Sahabat Maya :

Saturday, September 7, 2013

Menuju kelas dunia


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025: 


Menuju kelas dunia

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025: <br>Menuju kelas dunia
Transformasi pendidikan
 lahir pelajar penuhi keperluan abad ke-21

Kuala Lumpur: Malaysia perlu melaksanakan perubahan besar terhadap keseluruhan sistem pendidikan negara untuk melonjakkan pencapaian memenuhi aspirasi yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pelajar memiliki kemahiran diperlukan pada abad ke-21.
Katanya, bagi mencapai hasrat itu, kerajaan menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menyediakan kerangka pembangunan menyeluruh untuk menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara pantas dan mapan sehingga 2025.


“Dalam usaha mencapai aspirasi tinggi dalam persekitaran persaingan global yang semakin sengit, kita tidak boleh lalai,” katanya dalam prakata pelan pendidikan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Najib berkata, transformasi pendidikan bukan sekadar menambah kakitangan dan kemudahan, malah menjurus kepada usaha memahami dan menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran.

Perubahan besar

Katanya, bersandarkan inisiatif diperkenalkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara, pelan itu menggariskan perubahan besar yang dihasratkan.
Najib berkata, pelan itu dengan jelas menggambarkan faktor penambahbaikan penting bagi setiap langkah dalam perjalanan transformasi yang bakal dilalui dan walaupun semua matlamat itu melambangkan cita-cita yang tinggi, namun beliau yakin ia mampu dicapai.

Matlamat itu, menurut Najib, termasuk memastikan enrolmen sejagat pada pelbagai peringkat pendidikan iaitu daripada prasekolah hingga menengah atas dalam tempoh 10 tahun akan datang, selain mengurangkan jurang pencapaian antara kelompok kaya dengan miskin, bandar dan luar bandar serta antara negeri dalam tempoh yang sama.

“Hasrat ini mesti dicapai melalui pengagihan sumber yang terancang serta teliti dan seterusnya memastikan setiap ringgit dibelanjakan untuk meningkatkan keberhasilan dan kemenjadian murid,” katanya.

Mengakui bukan mudah melaksanakan transformasi sistem pendidikan, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan, Kementerian Pendidikan dan beliau sendiri komited untuk mencapai semua matlamat dan aspirasi yang digariskan. - BERNAMA 
 
 
Sumber



 
 
 

Lima aspirasi tingkat kualiti modal insan

Lima aspirasi tingkat kualiti modal insan 
Pelajar daripada pelbagai tahap 
pendidikan dan bangsa membaca
 Buku Laporan Akhir PPPM 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
 
 
 
Kuala Lumpur: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah manifestasi transformasi kerajaan paling menyeluruh bagi menghasilkan pulangan terbaik modal insan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menegaskan, modal insan berkenaan bakal memacu hasrat pembangunan negara dari aspek ekonomi, sosial, budaya, teknologi berikutan 11 anjakan strategik dalam pelan berkenaan mengambil kira pencapaian sistem pendidikan sekarang dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa.
“PPPM adalah demi masa depan anak kita. Mereka bakal menerajui negara dan mengambil alih pengurusan serta pentadbirannya.


“Pelan ini komited untuk menyediakan anak dengan kemahiran dalam enam aspirasi pelajar dan ia harus disambut dengan penuh rasa tanggungjawab supaya perencanaan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya dan menghasilkan kejayaan, ” ketika pelancaran PPPM, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini semalam.

Yakin cipta kejayaan

Hadir sama, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Jabatan Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Muhyiddin melahirkan keyakinan PPPM bakal mencipta kejayaan kerana ia memberi tumpuan kepada semua aspek pendidikan, termasuk teknik, vokasional, inklusif, agama, seni dan sukan, selain merentasi pendidikan peringkat prasekolah hingga lepasan menengah.

“PPPM menyatakan lima aspirasi sistem pendidikan dan enam ciri pelajar yang bakal dicapai dalam tempoh 13 tahun akan datang. Aspirasi itu ialah akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

“Untuk memberi pendidikan berkualiti kepada pelajar tanpa mengira peringkat dan jenis sekolah, saya berani menyatakan semua aspek untuk meningkatkan kualiti pendidikan sudah dikaji dengan teliti dan dibincangkan secara mendalam,” katanya.

Muhyiddin juga menegaskan, untuk menjayakan PPPM, kementerian menetapkan 30 peratus daripada graduan terbaik dari pelbagai institusi pengajian tinggi dipilih menjadikan perguruan sebagai kerjaya utama mereka.

Sejajar perencanaan PPPM yang turut mendengar pandangan ibu bapa, beliau mahu ibu bapa bekerjasama secara erat dengan guru melalui persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). 
 
 
Sumber



Wajib lulus Bahasa Inggeris

Wajib lulus Bahasa Inggeris  
 Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan 
Damansara Utama, Zulaika A Rahman 
(tengah) bersama pelajarnya meninjau
 pameran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 selepas Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 
di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, 
semalam.
 
 
 
Kuala Lumpur: Mulai 2016, mata pelajaran Bahasa Inggeris akan dijadikan kertas wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ia dilaksanakan kerana rekod menunjukkan hanya 28 peratus murid mendapat minimum kredit dalam Bahasa Inggeris pada SPM 2011 yang ditanda mengikut standard kertas Cambridge 1119.
Selain itu, kelemahan penguasaan kemahiran Bahasa Inggeris dalam kalangan siswazah adalah antara isu yang dihadapi majikan pada 2006.


Berdasarkan statistik itu, kerajaan akan berusaha menambah masa atau ‘contact hours’ dalam kelas agar pendedahan murid dalam Bahasa Inggeris akan lebih mendalam.

Laksana sistem set

Kerajaan juga akan melaksanakan Sistem Set untuk membahagikan murid kepada kumpulan tertentu bagi membolehkan guru merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.

Selain itu, pendedahan berterusan kepada murid diperluaskan dengan modul Sastera dalam Bahasa Inggeris akan diwajibkan kepada murid sekolah rendah dan menengah.
Uji kemahiran guru

Selain itu, guru Bahasa Inggeris akan diuji kemahiran mereka melalui Cambridge Placement Test (CPT).

Setakat ini 5,000 guru sudah mengikuti latihan lanjutan yang dianjurkan oleh British Council, manakala 9,000 lagi dijangka menyertai kursus berkenaan pada Oktober ini.

Bagi memastikan semua guru mendapat manfaat, kerajaan akan memastikan 61,000 guru mengikuti CPT dalam tempoh dua tahun bagi membolehkan murid mengikuti pembelajaran daripada guru yang mempunyai kemahiran mengikut standard antarabangsa. 
 
 
Sumber


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...