Sahabat Maya :

Wednesday, January 22, 2014

Penguasaan BI pelajar positif


Penguasaan BI pelajar positif

Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan pelajar-pelajar Malaysia 
ketika menghadiri majlis makan malam bersama Majlis Pelajar United Kingdom
 dan Ireland (UKEC) 2013/2014
 di London, semalam. - BERNAMA
 
 
 
 
 
 
 
LONDON 21 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kadar penguasaan dan kefasihan pelajar Malaysia dalam bahasa Inggeris di sekolah ketika ini berada pada tahap positif.






Menurut Timbalan Perdana Menteri, senario itu berdasarkan laporan awal Projek Kajian Asas untuk Ditanda Aras Standard Antarabangsa Bahasa Inggeris untuk Sekolah di Malaysia mengikut Common European Framework of Reference (CEFR) yang dilakukan oleh panel penilai daripada badan profesional, Cambridge English.






Beliau berkata, kajian itu bertujuan menilai tahap pembelajaran dan pengajaran dalam bahasa Inggeris serta penguasaan dan kefasihan pelajar kerana terdapat perbahasan bahawa penguasaan bahasa tersebut dalam konteks pendidikan di Malaysia sudah tidak seperti dahulu lagi.






“Sehubungan itu kita telah bersetuju bekerjasama dengan Cambridge English. Dalam kajian tersebut, pelbagai ujian dilakukan termasuk kefasihan pelajar, tahap kecekapan pelajar, keupayaan pengajaran dan amalan, penilaian semula pentaksiran peperiksaan, mengkaji kurikulum dan cara pembelajaran bahasa Inggeris di Malaysia.






“Sebanyak 426 sekolah melibatkan 31,000 pelajar, 943 bilik darjah telah diambil sebagai sampel. Laporan awal yang dibentang pada saya hari ini mendapati mutu penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar berada pada tahap positif dan mempunyai ruang untuk membaiki dan penambahbaikan. 






“Saya juga bersemangat untuk melihat laporan akhir yang akan siap pada Mac nanti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat laporan awal Projek Kajian Asas untuk Ditanda Aras Standard Antarabangsa Bahasa Inggeris untuk Sekolah di Malaysia daripada panel penilai Cambridge English di sini hari ini.





Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Dasar dan Pembangunan Pendidikan) Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Amin Senin; Ketua Penyelidik dan Pembangunan Antarabangsa Cambridge English, Dr. Hanan Khalifa dan Penolong Pengarah Kumpulan Operasi dan Penilaian Cambrige English, Martin Robinson.






Menurut Muhyiddin, daripada pembentangan awal, panel penilai memaklumkan bahawa Malaysia adalah negara pertama membuat kajian yang agak komprehensif untuk mengetahui kedudukan pembelajaran dan pengajaran serta penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.






“Saya harap setelah laporan ini siap, kita akan mendapat satu penyelesaian yang boleh diambil bagi memperbaiki dan menambah baik pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris di Malaysia.






“Kita juga telah menubuhkan badan di Malaysia yang terdiri daripada pakar-pakar bahasa Inggeris iaitu Majlis Penarafan Bahasa Inggeris untuk sekolah di Malaysia. Laporan itu akan dibentangkan kepada badan ini dan dari situlah kita boleh mengetahui tahap yang dicapai oleh pelajar Malaysia," jelasnya.






Ditanya adakah siap laporan itu nanti akan melibatkan perubahan kurikulum Bahasa Inggeris secara besar-besaran, Muhyiddin berkata, keputusan belum dibuat, semuanya bergantung kepada laporan akhir panel tersebut.





“Jika mereka mencadangkan penambahbaikan dan itu wajar dilakukan, kita akan lakukan. Tetapi pada peringkat ini, saya belum menyatakan perkara itu akan dibuat," katanya.







Beliau yang juga Menteri Pendidikan menyatakan setakat ini tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar berbeza-beza dan diharap apabila siap nanti dan dilaksanakan akan berada pada tahap yang munasabah.






“Dalam laporan awal itu mendapati 85 peratus pelajar berminat belajar dalam bahasa Inggeris manakala 97 peratus guru berminat mengajar dalam bahasa itu. Ini satu pencapaian yang tinggi jika hendak dibandingkan dengan sesetengah negara. - UTUSAN




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...