Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, January 22, 2012

DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)



SOALAN LAZIM BERKAITAN

DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA

MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS

(MBMMBI)










1.
Apakah itu Dasar MBMMBI?


Dasar MBMMBI ialah dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memastikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah serta memastikan murid boleh menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dengan fasih dan betul.


2.
Apakah perbezaan antara Dasar PPSMI dan Dasar MBMMBI?


Dasar PPSMI menetapkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran (p&p) sains dan matematik di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah menengah.

Dasar MBMMBI menetapkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil di sekolah jenis kebngsaan Tamil.


3.
Bagaimanakah Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah?


Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah melalui pendekatan mengembalikan peranan bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik, meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris melalui pelaksanaan tambahan waktu p&p, transformasi kurikulum, peningkatan kapasiti guru dan sumber manusia, penyediaan bahan dan peralatan serta mengintegrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam p&p.


4.
Mengapakah Dasar MBMMBI diperkenalkan?


Kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak mendapati PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan. Hasil kajian juga mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Hal ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan. Kajian KPM juga menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan p&p sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.


5.
Bagaimanakah pendekatan soft landing dilaksanakan di sekolah?


Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat (soft landing) mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, p&p sains dan matematik boleh menggunakan bahasa Inggeris dan/atau bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan cina, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Tamil di sekolah jenis kebangsaan Tamil. Ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan. Soft landing membolehkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah yang telah mengikuti p&p sains dan matematik dalam BI pada atau sebelum tahun 2010 meneruskan penggunaan BI sehingga tamat Tingkatan Lima berdasarkan kesediaan guru dan murid di sekolah. Dengan pendekatan soft landing ini, p&p matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada tahun 2021.


6.
Bagaimanakah guru dilatih untuk melaksanakan Dasar MBMMBI?


KPM telah merancang dan melaksanakan pelbagai program di bawah dasar MBMMBI untuk melatih guru Bahasa Inggeris dalam perkhidmatan untuk meningkatkan profesionalisme guru dan juga melengkapkan guru dengan kemahiran selaras dengan pembangunan pendidikan nasional. ELTC telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program serta kursus berikut:
  1. Training of Trainers for English Language Lecturers in Institutes of Teacher Education (ELITE-ToT) untuk Pensyarah IPG
  2. Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris
  3. Reinforcing English Language Teaching for Non-Option English Language Teachers (RELTNOTe) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang tidak mengikuti C-PELT
  4. Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH) untuk meningkatkan kemahiran bertutur dan berkomunikasi dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 di sekolah-sekolah Band 3 – 5

BPG juga mengendalikan program latihan dan peningkatan profesionalisme guru bagi mata pelajaran BM dan BI:

Latihan untuk bahasa Malaysia:
i. Kursus Pendek Kelolaan Institusi (KPKI)
ii. KDP 4 Minggu
iii. Kursus Kolaboratif Dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Latihan untuk bahasa Inggeris:
i. Kursus Pemantapan Profisiensi Guru Bukan Opsyen bahasa Inggeris
ii. Kursus Peningkatan Pedagogi Guru Opsyen bahasa Inggeris
iii. Latihan Guru Kontrak bahasa Inggeris



7.
Bagaimanakah kita memastikan guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang berkualiti?(BPG/ELTC/IPGM)

Institut Pendidikan Guru

a. IPG akan memantau prestasi / penglibatan guru-guru baru ini selama 6 bulan selepas tamat pengajian dan di tempatkan disekolah.
b. “Teacher Study “ untuk guru-guru bagi memastikan prestasi mereka di sekolah.
c. Lengkapkan guru pra perkhidmatan dengan kemahiran pedagogi yang sesuai dengan pelbagai kebolehan dan gaya pembelajaran murid.
d. Bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) – ada komponen Amalan Professional, Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum.

Bagi PBS, pelajar akan mengikuti setiap semester pengajian.
Praktikum – 3 kali praktikum :
a. Semester 5 – 4 minggu
b. Semester 6 – 8 minggu
c. Semester 7 – 12 minggu

Semester 8 – pelajar akan menjalani internship di mana kajian permasalahan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kajian ini dapat membantu pelajar ini di sekolah sebagai guru permulaan.

Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT) telah dibangunkan sebagai satu inisiatif ELTC untuk membantu guru-guru bahasa Inggeris mengenalpasti keperluan latihan professional mereka serta memberi petunjuk untuk pembangunan profesionalisme secara berterusan. Selain itu, ianya juga boleh dijadikan panduan dalam merancang, mereka bentuk dan mengurus program pembangunan profesionalisme untuk guru-guru bahasa Inggeris.

Di samping itu, instrumen PSELT yang berunsur self-evaluative juga telah dibina dan akan dapat diakses secara atas talian oleh guru bahasa Inggeris untuk mengenalpasti keperluan latihan profesional serta memohon untuk mengikuti kursus yang diperlukan untuk pembangunan profesionalisme secara berterusan.


8.
Bagaimanakah KPM memastikan guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris mencukupi bagi menampung penambahan waktu pengajaran matapelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?


ELTC melaksanakan Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang mengajar matapelajaran Bahasa Inggeris di sekolah rendah di seluruh Malaysia. Kursus ini merupakan kursus tambah opsyen.
BPG melaksanakan 2 jenis program bagi tujuan tersebut:
i. Program Intervensi Tambah Opsyen guru-guru Sains dan Matematik sekolah menengah yang telah berkhidmat antara 1 – 5 tahun
ii. Program Latihan Guru Kontrak bahasa Inggeris guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara dari seluruh negara


9.
Apakah peranan guru penutur jati dalam membantu meningkatkan pencapaian Bahas Inggeris?


Pada tahun 2008 KPM telah bersetuju untuk mengambil penutur jati bahasa Inggeris sebagai pakar atau mentor kepada guru dan pensyarah Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan institusi pendidikan guru di negara ini. Keputusan dibuat untuk melaksanakan Program Penutur Jati Bahasa Inggeris mulai 2011 hingga 2013.

Petunjuk Prestasi Utama Program Penutur Jati adalah untuk meningkatkan kapasiti guru bahasa Inggeris di 1800 buah sekolah rendah dan pensyarah di lima Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah dikenal pasti sebagai Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris (PKBI, iaitu:
  1. IPG Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak
  2. IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Sabah
  3. IPG Kampus Dato’ Razali Iamail, Kuala Terengganu, Terengganu
  4. IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur, dan
  5. English Language Teaching Centre, Kuala Lumpur
Peranan Training Fellows (TF) yang ditempatkan di setiap PKBI adalah untuk menjadi mentor dan coach kepada pensyarah Bahasa Inggeris dengan tujuan membantu dalam pembangunan profesionalisme pensyarah tersebut. Selain itu, TF juga bekerjasama dengan pensyarah dalam membangunkan program latihan. Tugas yang dilaksanakan oleh TF adalah sejajar dan selaras dengan keperluan dankehendak institusi.

Mentor yang terlibat di sekolah rendah adalah untuk membantu guru bahasa Inggeris dalam aspek seperti berikut:
a. Perancangan dan pelaksanaan program peningkatan profesionalisme guru Bahasa Inggeris;
b. Pengendalian program/kursus/ bengkel/ latihan dalam kluster dan zon
c. Kerjasama dengan pakar dari luar negara yang lain dalam kluster dan zon
d. Perkhidmatan pakar dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti ko-kurikulum
e. Bantuan dalam aktiviti sokongan pengajaran dan pembelajaran
f. Pelaksanaan aktiviti penyelidikan yang sesuai
g. Kerjasama dengan pihak KPM dalam pengendalian penilaian program
h. Pembentukan pasukan jurulatih yang berpotensi di dalam kalangan guru sekolah


10.
Apakah bahan yang dibekalkan untuk menjayakan Dasar MBMMBI?


English Language Teaching Centre (ELTC) telah menyediakan bahan bagi meningkatkan profesionalisme serta memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru:
a. Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT)
· Untuk pembangunan profesionalisme guru bahasa Inggeris, ELTC telah menerbitkan buku Pedagogy Standards for English Language Teaching yang membolehkan guru bahasa Inggeris mengenalpasti keperluan latihan profesional mereka.

b. Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH)
· Buku Panduan Guru OPS-English yang membolehkan guru melaksanakan P & P untuk pelajar Tingkatan 1 tahun 2012 dalam kemahiran bertutur dan berkomunikasi dengan lebih berkesan.
· CD Audio-Video (Teacher’s CD) yang membolehkan guru melaksanakan pengajaran kemahiran bertutur dan berkomunikasi dengan lebih efektif.
· OPS-ENGLISH Student’s Handbook untuk pelajar.

Bahagian Teknologi Pendidikan telah menyediakan dan membekalkan bahan digital pengajaran dan pembelajaran ke semua sekolah. Bahan tersebut merupakan bahan perisian kursus pendidikan khusus bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Bahan digital ini berbentuk CD Stand-alone yang dapat dijalankan di semua komputer. Bahan diterapkan dengan unsur didik hibur di samping menitikberatkan kemahiran berbahasa.


11.
Bagaimanakah penggunaan makmal bahasa dapat membantu dalam penguasaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?


Makmal bahasa merupakan salah satu inisiatif ICT yang menjadi agenda utama dalam pelaksanaan dasar MBMMBI. Infrastruktur makmal bahasa akan dilengkapi dengan alat pandang dengar, perisian kawalan murid dan perisian interaktif Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang lebih menitikberatkan dalam penguasaan berbahasa.


12.
Bagaimanakah pentaksiran dilaksanakan di sekolah?


Pentaksiran di sekolah akan dilaksanakan dalam dua bentuk iaitu;
  • Pentaksiran Formatif iaitu pentaksiran pada peringkat pembentukan dengan tujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan pembelajaran (pentaksiran pembelajaran atau assessment for learning)
  • Pentaksiran Sumatif iaitu pentaksiran pada peringkat merumuskan dengan tujuan untuk mengetahui sejauh mana murid telah belajar dan menguasai apa yang dipelajari (pentaksiran tentang pembelajaran atau assessment of learning)
Pentaksiran formatif memberi tumpuan bukan semata-mata kepada membuat ujian, memeriksa, merekod skor murid dan membuat analisis kepada skor malahan yang lebih penting ialah melihat perkembangan pembelajaran murid dan aktiviti memberi maklumbalas kepada sesiapa sahaja yang memerlukan terutama murid sendiri. Oleh itu, pelaporan bertulis tidak perlu dibuat secara berkala sebaliknya, guru mestilah mampu memberinya secara bertulis atau verbal apabila dikehendaki pada bila-bila masa oleh mana-mana pihak berkepentingan seperti ibu bapa, guru besar atau nazir.

Pentaksiran sumatif dilaksanakan dengan guru membuat pertimbangan tentang tahap penguasaan murid dalam pembelajaran menggunakan pelbagai maklumat (kuantitatif dan kualitatif) yang diperoleh melalui pelbagai aktiviti pentaksiran. Maklumat tersebut perlu dinilai dan dilaporkan oleh guru untuk digunakan pula oleh guru lain yang akan meneruskan pengajaran murid di semester atau tahun berikutnya. Sekali lagi guru tidak perlu membandingkan murid dengan murid yang lain sama ada secara kuantitatif atau kualitatif.


13.
Adakah soalan peperiksaan awam bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat UPSR, PMR dan SPM dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau dwibahasa?

Selaras dengan soft-landing MBMMBI, soalan peperiksaan awam bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat UPSR, PMR dan SPM akan dibuat dalam dwibahasa sehingga tahun 2020. Selepas daripada tahun 2020 semua soalan bagi kedua mata pelajaran tersebut akan dibuat dalam Bahasa Malaysia. Ini adalah selaras dengan hasrat MBMMBI.


14.






Bagaimanakah Dasar MBMMBI akan membantu murid menghadapi cabaran dari segi bahasa pengantar dalam pembelajaran Matematik dan Sains di peringkat prauniversiti?

Di bawah Dasar MBMMBI, KPM sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa p&p bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan p&p di bilik darjah. Oleh itu, pelaksanaan Dasar MBMMBI diharapkan dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid bagi membantu mereka meneruskan pengajian di peringkat prauniverisiti mahupun universiti.















Teruskan membaca..

Facebook, Twitter antara punca cerai


Facebook, Twitter antara punca cerai









Perhatian, penuh kasih sayang, setia elak perangkap cinta siber






KADAR perceraian di Malaysia mengikut statistik Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) pada 2009 ialah satu kes pada setiap 15 minit. Kes perceraian membabitkan pasangan semua peringkat taraf pendidikan, kekayaan, status dan usia perkahwinan. Golongan kaya dan selebriti yang dianggap menikmati kehidupan ‘sempurna’ di mata masyarakat turut tidak terlepas mengalami keruntuhan rumah tangga.







Soal nikah dan cerai tidak boleh dipandang mudah kerana memberi kesan yang besar kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.







Perceraian ialah perkara halal paling dibenci dalam Islam, yakni perkara perlu dielak daripada berlaku melainkan untuk mencari keadilan dan menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam rumah tangga.






Hidup berumah tangga banyak cabarannya, umpama melayari bahtera di lautan gelora dan luas tanpa tepian. Justeru, setiap pasangan suami isteri perlu menggunakan pendekatan berhemah dan berlapang dada dalam mendepani rencah kehidupan berumah tangga.





Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup suami isteri melalui perasaan kasih sayang. Semua makhluk berhak mendapat kehebatan erti kasih sayang jika mereka benar-benar memahami anugerah yang Allah SWT berikan ini.






Firman Allah SWT bermaksud:






“Antara tanda-tanda kebesaran Allah SWT

ialah Dia telah mencipta untuk kamu pasangan

daripada golongan kamu sendiri,

supaya kamu cenderung dan merasa tenteram.

Dan dijadikan antara kamu

perasaan cinta dan kasih sayang.”



(Surah ar-Rum, ayat 21)








Tanpa perasaan kasih sayang, kekayaan tidak dapat menjamin kebahagiaan rumah tangga. Banyak pasangan bertaraf jutawan mengakhiri perkahwinan dengan perceraian. Selepas perceraian, harta pula menjadi rebutan sehingga dibawa kes tuntutan ke mahkamah.






Hal ini berlaku akibat terlalu terpengaruh dengan budaya masyarakat Barat yang mana apabila berlaku perceraian, soal pembahagian harta menjadi agenda utama.






Satu fenomena baru melanda masyarakat sekarang hingga menyebabkan perceraian ialah suami atau isteri mempunyai hubungan ‘pasangan maya’ di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.






Ledakan rakan maya menyebabkan banyak individu teruja dan ’lupa diri.’ Golongan ini asyik berhubung melalui alam siber khususnya berborak di laman sembang berjam-jam setiap hari.






Bermula dari alam siber lalu bertemu di dunia nyata. Bagi individu belum berkahwin, ada yang bertemu jodoh dengan rakan maya dan kekal bahagia. Masalahnya bagi mereka yang telah berkahwin menjalin cinta gelap dengan rakan maya menjadi punca keretakan rumah tangga.






Rakan maya mudah mesra, kononnya tidak ada sekatan perasaan malu kerana tidak perlu melafazkan kata-kata. Malah reaksi wajah atau gerak badan tidak diperlukan. Medium menjadi penghubung adalah bait kata yang tertera di skrin komputer atau telefon.







Dalam hubungan itulah, ada yang mengambil kesempatan atau terperangkap dengan cinta maya. Perkara ini lazimnya mudah berlaku membabitkan bekas kekasih, rakan lama dan tidak kurang dengan mereka yang sememangnya menjadikan ruang siber untuk berlagak Romeo mahupun Juliet.






Hubungan maya ini dikesan menjadi punca perceraian apabila suami atau isteri mengetahui pasangan mereka mempunyai hubungan cinta lain.






Tidak kurang juga mereka sanggup meminta cerai daripada pasangan apabila terlalu yakin dan sayang kepada pasangan maya yang dirasakan lebih sesuai dan mencintainya.







Untuk mencegah perkara ini, persahabatan maya perlu ada batasannya. Bagi mereka yang telah bergelar suami atau isteri, perlu bijak menilai tahap hubungan dengan rakan maya berlainan jantina.






Haram bagi isteri menjalin ‘hubungan mesra’ dengan lelaki lain biarpun hanya dalam alam maya. Suami perlu tegas melarang isteri jika perkara itu terjadi. Dayus jika suami mengetahui perkara itu tetapi tidak melakukan apa-apa tindakan untuk mencegahnya.






Riwayat Tabrani, dari Ammar Yasir berkata:





“Dia mendengar dari Rasulullah bersabda:

Tiga golongan yang tidak memasuki syurga

sampai bila-bila iaitu si dayus,

si wanita yang menyerupai lelaki

dan orang yang ketagih arak.”








Lalu sahabat berkata:




“Wahai Rasulullah,

kami telah faham erti orang yang ketagih arak,

tetapi apakah itu dayus?”








Lalu Rasulullah bersabda lagi:




“Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa

yang masuk bertemu dengan

ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”







Setia kepada pasangan dan sentiasa menyimpan hasrat untuk kekal hidup bersama sehingga ke akhir hayat amat penting dalam rumah tangga.






Jangan biarkan rumah tangga dilanda badai sehingga menggagalkan impian yang diikat ketika akad nikah dilakukan.





Sesungguhnya pahala amat besar bagi isteri yang mentaati suaminya. Sabda Rasulullah bermaksud:





“Apabila seseorang isteri solat lima waktu,

berpuasa pada bulan Ramadan,

memelihara kehormatan serta menutup aurat

dan taat kepada suami,

lebih berhak baginya masuk ke syurga

daripada sebarang pintu yang dia kehendaki.”


(Hadis riwayat Ibnu Hibban).





Suami dan isteri boleh mencegah hubungan jika masing-masing memberi perhatian dan mengambil berat.





Hubungan maya biasa terjadi disebabkan terasa diabaikan oleh pasangan. Bermula suka-suka dan mengisi masa lapang, akhirnya mereka terjebak dengan cinta maya yang mengundang masalah dalam rumah tangga.




Sebab itu amat penting cinta dan kasih sayang suami isteri sentiasa dipupuk dan dijaga agar tidak terdorong melakukan perkara yang dilarang agama.




Langkah JAKIM ingin menganjurkan kursus pasca perkahwinan adalah satu langkah proaktif untuk membendung gejala perceraian termasuk dalam kalangan mereka yang telah lama berumah tangga.



Tentunya satu perkara amat malang jika perkahwinan yang telah berlangsung puluhan tahun berakhir dengan perceraian berpunca perkara kecil yang sebenarnya boleh dielak.










Teruskan membaca..

Pemimpin pelajar 'berguru' di Australia



Pemimpin pelajar 'berguru' di Australia


Pelajar yang menyertai program kepimpinan pelajar di Australia
menunjukkan sijil penyertaan di Pejabat Pelajaran Johor, baru-baru ini.





Seramai 15 Ahli Majlis Pemimpin Muda Johor dari beberapa sekolah negeri ini dihantar menjalani latihan kepimpian di Alpine School Of Student Leadership (Snowy River Campus) di Melbourne, Australia, baru-baru ini.






Ketua Unit Pembangunan, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor, Roliza Rosli berkata, pada program pengantarabangsaan yang diinisiatifkan oleh JPN dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) itu, para pelajar tersebut menjalani latihan selama 12 hari di sekolah berkenaan yang merupakan sekolah kelolaan Jabatan Pendidikan Victoria.






"Modul-modul yang diterapkan adalah mengenai kepimpinan pelajar cemerlang, elemen-elemen kepimpinan, kemahiran global, komunikasi, menulis dan banyak lagi.





"Di samping latihan secara tutorial, pelajar ini juga didedahkan dengan aktiviti luar seperti papan luncur, berkayak, mendaki bukit dan merentas hutan bagi meningkatkan tahap kepimpinan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini sambil memberitahu kumpulan pelajar terbabit ditemani Jurulatih Majlis Pemimpin Muda Johor yang juga Guru Pakar Bahasa Inggeris, Sekolah Menengah Tasek Utara, Nor Fadzleen Sa'don.






Roliza berkata, sebagai persiapan sebelum menyertai program itu, kumpulan pelajar tersebut diberi latihan di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IFDR) selama enam hari.





Sementara itu, Nor Fadzleen berkata, sepanjang program tersebut kesemua pelajar menunjukkan prestasi cemerlang, malah inisiatif JPN Johor mendapat pujian daripada Jabatan Pendidikan Victoria.






"Kami juga merasa bangga kerana mereka memuji para pelajar kita yang sudah mempunyai elemen kepimpinan terpuji yang perlu dipupuk dan digilap dari semasa ke semasa.






"Mereka juga berhasrat meneruskan kerjasama pintar ini demi kebaikan bersama selaras dengan hasrat JPN yang akan menubuhkan Institut Latihan Antarabangsa Bagi Kepimpinan Pelajar tidak lama lagi," katanya.






Menurutnya, pelajar terbabit merupakan kumpulan pelajar luar negara pertama berpeluang menjalani program tersebut di Alpine School Of Student Leadership.






"Bagi melihat hasil program itu, kami meminta 15 pelajar terbabit membuat dua projek iaitu projek kemasyarakatan dan antarabangsa yang telah dikenal pasti - menyelusuri kehidupan Orang Asli di Simpang Arang Gelang Patah dan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pemimpin Pelajar Johor," katanya.






Seorang peserta, Mohammad Farhan Mohd. Fuad, 16, mengakui banyak pengalaman yang ditimba sepanjang 12 hari bergaul dengan para pelajar di sekolah tersebut.






"Dengan kebolehan dan ilmu yang dibekalkan, kami tunjukkan tarian zapin, memakai pakaian tradisional Melayu termasuk baju Melayu bagi lelaki dan baju kurung untuk perempuan, mereka tertarik dengan pakaian kita.






"Mereka juga puji kami yang dikatakan berketerampilan, berkeyakinan tinggi, berbakat dan menampakkan masa depan yang cerah," katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru.





Nurafidah Mohamad Nizam, 16, pelajar Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS) yang kali pertama ke luar negara mengakui menimba banyak pengalaman baru khususnya mengenai adat dan budaya masyarakat tempatan, cara pembelajaran yang fleksibel dan pelajarnya bersikap terbuka.





"Apa yang menarik di setiap bilik, setiap seorang daripada kami ditemani dengan rakan warga Australia yang amat peramah dan menghormati masyarakat lain," katanya yang merupakan Ketua Pengawas SIGS.









Sumber










Teruskan membaca..

Hobi Perdana Menteri

Teruskan membaca..

Antara tukang paip dan doktor




Antara tukang paip dan doktor







APA bezanya antara seorang tukang paip dan doktor? itu adalah pertanyaan daripada seorang tokoh korporat yang bergiat dalam industri perhotelan. Katanya, kedua-dua profesion itu memeriksa pesakit. Bagi doktor, pesakitnya adalah manusia manakala bagi tukang paip adalah paip yang rosak atau tersumbat. Cara mengenal pasti penyakit bagi setiap pesakit juga adalah sama.






Doktor mempunyai alat untuk memeriksa pesakit, manakala tukang paip juga mempunyai alatnya tersendiri untuk memeriksa paip yang ‘sakit’. Sebut saja apa yang dialami pesakit, seseorang doktor sudah boleh meramalkan jenis penyakit yang dihadapinya berpandukan kepada tanda-tanda yang ada pada pesakit. Bagaimanapun, seseorang doktor mungkin memerlukan ujian yang lebih teliti terhadap kesihatan seseorang pesakit kerana ia membabitkan manusia yang bernyawa.







Selepas mengetahui penyakit pesakit, doktor memberi ubat yang sesuatu atau rawatan yang diperlukan. Jika penyakit yang dialami pesakit itu kecil saja, penyakit hanya diberi rawatan biasa. Tetapi, jika memerlukan rawatan yang rapi, pesakit terpaksa melakukan pemeriksaan yang rapi.






Keadaan hampir sama juga berlaku ke atas seseorang tukang paip. Jika dipanggil untuk memeriksa masalah paip di sesebuah premis, seorang tukang paip sudah boleh menjangkakan apa yang sebenarnya berlaku daripada penjelasan yang diberikan.






Malah, mereka sudah tahu cara mengatasinya dan alat yang akan digunakan. Jika kerosakan biasa, ia hanya memerlukan rawatan yang kecil, sebaliknya rawatan yang besar akan dilakukan jika ia memerlukan pengubahsuaian tertentu.





Bagi doktor dan tukang paip, kedua-dua mereka menerima upah. Doktor menerima bayaran daripada pesakit atau keluarga mereka manakala tukang paip daripada pemilik premis.








Bagi demam biasa, seseorang doktor swasta, mengenakan bayaran antara RM30-RM50 untuk perundingan, rawatan dan ubat bagi seseorang pesakit. Bagi seseorang tukang paip pula, mereka mungkin mengenakan bayaran antara RM100-RM200 atau lebih untuk memperbaiki paip yang bocor atau rosak, bergantung kepada tahap kerosakan paip yang dialami.





Perkara yang sedikit berbeza, mungkin pelanggan kepada doktor lebih ramai berasaskan bilangan penduduk dan tahap kemudahan kesihatan di sesebuah negara. Namun, walaupun tukang paip mendapat tiga atau empat pelanggan sehari, dia mungkin boleh menyamai pendapatan seorang doktor.





Tugas tukang paip, mekanik motor, tukang elektrik, mekanik memperbaiki pendingin hawa dan sebagainya adalah hampir sama dengan doktor, malah tidak mustahil boleh dikatakan lumayan.





Di Malaysia, bilangan rumah, kenderaan, hotel, pejabat, sekolah, universiti, hospital dan sebagainya bertambah setiap masa. Setiap bangunan pasti memerlukan rawatan. Rawatan yang besar memerlukan kos yang besar, sama juga dengan kos bagi melakukan pembedahan terhadap seseorang pesakit.






Dalam konteks pembangunan negara hari ini, Malaysia menyediakan peluang pekerjaan yang sangat luas. Tidak semua orang boleh menjadi doktor atau jawatan lain yang menjadi rebutan seperti jurutera, akauntan, peguam, pensyarah dan sebagainya.





Hakikatnya, banyak profesion lain yang boleh diceburi dengan pendapatan yang lumayan. Langkah kerajaan mewujudkan banyak sekolah dan kolej vokasional adalah perancangan yang tepat dengan mengambil kira kemajuan pesat negara yang memerlukan tenaga bidang kerja penyeliaan.






Jika rakyat tidak disediakan dengan latihan vokasional, tugas ini pasti akan diambil alih oleh pendatang asing yang kian ramai. Hari ini pun, pendatang asing sudah menguasai beberapa jenis kerja yang tidak diminati rakyat tempatan.





Dalam bidang pembinaan dan perladangan, umpamanya, tugas berkenaan sudah mula dikuasai oleh pendatang asing.





Di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, contohnya, sudah ramai pendatang asing menguasai perniagaan dari pasar runcit ke kedai runcit.





Malah, perniagaan di kawasan itu juga sudah bertukar. Restoran yang menjual bakso lebih dilihat ramai pelanggan daripada restoran roti canai.




Pekerja pendatang asing juga menguasai tugas di pusat beli-belah sama ada menjadi jurujual, pelayan di hotel atau mekanik di kedai menjual alat elektrik dan komputer. Di pasar basah, pembeli rakyat negara ini menawar harga ikan dan sayur daripada penjual pendatang asing.




Begitulah keadaannya jika penduduk tempatan tidak mengambil kesempatan, tempat mereka akan diambil alih oleh pendatang asing.







Teruskan membaca..

3 bulan kaji SBPA



3 bulan kaji SBPA






DATUK Seri Najib Razak bersama Datin Seri Rosmah Mansor turun padang melihat hasil tangkapan nelayan yang menerima sumbangan selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Ihsan Samudera Peringkat Kebangsaan di Kampung Tanjung Lumpur, Kuantan, semalam.
DATUK Seri Najib Razak bersama Datin Seri Rosmah Mansor
turun padang melihat hasil tangkapan nelayan yang menerima sumbangan
selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Ihsan
Samudera Peringkat Kebangsaan di
Kampung Tanjung Lumpur, Kuantan, semalam.








Penambahbaikan untuk puas hati penjawat awam







KUANTAN: Datuk Seri Najib Razak memberi tempoh tiga bulan kepada pasukan petugas khas semakan semula Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) untuk membuat penambahbaikan dan menyediakan cadangan baru yang dapat memuaskan hati setiap penjawat awam di semua peringkat.






Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan memastikan cadangan serta penambahbaikan kepada skim berkenaan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak yang diterima sebelum ini.






Justeru, beliau yakin penjawat awam akan mendapat kepuasan menyeluruh selepas SBPA disemak semula dan diberi penambahbaikan oleh pasukan petugas khas yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam.







“Saya akui banyak menerima maklum balas mengatakan tidak berpuas hati dengan skim baru ini dan kerajaan akan mempertimbangkannya sebaik mungkin supaya ia dapat memberi kepuasan kepada semua penjawat awam.






“Kita terima jika ada kepincangan (dalam SBPA) dan berusaha memperbaikinya. Sebab itu kita tubuhkan pasukan petugas khas ini yang akan menimbang segala maklum balas dan rayuan untuk menambah baik lagi skim berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan perdana menteri bersama pegawai/kakitangan awam kerajaan/agensi kerajaan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang di sini, semalam.







Hampir 7,000 penjawat awam dari seluruh Pahang hadir pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Seri Adnan Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Sufian Ismail.





Najib sebelum ini, mengarahkan SBPA disemak semula, sekali gus menyelesaikan isu dibangkitkan berkaitan skim berkenaan, membabitkan 1.4 juta penjawat awam.







Selain itu, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan bersedia menimbangkan pemberian gaji dan bonus lebih tinggi kepada penjawat awam, tetapi ia perlu selari dengan peningkatan produktiviti perkhidmatan masing-masing.






Katanya, jika produktiviti meningkat, ia mampu menjana ekonomi lebih baik, seterusnya membolehkan kerajaan memperoleh pendapatan lebih tinggi, meningkatkan daya saing negara dan memacu sebagai negara maju.






“Daripada kita kekang pendapatan penjawat awam, lebih baik kita beri tambahan gaji dan bonus supaya mereka lebih rajin bekerja dan membantu hasil dan pendapatan kerajaan berkembang,” katanya.





Beliau turut mengakui pentingnya tanggungjawab penjawat awam dalam pentadbiran negara kerana apa jua dasar dan agenda besar bergantung kepada peranan serta sumbangan mereka.






Sementara itu, pada sidang media selepas melancarkan Program Ihsan Samudera Peringkat Kebangsaan di Kampung Tanjung Lumpur, Perdana Menteri turut mengumumkan berita baik kepada nelayan pesisir pantai bahawa mereka boleh mula memohon Skim Bantuan Perumahan (SBP) antara RM5,000 hingga RM10,000 untuk membaik pulih rumah masing-masing.






Perdana Menteri berkata, borang skim berkenaan akan diedarkan menerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) masing-masing.





Beliau berkata, peruntukan bantuan membaik pulih rumah nelayan itu adalah sebahagian daripada RM300 juta Tabung Khas Perumahan Nelayan yang diumumkan dalam Bajet 2012.





“Skim bantuan ini terbuka kepada semua nelayan pesisir pantai dan mereka boleh mengemukakan permohonan mulai sekarang dan borang akan diedarkan melalui persatuan nelayan di kawasan masing-masing,” katanya.






Lebih 20,000 orang hadir pada program itu yang juga satu daripada usaha mendukung Gagasan 1Malaysia dengan fokus kepada pelaksanaan khidmat masyarakat dalam pelbagai aspek secara turun padang dan mendekati rakyat.





Program itu didokongi sepenuhnya Yayasan 1MDB dengan usaha sama Yayasan FELDA dan kerjasama Jabatan Perikanan, Persatuan Nelayan Kebangsaan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, kementerian dan kerajaan negeri.





















Teruskan membaca..

HAPPY CHINESE NEW YEAR 2012



HAPPY CHINESE NEW YEAR 2012

KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA

YANG BERBANGSA CINA BERAGAMA BUDDHA.

Gong Xie Fa Cai

May GOOD HEALTH, PEACE, PROSPERITY,
HAPPINESS and LONGETIVITY be with you and great SUCCESS
in making BETTER and GREATER THINGS HAPPEN!





Gong Xi Fa Cai


Ang pau Lai Lai......:)



^__^



http://4.bp.blogspot.com/-NwF3FH4lLDQ/TxABWkB2SDI/AAAAAAAAD10/7-WeLVZd0wo/s1600/110114-orange-mandarin.jpg

















Gambar sekadar hiasan......









Teruskan membaca..

Saturday, January 21, 2012

Tabiat merosakkan kulit




Tabiat merosakkan kulit






Tanpa disedari kadang kala sesetengah tabiat seharian kita memberi kesan buruk pada kulit termasuk berjerawat, kusam dan kering tidak bermaya. Antara tabiat buruk tersebut termasuklah:





Bercakap di telefon terlalu lama





Menjadi kebiasaan kita meletakkan telefon bimbit di sebarang tempat termasuk di tempat-tempat berdebu seperti dalam beg, atas meja, dalam kereta dan sebagainya. Tanpa disedari ia boleh menyebabkan jerawat pada muka apabila pipi bersentuhan dengan telefon akibat bercakap di talian terlalu lama. Untuk mengelakkannya lap dulu telefon sebelum menggunakannya.





Kerap mengerutkan mata





Tabiat sesetengah daripada kita tidak gemar mengenakan kaca mata atau lensa sesentuh walaupun penglihatan agak kabur. Ini membuatkan anda mengerutkan muka dan mengecilkan mata untuk melihat objek dengan lebih jelas. Jika perbuatan ini berlarutan kesannya kulit akan cepat berkerut dan kelihatan tua.





Penggunaan penyembur rambut (hair spray)





Banyak yang menggunakan tapak tangan untuk melindungi mata ketika menggunakan penyembur rambut. Tapak tangan tidak dapat melindungi seluruh wajah kerana partikal-partikal kecil daripada penyembur rambut akan menembusi celah-celah jari dan melekat pada wajah yang boleh menjejaskan kulit. Seeloknya gunakan tuala bersih untuk melindungi wajah ketika menggunakan penyembur rambut.





Malas mengganti sarung bantal





Ketika tidur, sel-sel kulit mati di wajah akan melekat pada sarung bantal. Lama kelamaan ia menebal dan timbul bakteria. Jadi jika malas mengganti sarung bantal bermakna anda tidur di atas timbunan bakteria.





Kerap mandi air panas




Mandi air panas memang nikmat. Tapi jika terlalu kerap dan tempohnya terlalu lama, lapisan luar epidermis akan terkikis dan kulit akan jadi sangat kering. Kulit kering lebih cepat kendur dan berkedut.









Sumber













Teruskan membaca..

Ukhuwah dibajai kasih sayang serlah keikhlasan


Ukhuwah dibajai kasih sayang serlah keikhlasan








Umat hidup saling membantu dapat membangunkan Islam di persada dunia








UMAT Islam selalu dirujuk sebagai saudara seagama atau umat bersaudara kerana silaturahim yang terikat kemas oleh kepercayaan yang satu serta cara hidup sama dipandu oleh al-Quran dan hadis.








Walaupun ada kala kita tergelincir daripada jalan-Nya, ia bukan bermakna akan putus saudara atau hilang kasih dan sayang antara kita tetapi itulah hikmah bersaudara, tujuannya supaya saling menegur dan memperingatkan.









Dalam sesebuah rumah tangga, yang sering memberi teguran tentulah seorang yang paling prihatin dalam kalangan ahlinya, sama ada ia seorang bapa, ibu atau anak. Tidak kiralah siapa pun yang ikhlas membetulkan kesalahan, ia tentulah bertujuan menjadikan ahlinya lebih baik, bukan lebih buruk.








Dalam konteks yang lebih besar, umat Islam bersaudara walau tanpa pertalian darah dan kaitan kerabat. Persaudaraan atau sering disebut ukhuwah, datangnya daripada kesedaran bahawa setiap individu tidak akan mampu bersendirian kerana saling memerlukan adalah asas kekuatan bagi setiap umat Islam. Meskipun begitu, ukhuwah hanya menjadi ikhlas sekiranya kita ikhlas membajai hati dengan rasa kasih dan sayang kepada saudara seagama. Perasaan tersebutlah yang memungkinkan kita mempercayai antara satu sama lain.







Hasil daripada sifat kepercayaan terhadap saudara pula akan membawa kepada pembelaan terhadap setiap perilaku saudara seagama terutama yang baik, dan cuba membantu dalam konteks kekeluargaan sekiranya perilaku itu tidak baik, tanpa perlu menghebahkannya kepada masyarakat yang tidak menganggap mereka sebagai saudara. Ini kerana ukhuwah akan mengatasi rasa benci, menjauhi hasad dengki dan caci maki sesama insan, sebaliknya menyuburkan kebaikan dan mendekatkan manusia kepada cara hidup yang bertoleransi.








Ukhuwah amat penting dalam agama. Itulah asas yang menjadikan umat Islam bersatu dan menjernihkan yang keruh, bukan membuka jalan keaiban terhadap kekurangan dan kelalaian orang lain. Anggaplah saja sebarang kesilapan manusia sebagai lumrah dalam meniti hidup sebagai manusia, bukan menambahkan lagi rasa benci hingga sebahagian besar umat Islam hari ini saling bermusuhan, bukan saling bersaudara. Bukanlah bermakna masalah dalam setiap perhubungan insan adalah petanda kehancuran Islam, tetapi darjat persaudaraan amat penting untuk mengharmonikan setiap manusia yang menjunjung al-Quran.







Rasulullah SAW dan sahabat contohnya, telah menyemai rasa kasih dan sayang sesama mereka hingga sanggup memperjudikan nyawa untuk mempertahankan nyawa saudara yang lain. Rasulullah SAW juga memulakan pembinaan Madinah dengan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar, hingga mereka bersatu dan mengumpul kekuatan yang akhirnya menjadikan Islam teguh di persada dunia.







Melalui persaudaraan, umat Islam akan saling bekerjasama dan menolak kepentingan diri demi membina kemajuan agama dan umatnya, terutama supaya keamanan dapat dipertahankan yang sekali gus memungkinkan tanggungjawab terhadap Allah SWT dapat dilaksanakan dengan sempurna.






Allah SWT merakamkan kisah itu dalam Surah Al-Hasyr, ayat ke-9 yang bermaksud:







“Dan orang Ansar yang mendiami negeri (Madinah)

serta beriman sebelum kedatangan mereka (orang Muhajirin)

mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka

dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendakkan

kepada apa yang telah diberikan kepada orang yang berhijrah itu,

dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu

lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan

kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan sesiapa

yang menjaga serta memelihara dirinya daripada

dipengaruhi oleh tabiat bakhil maka merekalah

orang-orang yang berjaya.”








Oleh kerana itulah Rasulullah SAW yang hanya seorang manusia yang terbatas sifatnya dilantik Allah SWT untuk membawa banyak peranan dalam kehidupan. Hikmahnya ialah supaya umat Islam sehingga ke penghujung zaman pun boleh mengambil iktibar daripada setiap tindak tanduk Rasulullah, sama ada sebagai seorang pemimpin keluarga, masyarakat, sahabat, guru, usahawan, petani, panglima perang, hakim, pengembara, peneroka, malah sebagai seorang umat yang paling taat kepada suruhan Allah SWT.







Tetapi sekiranya hakikat ini tidak dipeduli, alangkah ruginya kita bernabikan baginda Rasulullah SAW, yang susur galur hidupnya menjelaskan secara terperinci kehidupan sebagai seorang Muslim yang sebenar. Bukan itu saja, keutamaan dijanjikan oleh Allah SWT kepada setiap orang mempertahankan ukhuwah akan hilang begitu saja, sedangkan Allah SWT menjanjikan kemanisan iman dan pengampunan dosa buat mereka yang bersaudara dan bersatu kerana akidah yang satu. Allah SWT juga menjanjikan naungan arasy.










Sumber















Teruskan membaca..

Ruang pejabat bersih tingkat prestasi pekerja




Ruang pejabat bersih tingkat prestasi pekerja








Amalan membudayakan kebersihan jadi terapi minda, kekang tekanan tugas




KEBERSIHAN adalah tunjang agama dan sebahagian daripada iman. Ia amat dititikberatkan dalam segenap aspek kehidupan. Buktinya, ajaran Islam memperkenalkan sistem kebersihan secara khusus melalui amalan kebersihan.
Antaranya, kaedah berwuduk, bertayamum, beristinjak, membersihkan najis, mandi hadas, mandi mayat, kebersihan diri dengan memotong kuku, menggosok gigi, membuang bulu ketiak dan ari-ari, merapikan rambut dan misai serta membersihkan hidung.







Begitu juga amalan kebersihan umum seperti memastikan kebersihan ruang solat, larangan membuang air di laluan awam, di bawah pohon yang berbuah dan dalam air bertakung. Semua contoh ini adalah cara Islam dalam menjaga kebersihan diri, orang lain dan persekitaran.






Sabda Rasulullah SAW daripada Ibn Mas’ud:






“Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih.

Dia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.”







Manakala firman Allah yang bermaksud:






“Hai orang yang berselimut.

Bangunlah, lalu berilah peringatan!

Dan Tuhanmu agungkanlah.

Dan pakaianmu bersihkanlah.”

(Surah al-Mudatthir, ayat 1-4)







Bahkan, dalam kitab fiqh ulama selalu meletakkan bab taharah (kebersihan) pada bab yang pertama tetapi sayangnya isu kebersihan dalam kalangan umat Islam sendiri masih belum berkesudahan. Walaupun setiap hari kita berwuduk dan mandi, namun amalan itu belum menjamin pembudayaan kebersihan khasnya di tempat awam termasuklah di tempat kerja sendiri.






Contoh ketara ialah kebersihan tandas di surau dan masjid yang rata-ratanya masih belum memuaskan. Ada kala lebih buruk dan kotor daripada tandas awam. Ada juga ruang solat yang kotor dengan tahi cicak, habuk, sampah serta sejadah, telekung dan kitab tidak tersusun kemas. Malang sekali apabila kebersihan rumah milik umat Islam ini masih belum boleh dibanggakan.







Justeru, perlulah diingat bahawa kebersihan bukan perkara ranting sebaliknya ia adalah perkara pokok mesti diutamakan dalam soal kerohanian dan peribadatan serta diberi keutamaan dalam urusan kehidupan.







Teori pengurusan organisasi menunjukkan kebersihan ruang pejabat dan persekitarannya bukan saja perlu untuk kelihatan kemas serta cantik, tetapi ia memberi sekurang-kurangnya tiga kesan penting iaitu meyakinkan pelanggan terhadap kualiti pengurusan serta memberi dorongan motivasi kepada pekerja.







Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:






“Sesungguhnya kamu akan berjumpa saudara kamu,

maka perelokkanlah bekalan kamu dan pakaian kamu

sehingga kamu menjadi tahi lalat dalam kalangan manusia.

Sesungguhnya Allah tidak menyukai perkataan dan perbuatan

yang keji dan keterlaluan dalam perkataan dan perbuatan.”

(Hadis riwayat Abu Daud)







Menurut Dr Mustafa al-Khin dalam Fiqh al-Manhaji, maksud menjadi tahi lalat dalam kalangan manusia dalam hadis ini ialah menonjol dan berbeza daripada yang lain kerana kebaikannya atau membentuk imej yang nantinya akan menjadi ikutan.






Penekanan terhadap aspek kebersihan dan kekemasan persekitaran ruang fizikal membabitkan peralatan, jentera, kemudahan kerusi, meja, rak fail, tandas dan sebagainya boleh dilakukan dengan mempraktikkan amalan 5S yang diperkenalkan dalam organisasi di Jepun.







Amalan 5S itu ialah seiri, seiton, seiso, seiketsu dan shitsuke. Kesemuanya bermaksud sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa praktik.






Sisih bererti mengasingkan apa yang perlu dan tidak perlu. Apa yang tidak perlu itu boleh dibuang atau dilupuskan bagi menjimatkan ruang. Kemudian, semua perlu disusun atur dan diseragamkan dengan pelbagai sistem penyimpanan seperti angka, abjad atau warna supaya memudahkan urusan mencari serta menyimpan dokumen.













Ruang dan peralatan yang ada juga hendaklah sentiasa dijaga kebersihannya dengan sentiasa disapu. Mudahnya, kita boleh memulakan sendiri dengan menjadikan amalan menyapu ruang, menyusun fail dan membuang sampah di meja sendiri sebelum atau selepas memulakan kerja sebagai tabiat setiap hari.







Ruang yang bersih, kemas lagi cantik itu akan menjadi terapi minda yang baik untuk mendorong minat kita berada di pejabat dan bekerja dengan sistematik, cekap serta cepat. Ia juga memberikan pandangan mata dan fikiran tenang, sekali gus memudahkan lahirnya idea lebih kreatif, keputusan adil serta komunikasi menyenangkan.








Semua ini sudah tentu akan mewujudkan suasana seronok dan selesa di tempat kerja selain memberi keselesaan kepada pelanggan dan imej baik kepada organisasi.







Justeru, marilah sama-sama kita menjadi pekerja dan individu yang prihatin terhadap aspek kebersihan dan kekemasan serta membudayakan sifat ringan tulang untuk menjaganya di mana juga kita berada.







Semakin kita mengutamakan kebersihan semakin baiklah perjalanan pengurusan dan semakin baik perjalanan pengurusan akan semakin baiklah hubungan kita sesama manusia serta hubungan kita dengan Pencipta.







Penulis ialah pensyarah di


Jabatan Siasah Syar’iyyah,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya (UM)










Teruskan membaca..

Friday, January 20, 2012

Guru Bahasa Inggeris AS kunjungi Najib



Guru Bahasa Inggeris AS kunjungi Najib




NAJIB Tun Razak bersama lembaga penasihat GMM pada hari terakhir
Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global 2012 (GMM)
di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan (duduk dari kiri)
Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan, Khalek Awang,
Tan Sri Razali Ismail dan Tan Sri Mohamed Jauhar Hassan.








PUTRAJAYA 19 Jan. – Sekumpulan guru Bahasa Inggeris Fullbright dari Amerika Syarikat (AS) membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di pejabatnya, di sini hari ini.





Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.






Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) itu yang tiba di Kuala Lumpur pada 4 Januari akan ditugaskan ke Johor, Pahang dan Terengganu selama 10 bulan mulai 31 Januari ini.





Dalam ucapannya, Najib berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat, semuanya adalah mengenai manusia.





“Semuanya mengenai kita, rakyat Malaysia dan Amerika yang mahu bekerjasama, yang mahu bertukar-tukar mengenai apa jua kekuatan yang kita ada. Apa cara yang lebih baik daripada dalam bidang pendidikan kerana pendidikan merupakan satu perkara yang benar-benar membawa perbezaan,” katanya.





Program ETA meningkat tiga kali ganda tahun ini berdasarkan kepada perkongsian komitmen Presiden AS, Barack Obama dan Najib bagi memperluaskan program pertukaran rakyat dengan rakyat antara AS dan Malaysia.





Najib berkata, Malaysia memberikan penekanan kepada bahasa Inggeris kerana ia amat penting bagi rakyat Malaysia untuk mempunyai daya saing.





“Ia akan menjadi langkah penting ke arah itu kerana apabila kita ada rakyat Amerika mengajar anak-anak kita, saya yakin anak-anak kita akan lebih bermotivasi dan mendapat inspirasi,” katanya. — BERNAMA





Sumber











Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...