakyat negara ini tanpa berdolak dalih lagi.


Justeru, semua individu yang mengakui cintakan negara ini tidak harus terikut dengan kemahuan pendukung sekolah Cina yang tidak serius mahukan lepasan sekolah itu dapat menguasai bahasa Malaysia dengan baik.



Pembelajaran Bahasa Melayu di SJKC pada masa ini hanyalah seperti melepaskan batuk di tangga, iaitu untuk pelajar mereka lulus dalam mata pelajaran itu dan memperoleh sijil persekolahan.


Sudut perkauman sempit



Itulah juga kenapa hingga sekarang persatuan seperti Dong Zong tetap tidak berganjak daripada syarat bahawa semua guru yang mengajar Bahasa Melayu mesti boleh bertutur bahasa Mandarin. Apa kena mengena pembelajaran Bahasa Melayu dengan penguasaan bahasa Mandarin? Malah jika guru yang mengajar Bahasa Melayu tidak tahu bahasa Mandarin, keadaan ini akan memaksa muridnya berusaha mempelajarinya untuk berinteraksi dengan guru.

 
Kesimpulan yang boleh kita andaikan ialah puak Dong Zong dan sekutunya tidak mahu menerima bahasa Melayu sebagai tonggak negara. Mereka tidak mahu menerima usaha memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu di SJKC kerana kononnya masyarakat Cina membantah. Mereka ini jugalah yang berterusan melihat semuanya dari sudut perkauman sempit.

 
Selagi mereka tidak bersedia berperasaan terbuka, selagi itulah syak wasangka terhadap puak begini tidak dapat diketepikan. Justeru, orang Melayu tidak harus terpesong dengan kehendak melampau begini yang tidak mahu menunjukkan mereka benar-benar adalah warga negara yang mencintai negara sendiri dan sanggup mendukung tonggak kenegaraan dengan menghormati bahasa kebangsaan.

 
Puak ini jugalah apabila dipersoalkan kesetiaan mereka terhadap negara ini akan melenting kononnya mereka juga adalah rakyat yang setia dan cintakan negara. Kesetiaan apa kalau bahasa negara sendiri pun diabaikan dan seolah-olah tidak mahu mengiktirafnya?

 
Kini pihak berkuasa perlu pula mengadakan lagi kempen Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan semula pada 2010 untuk mempromosikan kedudukan bahawa kita adalah “satu bahasa, satu bangsa dan satu negara”. Puak yang tidak mengendahkan penggunaan bahasa Melayu sepatutnya berasa malu dengan ratusan ribu rakyat asing yang selepas berada di sini beberapa bulan saja sudah boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.

 
Sepatutnya selepas begitu lama mencapai kemerdekaan, soal terhadap tahap penguasaan bahasa Melayu oleh sesetengah rakyat tidak harus wujud lagi. Mereka yang mengakui diri sebagai warga setia yang cintakan negara tidak akan sesekali mengabaikan bahasa kebangsaan.

Penulis Felo Kanan di UKM
 
 
 
 http://1.bp.blogspot.com/-m_YUIbzWG9c/Tqn7XULgS5I/AAAAAAAACSw/7VKpf-F3UqY/s1600/bahasa%2Bjiwa%2Bbangsa.jpg
Teruskan membaca..

Wednesday, November 7, 2012

Renung-renungkan

Hati dan Kehidupan

Jagalah hati kamu dengan segala kewaspadaan kerana di situlah terpancar kehidupan.

Kasih

Kasih itu indah bila diberikan dengan hati yang tulus.

Jangan dikenang masa lalu
Jangan melihat masa lalu dengan berduka; ia tak akan kembali lagi. Hadapilah masa sekarang dengan bijaksana dan sambutlah bayangan masa depan tanpa keraguan juga disertai dengan keteguhan hati.
 
Menyimpan kebencian
Jika kita menyimpan kebencian dan dendam, maka seluruh masa dan fikiran yang kita miliki akan habis dan kita tidak akan pernah menjadi orang yang produktif.
 
Kehidupan
Jangan terlalu bergantung kepada kesihatan dan kekayaan, kerana dalam sekelip mata ia dapat berubah menjadi penyakit dan kemiskinan.
 
Menunda
Pernahkah kita sedari bahawa semakin lama kita menunda sesuatu yang harus dilakukan, semakin susah pula untuk kita memulakannya?
 
Masa
Janganlah merenung masa lalu dengan berduka, hadapilah masa kini dengan sebaik-baiknya.

Akhlak yang baik
Akhlak yang baik akan tercermin dalam perilakunya sehari-hari terhadap sesiapapun, kata-kata yang keluar terasa menyejukkan, bersih dan tak pernah ada yang meluka.
 
Peribadi yang unggul
Seseorang yang mempunyai peribadi yang unggul itu pantang membuat sesuatu yang sia-sia. Dia akan sangat menjaga masa, sebab semua yang diperbuat itu memerlukann masa.
 
Keyakinan pada kebenaran
Orang yang pasti beruntung adalah orang yang setiap hari bertambah kekuatan iman dan keyakinannya terhadap kebenaran.

 

Lautan hidup

Dunia ini umpama lautan yang luas. Kita adalah kapal yangg belayar di
lautan telah ramai kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah
iman dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di
lautan hidup ini.


Hidup dalam kenangan
Hidup tidak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam
kenangan.

Kejujuran
Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu
penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi
mainan orang.

Hati yang terluka
Hati yang terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali
kepada bentuk asalnya.

Kerendahan hati

Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada
kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.

Ikhlas
Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan
keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia
akan pecah.

Kegagalan dalam kemuliaan
Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak.

Insan suci
Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada
insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan.

Kata-kata
Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang lebih keras dari
batu.Tetapi kata-kata yang kasar dapat mengasarkan hati yang lunak seperti
sutera.

Agama dan manusia
Agama tidak pernah mengecewakan manusia. Tetapi manusia yang selalu
mengecewakan agama.

Perempuan itu cantik…
Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. Akal
mengatakan perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya. Dan
hati mengatakan perempuan itu cantik atas dasar akhlaknya.

Keikhlasan umpama semut
Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di
malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat.

Pengorbanan
Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan.
Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan.
Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan
kebahagiaan.


Marah
Sifat pemarah adalah sifat tercela dan sangat dianjurkan bagi umat Islam menghindarinya.

 

Keberanian dan kesabaran

Mencegah suatu keburukan memerlukan keberanian, namun harus diiringi dengan kesabaran. Tidak ada keberanian yang sempurna jika tidak disertai dengan kesabaran.

 
Teruskan membaca..

Tuesday, November 6, 2012

SPM, STPM ujian penting tentukan masa depan


Minda Pengarang:

 SPM, STPM ujian penting tentukan

masa depan

Seramai 472,541 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai semalam hingga 6 Disember dan 67,202 pelajar pula menduduki peperiksaan Penggal 1 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Kedua-dua peperiksaan adalah ujian penting bagi seseorang pelajar untuk menentukan pencapaian dalam akademik dan arah tuju masa depan. Tentunya peperiksaan adalah fasa penting dalam kehidupan selepas seseorang pelajar bertahun-tahun menghabiskan masa di sekolah untuk menimba ilmu dan pergaulan sosial bersama rakan sebaya serta guru. Calon peperiksaan perlu memahami setiap soalan yang dikemukakan dan perlu menjawab mengikut apa yang disoal, bukan apa yang difahami.

Kesilapan menjawab dengan tepat boleh menjejaskan pemarkahan. Mereka wajar meneliti setiap soalan yang dikemukakan dan menjawab dengan tepat dan sempurna mengikut masa yang diberikan. Mereka juga perlu memastikan tulisan yang terang dan bersih ketika menjawab soalan karangan dalam subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Hindarkan bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berkecamuk dari segi ejaan dan tatabahasa. Kegagalan mengikut arahan yang diberikan boleh menjejaskan markah. Dalam hal ini peranan ibu bapa amat penting sebagai guru kedua di rumah untuk memberi panduan kepada anak sebelum ke dewan peperiksaan.


Ada beberapa kes terpencil sebelum ini pelajar yang dianggap cemerlang di sekolah gagal mencapai keputusan terbaik dalam SPM dan STPM kerana gagal menjawab dengan tepat soalan yang dikemukakan. Kita harap semua calon mampu memberi jawapan terbaik bukan saja untuk diri dan keluarga, juga masa depan Malaysia.


Ketika ini sudah ada beberapa negeri dilanda banjir. Penduduk di beberapa kawasan di Selangor, Johor dan Melaka sudah menerima tempias tengkujuh dan terpaksa berpindah. Tengkujuh juga dijangka mengancam negeri Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu. Kita yakin Kementerian Pelajaran sudah bersiap sedia dengan kemudahan untuk menangani penempatan calon di kawasan yang dilanda banjir. 


Sejarah membuktikan kerjasama pelbagai agensi berjaya memastikan tumpuan calon tidak terjejas menghadapi peperiksaan. Justeru, setiap pelajar harus memberi tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan untuk mencapai kejayaan cemerlang demi masa depan diri sendiri, keluarga dan negara. Kejayaan serta kecemerlangan akademik adalah impian bersama dan calon peperiksaan perlu jadikan SPM dan STPM sebagai landasan untuk lebih berjaya pada masa depan.




Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MindaPengarang_SPM_STPMujianpentingtentukanmasadepan/Article/index_html
Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...