Sahabat Maya :

Monday, July 29, 2013

Guru unggul miliki sikap penyayang, sabar

http://stepforwardpak.com/wp-content/uploads/2013/05/RAMADAN-WALLPAPERS-5.jpg

Guru unggul miliki 

sikap penyayang, sabar

 

 

 


Kes guru bertindak keterlaluan terhadap murid hingga 






mendatangkan kecederaan masih dilaporkan. Sepatutnya perkara ini tidak terjadi memandang kepada status guru sebagai pendidik yang sepatutnya membimbing murid menjadi insan lebih baik.






Tugas seorang pendidik atau guru bukan setakat menyalurkan ilmu pengetahuan, mereka juga bertanggungjawab membina akhlak mulia kepada anak murid. Mengajar bidang apa sekalipun, aspek membina sahsiah peribadi seharusnya diletakkan sebagai teras kepada usaha pendidikan itu. 






Cabaran guru masa kini




 

Guru yang penyayang dan penyabar akan menjadi seorang guru yang berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai sabar dan penyayang itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa hasil nikmat sabar itu sangat memberkati usaha gigihnya mendidik.







Dalam zaman serba moden dan mencabar, kerjaya sebagai guru juga penuh dengan cabaran hingga ada segelintir kecil guru yang tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas etika.






Guru perlu sentiasa ingat bahawa mendidik murid memerlukan kesabaran dan nilai kasih sayang yang tinggi. Tanpa adanya dua sifat itu, guru pasti berhadapan dengan masalah. Sebagai mukmin, panduan ditunjukkan Rasulullah SAW boleh diamalkan semasa menjalankan tugas mendidik.








Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW yang mempamerkan perwatakan luhur pendidik. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, katanya: “Sedang kami berada di dalam masjid bersama-sama Rasulullah SAW, seorang Badwi telah datang dan duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti! Namun Rasulullah SAW berkata: Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri. Oleh demikian mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya, kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara-perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid ini adalah tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran. Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu membuang air kencing.”







Apa yang dapat kisah iktibarkan daripada kisah itu? Pertama, jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauhnya menghadapi sesuatu keadaan.
Baginda menggunakan pendekatan menegur kesalahan seseorang secara berhemah dan lemah lembut dengan disertakan penjelasan terperinci mengenai kesalahan yang dilakukan. Inilah pendekatan sepatutnya diamalkan guru dalam proses pendidikan.







Rasulullah SAW bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mengajar perkara yang patut diketahuinya bukan dengan memarahi.








Kriteria guru unggul






 

Imam al-Ghazali menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru juga hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya. 







Guru yang penyayang dan penyabar akan menjadi seorang guru yang berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai sabar dan penyayang itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa hasil nikmat sabar itu sangat memberkati usaha gigihnya mendidik.






Diriwayatkan daripada Abu Musa,
 Rasulullah SAW bersabda:






 “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu terdapat sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Padahal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran itu seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk daripada Allah yang kerananya aku utusan-Nya.” 


(Riwayat Bukhari dan Muslim). 







Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Guruunggulmilikisikappenyayang_sabar/Article/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...