Sahabat Maya :

Saturday, October 19, 2013

Solat di ruang udara

Solat di ruang udara

3 Rukun dengan menundukkan kepala 
sedikit dan tangan diletakkan atas lutut. 
 
 
 
 
SOLAT merupakan tiang agama, waima walau di mana kita berada. Setiap umat Islam tidak terlepas daripada kewajipan melaksanakannya walaupun berhadapan segala kemungkinan sama ada situasi cemas atau sebagainya.




Hal itu menggambarkan bahawa solat adalah asas kepada sesuatu pegangan umat Islam selain ia merupakan ibadah berbentuk harian jika dibandingkan kewajipan lain seperti zakat, puasa dan haji yang dilaksanakan dalam tempoh tertentu.




Hal berkenaan termasuklah jika seseorang umat Islam sedang dalam perjalanan, sama ada menerusi pengangkutan darat, udara dan air.




Namun demikian, jika berada di darat atau di atas laut iaitu berada di atas muka bumi, kita boleh menunaikan dengan mudah sekali. Bagaimana pula ketika di udara?
Ketika diajukan soalan berkenaan kepada penumpang kapal terbang, mereka terus menjawab bahawa tidak melaksanakan kerana sedang berhadapan kesulitan.
Tanggapan itu sebenarnya adalah salah kerana tuntutan solat hanya gugur apabila seseorang itu berada dalam keadaan pengsan, haid bagi wanita dan sebagainya.




Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya. Dr. Muhd. Najib Abdul Kadir, solat wajib dilaksanakan walaupun berhadapan kesulitan termasuklah ketika penerbangan.




Namun ahli Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan itu berkata, namun demikian terdapat cara tertentu ketika berhadapan situasi menunaikan solat dalam penerbangan yang terbahagi kepada cara penentuan waktu dan kaedah pelaksanaannya.





Kaedah pelaksanaan




Jelas Muhd. Najib, perkara pertama yang perlu diketahui adakah ketika itu telah masuk waktu solat mengikut waktu tempatan, misalnya tibanya Zuhur sewaktu berada di ruang udara Pulau Pinang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Madinah.




"Maka ia boleh menunaikan solat Zuhur mengikut waktu Pulau Pinang sama ada hendak menjamakkan takdim dengan Asar ataupun sebaliknya.




"Namun dalam perjalanan itu, dia berada di Bangladesh dan masuk waktu Zuhur. Oleh demikian seseorang itu tidak perlu tunaikan solat itu lagi," terang Muhd. Najib.
Berkenaan waktu solat, penulis buku Rahsia Haji itu berkata para penumpang boleh bertanya sendiri kepada anak kapal dengan mereka akan merujuk kepada juruterbang.




Berhubung arah kiblat, Muhd. Najib berkata kebiasaannya dalam kapal terbang mempunyai paparan skrin yang menunjukkan lokasi dan arah tuju sesuatu penerbangan.




Muhd. Najib berkata, menerusi paparan itu memudahkan penumpang mengetahui arah kiblat. Namun ketika sedang menunaikan solat, arah kiblat bertukar maka dia tidak perlu mengulanginya semula.




Solat hormat waktu



Bagaimana hendak mengambil wuduk ketika dalam penerbangan sedangkan penggunaan air adalah terhad. Jika air berlebihan, boleh mendatangkan kemudaratan kepada kapal terbang.



Sehubungan itu, Muhd. Najib berkata penumpang boleh bersembahyang tanpa berwuduk dengan melakukan Solat Menghormati Waktu.




Muhd. Najib berkata, ada ketikanya, sama ada akibat darurat atau sebagainya, kita tidak dapat berwuduk atau bertayamun bagi menunaikan solat. Dalam hal ini umat Islam boleh menunaikan solat hormat waktu.



Tambah ahli akademi itu, pada asalnya solat ini bermaksud wujudnya kecacatan syarat yang tidak mencukupi iaitu tidak boleh berwuduk dan tayamum sama ada ketiadaan kedua-duanya atau keuzuran, sedangkan waktu solat masih ada ketika itu.



Namun jika masih dalam waktu solat, Muhd. Najib berkata, ia perlu mengulanginya. Tetapi jika sudah luput waktu solat, ia perlu menggantikan (qada).


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...