Sahabat Maya :

Thursday, July 11, 2013

Syukuri nikmat keamanan

Syukuri nikmat keamanan

Muhyiddin Yassin melawat sebuah gerai buah-buahan selepas merasmikan Festival Ramadan Putrajaya 2013 di Kiblat Walk iaitu di sepanjang laluan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Kompleks Perbadanan Putrajaya di, Presint 3, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Aseh Che Mat (kanan). - BERNAMA 
 
 
 
PUTRAJAYA 10 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak umat Islam di negara ini untuk sentiasa mensyukuri nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikurniakan Allah SWT selama ini.



Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika umat Islam di negara ini meriah dan bersederhana menyambut Ramadan, umat Islam di beberapa negara Islam lain sedang menghadapi cabaran dan musibah besar termasuk ancaman keselamatan, perpaduan dan kesejahteraan. 



"Maka, kita kena bersyukur kerana Allah telah mengurniakan nikmat kemakmuran ekonomi sehingga Malaysia yang dianggap sebuah negara kecil, pesat membangun berbanding negara Islam lain.



"Umat Islam dan bukan Islam di negara ini dapat menikmati faedah daripada pembangunan yang berkembang, kewujudan peluang ekonomi baharu dan dapat memperluaskan pembangunan sosio ekonomi," katanya.



Beliau berucap merasmikan Festival Ramadan Putrajaya 2013 anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat.



Festival Ramadan Putrajaya 2013 yang bermula hari ini sehingga 7 Ogos ini memberi peluang kepada warga Putrajaya dan kawasan sekitarnya membeli juadah berbuka dan barangan keperluan untuk sambutan Aidilfitri bulan depan.



Mengulas lanjut, Muhyiddin menyifatkan kenikmatan itu menjadikan sambutan Ramadan tahun ini begitu meriah dengan pelbagai aktiviti ibadat dan ekonomi.



"Inilah keistimewaan negara yang telah kita sama-sama bangunkan dan atas dasar itulah, sewaktu kita menyambut Ramadan ini, kita juga tidak harus lupa cabaran besar yang dihadapi oleh umat Islam di negara lain.



"Mereka berdepan ancaman keselamatan, perpaduan dan kesejahteraan hidup yang mereka sendiri tidak tahu bila akan berakhir," katanya.

 
 
 
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...