Disiplin diri penentu tahap iman
Pengetahuan dan kefahaman mempunyai kaitan rapat dengan disiplin
kerja. Cuba bayangkan jika situasi seperti dalam kata-kata ini sering berlaku,
‘aku tak tahu macam mana nak buat’, ‘bos suruh, aku buat sahaja’, ‘betul ke
tidak akupun tak tahu, janji siap.’
Ia menunjukkan amalan bekerja tanpa kefahaman atau pengetahuan. Situasi begini jika berlarutan, tidak akan membantu pembinaan dan pengukuhan disiplin yang menjadi penentu budaya kerja cemerlang.
Disiplin tidak akan terbina melalui proses kerja secara cuba-cuba.
Justeru, pekerja berpengetahuan dan berkefahaman tinggi mengenai bidang
tugasnya adalah aset dan modal insan kepada kejayaan organisasi.
Bagi penjawat awam, usaha pengukuhan ini bersesuaian dengan penekanan pembangunan modal insan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 dan Teras Perkhidmatan Awam.
Kerja yang lancar pula menghasilkan output dengan cepat. Kitaran proses ini sangat menarik kerana ia berkait rapat dengan pembentukan empat disiplin kerja. Pertama, disiplin memastikan pekerja mempunyai kefahaman dan pengetahuan asas berkaitan tugasan sebelum melaksanakannya.
Kedua, disiplin dalam memastikan kerja yang dilakukan berhasil. Ketiga, disiplin dalam memastikan ia dihasilkan dengan kadar segera. Keberhasilan kerja secara cepat membentuk keseronokan dan kepuasan pekerja yang membentuk kitaran disiplin keempat, iaitu melakukan kerja secara berterusan.
Disiplin hasil kerja cemerlang
Begitulah kitaran disiplin yang menentukan kerja menjadi cemerlang atau sebaliknya berpunca daripada satu faktor utama, iaitu kefahaman dan pengetahuan. Allah SWT menyatakan bahawa perbezaan antara orang berilmu dengan orang tidak berilmu.
Firman Allah SWT:
“Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang
mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat
mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.”
(Surah al-Zumar, ayat 9)
Kefahaman dan pengetahuan yang membentuk disiplin kerja ini perlu meliputi beberapa perkara asas iaitu matlamat ingin dicapai daripada sesuatu tugasan, peraturan atau syarat yang perlu dipatuhi, proses dan prosedur kerja.
Semua ini adalah maklumat yang memberi kefahaman dan pengetahuan asas kerja sebelum ia dapat dilaksana dan disempurnakan dengan betul serta jayanya. Seseorang pekerja tidak akan dapat membentuk disiplin diri secara berterusan sekiranya maklumat asas berkaitan tugasan tidak difahami.
Hal ini perlu dielakkan demi memastikan tidak berlaku silap faham, silap pertimbangan, silap keputusan dan silap tindakan di kalangan pekerja.
Justeru, kaedah mendapatkan penjelasan dan pengetahuan melalui amalan bertanya, berbincang, berbahas, mendapatkan maklum balas, pandangan, mengikuti latihan, bengkel, motivasi, ceramah dan bimbingan selain pembelajaran berterusan melalui pembacaan perlu digalakkan dalam organisasi.
Elak kebinasaan
Rasulullah SAW memberi peringatan untuk mengelakkan kebinasaan: “Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan itu) dan janganlah engkau menjadi daripada golongan kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”
(Riwayat al-Bazzar)
Usaha ini dapat meningkatkan penguasaan bidang dan kemahiran kerja dalam Islam yang bertujuan memimpin akal, akhlak dan memandu tindakan.
Daripada Ibnu Mas’ud, Nabi SAW bersabda:
“Jangan ada perasaan iri hati
melainkan kepada dua keadaan: (Pertama) keadaan orang yang dikurniakan Allah
harta benda serta menjadikannya menguasai dirinya menghabiskan hartanya itu
pada perkara kebajikan yang sebenar-benarnya; dan (kedua) keadaan orang yang
dikurniakan Allah ilmu pengetahuan, lalu ia beramal dengannya dan
mengajarkannya.”
(Riwayat Imam al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi)
Justeru, dengan menekankan kepada kefahaman dan pengetahuan dalam kalangan pekerja, kita akan secara tidak langsung menggerakkan kitaran proses kerja berdisiplin yang semuanya menjadikan pekerja lebih berkesan serta penghasilan kerja lebih baik.
Firman Allah SWT:
“Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan orang yang
berilmu beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)
Justeru, marilah kita membina disiplin diri melalui kerja berteraskan kefahaman
dan pengetahuan dan menjadikannya proses sepanjang hayat.
Penulis ialah
Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah,
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
No comments:
Post a Comment