Sahabat Maya :

Monday, November 4, 2013

Tabik Tok Gajah

Tabik Tok Gajah


SHAH ALAM - Setelah 21 tahun menanti, Pahang akhirnya menamatkan kemarau juara Piala Malaysia dengan meranapkan impian Kelantan mempertahankan kejuaraan dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam.



Kejayaan Pahang itu bukan sahaja disambut dengan sorakan ribuan penyokong Pahang di stadium, malah pastinya menggembirakan setiap rakyat negeri itu yang menyaksikannya menerusi skrin televisyen yang bersiaran secara langsung. 



Sekalung tahniah buat pemain import dari Argentina, Matias Conti yang muncul wira Tok Gajah, apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-58 sudah cukup buat Pahang memahat sejarah merangkul kejuaraan ketiga dalam sejarah penganjuran Piala Malaysia selepas melakukannya (juara) pada tahun 1983 dan 1992.



Di hadapan 85,000 penonton yang membanjiri stadium, anak-anak buah Dollah Salleh sewajarnya layak dinobat sebagai juara berdasarkan aksi yang lebih berkualiti dengan penguasaan di bahagian tengah dikemudi pemain berbakat besar, Azamuddin Akil dan Mohd. Amirulhadi Zainal.



Perlawanan semalam bagaikan mengulangi keputusan 1-0 ketika mereka menang ke atas Kedah pada tahun 1992 dan lebih menggembirakan kali ini, mereka hanya dilabel sebagai underdog untuk menang tetapi berupaya mengejutkan Kelantan yang jauh lebih berpengalaman.



Selain Conti dan Azamuddin yang layak dilabel sebagai wira pasukan, aksi cemerlang yang dipamerkan oleh penjaga gol muda, Khairul Azhan Mohd. Khalid wajar diberikan pujian apabila menafikan banyak peluang The Red Warriors terutama pada penghujung permainan apabila menyelamatkan percubaan Mohd. Nor Farhan.



Kelantan yang dianggap pilihan untuk memenangi perlawanan ini mempamerkan aksi yang tidak begitu bermaya dengan kelibat ketua pasukan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi tenggelam manakala Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Norfarhan Muhammad tidak dibiarkan bebas di bahagian sayap.



Ketiadaan Obinna Nwaneri di pertahanan jelas mengundang masalah apabila gandingan Nik Shahrul Mohd. Azim dan Azizi Matt Rose tidak mampu mengekang kelincahan Conti dan Azamuddin yang acap kali dapat melepaskan diri ke dalam kotak penalti The Red Warriorrs.



Permainan antara kedua-dua pasukan seperti kurang bernyawa pada babak pertama ekoran hujan lebat sebelum perlawanan bermula yang banyak merencatkan pergerakan bola.



Tok Gajah lebih banyak menguasai jentera tengah tetapi Kelantan memilih taktik secara serangan balas kilat bagi mendapatkan jaringan dengan Dickson Nwakaeme banyak memberikan ancaman kepada pertahanan Pahang.



Kelantan nyaris memecahkan kekebalan pintu gol pada minit ke-25 melalui Nwakaeme yang dapat melarikan diri secara solo ke arah gawang Pahang, mujur tindakan Damion Stewart menjatuhkan pemain import Nigeria di atas garisan berhampiran kotak penalti menyelamatkan Pahang buat seketika.



Nasib tidak bersama Pahang seminit kemudian apabila percubaan jarak jauh pemain kelahiran Bera, R. Surendran mengenai palang walaupun Khairul Fahmi sudah tertewas.



Penonton akhirnya terhibur dengan aksi pada babak kedua apabila hujan berhenti dengan lebih banyak serangan pantas dan bermutu dapat dipamerkan oleh kedua-dua pasukan sebelum jaringan pertama hadir, 13 minit kemudian.


Taktikal Dollah meletakkan Azamuddin di bahagian sayap kanan menggantikan Surendran selain memasukkan Mohd. Fauzi Roslan begitu menjadi dengan pemain kelahiran Kampung Relong, Kuala Lipis itu menjadi punca kepada gol sulung Pahang. 



Selepas berjaya melepasi kawalan Zairul Fitree, hantaran silangnya berjaya menemui Matias Conti yang begitu bergaya menanduk masuk ke dalam gawang Kelantan bagi memastikan Pahang memimpin perlawanan pada minit ke-58 dan menggembirakan kira-kira 40,000 penyokong setia Tok Gajah yang hadir.



Walaupun tempo permainan Kelantan berubah sedikit selepas jaringan dari Pahang dengan kehadiran Faiz Subri serta Ahmad Fakri Saarani tidak mampu mengubah kedudukan 1-0 bagi memastikan Piala Malaysia akhirnya singgah ke bumi Kuantan setelah sekian lama.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...