Sahabat Maya :

Tuesday, November 6, 2012

SPM, STPM ujian penting tentukan masa depan


Minda Pengarang:

 SPM, STPM ujian penting tentukan

masa depan

Seramai 472,541 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai semalam hingga 6 Disember dan 67,202 pelajar pula menduduki peperiksaan Penggal 1 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Kedua-dua peperiksaan adalah ujian penting bagi seseorang pelajar untuk menentukan pencapaian dalam akademik dan arah tuju masa depan. Tentunya peperiksaan adalah fasa penting dalam kehidupan selepas seseorang pelajar bertahun-tahun menghabiskan masa di sekolah untuk menimba ilmu dan pergaulan sosial bersama rakan sebaya serta guru. Calon peperiksaan perlu memahami setiap soalan yang dikemukakan dan perlu menjawab mengikut apa yang disoal, bukan apa yang difahami.

Kesilapan menjawab dengan tepat boleh menjejaskan pemarkahan. Mereka wajar meneliti setiap soalan yang dikemukakan dan menjawab dengan tepat dan sempurna mengikut masa yang diberikan. Mereka juga perlu memastikan tulisan yang terang dan bersih ketika menjawab soalan karangan dalam subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Hindarkan bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berkecamuk dari segi ejaan dan tatabahasa. Kegagalan mengikut arahan yang diberikan boleh menjejaskan markah. Dalam hal ini peranan ibu bapa amat penting sebagai guru kedua di rumah untuk memberi panduan kepada anak sebelum ke dewan peperiksaan.


Ada beberapa kes terpencil sebelum ini pelajar yang dianggap cemerlang di sekolah gagal mencapai keputusan terbaik dalam SPM dan STPM kerana gagal menjawab dengan tepat soalan yang dikemukakan. Kita harap semua calon mampu memberi jawapan terbaik bukan saja untuk diri dan keluarga, juga masa depan Malaysia.


Ketika ini sudah ada beberapa negeri dilanda banjir. Penduduk di beberapa kawasan di Selangor, Johor dan Melaka sudah menerima tempias tengkujuh dan terpaksa berpindah. Tengkujuh juga dijangka mengancam negeri Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu. Kita yakin Kementerian Pelajaran sudah bersiap sedia dengan kemudahan untuk menangani penempatan calon di kawasan yang dilanda banjir. 


Sejarah membuktikan kerjasama pelbagai agensi berjaya memastikan tumpuan calon tidak terjejas menghadapi peperiksaan. Justeru, setiap pelajar harus memberi tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan untuk mencapai kejayaan cemerlang demi masa depan diri sendiri, keluarga dan negara. Kejayaan serta kecemerlangan akademik adalah impian bersama dan calon peperiksaan perlu jadikan SPM dan STPM sebagai landasan untuk lebih berjaya pada masa depan.




Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MindaPengarang_SPM_STPMujianpentingtentukanmasadepan/Article/index_html

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...