Pemimpin pelajar 'berguru' di Australia
Seramai 15 Ahli Majlis Pemimpin Muda Johor dari beberapa sekolah negeri ini dihantar menjalani latihan kepimpian di Alpine School Of Student Leadership (Snowy River Campus) di Melbourne, Australia, baru-baru ini.
Ketua Unit Pembangunan, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor, Roliza Rosli berkata, pada program pengantarabangsaan yang diinisiatifkan oleh JPN dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) itu, para pelajar tersebut menjalani latihan selama 12 hari di sekolah berkenaan yang merupakan sekolah kelolaan Jabatan Pendidikan Victoria.
"Modul-modul yang diterapkan adalah mengenai kepimpinan pelajar cemerlang, elemen-elemen kepimpinan, kemahiran global, komunikasi, menulis dan banyak lagi.
"Di samping latihan secara tutorial, pelajar ini juga didedahkan dengan aktiviti luar seperti papan luncur, berkayak, mendaki bukit dan merentas hutan bagi meningkatkan tahap kepimpinan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini sambil memberitahu kumpulan pelajar terbabit ditemani Jurulatih Majlis Pemimpin Muda Johor yang juga Guru Pakar Bahasa Inggeris, Sekolah Menengah Tasek Utara, Nor Fadzleen Sa'don.
Roliza berkata, sebagai persiapan sebelum menyertai program itu, kumpulan pelajar tersebut diberi latihan di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IFDR) selama enam hari.
Sementara itu, Nor Fadzleen berkata, sepanjang program tersebut kesemua pelajar menunjukkan prestasi cemerlang, malah inisiatif JPN Johor mendapat pujian daripada Jabatan Pendidikan Victoria.
"Kami juga merasa bangga kerana mereka memuji para pelajar kita yang sudah mempunyai elemen kepimpinan terpuji yang perlu dipupuk dan digilap dari semasa ke semasa.
"Mereka juga berhasrat meneruskan kerjasama pintar ini demi kebaikan bersama selaras dengan hasrat JPN yang akan menubuhkan Institut Latihan Antarabangsa Bagi Kepimpinan Pelajar tidak lama lagi," katanya.
Menurutnya, pelajar terbabit merupakan kumpulan pelajar luar negara pertama berpeluang menjalani program tersebut di Alpine School Of Student Leadership.
"Bagi melihat hasil program itu, kami meminta 15 pelajar terbabit membuat dua projek iaitu projek kemasyarakatan dan antarabangsa yang telah dikenal pasti - menyelusuri kehidupan Orang Asli di Simpang Arang Gelang Patah dan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pemimpin Pelajar Johor," katanya.
Seorang peserta, Mohammad Farhan Mohd. Fuad, 16, mengakui banyak pengalaman yang ditimba sepanjang 12 hari bergaul dengan para pelajar di sekolah tersebut.
"Dengan kebolehan dan ilmu yang dibekalkan, kami tunjukkan tarian zapin, memakai pakaian tradisional Melayu termasuk baju Melayu bagi lelaki dan baju kurung untuk perempuan, mereka tertarik dengan pakaian kita.
"Mereka juga puji kami yang dikatakan berketerampilan, berkeyakinan tinggi, berbakat dan menampakkan masa depan yang cerah," katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru.
Nurafidah Mohamad Nizam, 16, pelajar Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS) yang kali pertama ke luar negara mengakui menimba banyak pengalaman baru khususnya mengenai adat dan budaya masyarakat tempatan, cara pembelajaran yang fleksibel dan pelajarnya bersikap terbuka.
"Apa yang menarik di setiap bilik, setiap seorang daripada kami ditemani dengan rakan warga Australia yang amat peramah dan menghormati masyarakat lain," katanya yang merupakan Ketua Pengawas SIGS.
No comments:
Post a Comment