Sahabat Maya :

Sunday, January 20, 2013

Anugerah Raja Zarith Sofiah


Anugerah Raja Zarith Sofiah



TUANKU Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah (tengah)
 bergambar bersama hadirin selepas berkenan melancarkan 
 Anugerah Raja Zarith Sofiah di Persada Johor, Johor Bahru, baru-baru ini.




JOHOR BAHRU 15 Jan. - Anugerah Raja Zarith Sofiah yang dilancarkan baru-baru ini bagi mengiktiraf sumbangan golongan belia yang mempamerkan bakat, kreativiti dan inovasi terutamanya dalam bidang industri kreatif menyasarkan untuk melahirkan 10 orang usahawan dalam bidang itu.


Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Mejar (K) Md. Nor Yusof berkata, melalui anugerah tersebut, pihaknya turut menyasarkan untuk membentangkan 60 kertas cadangan yang bertemakan industri kreatif, sekali gus menghasilkan satu resolusi seminar yang mantap dan berinovasi.



Beliau berkata, melalui penganjuran tersebut, negara mampu untuk melahirkan dan meningkatkan peratusan graduan politeknik yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.



"Dijangka melalui anugerah berkenaan, kira-kira 540,000 orang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti serta komuniti setempat akan menikmati manfaatnya," katanya dalam ucapan aluan yang dibacakan oleh Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar.



Anugerah berkenaan dilancar oleh Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor yang turut hadir pada majlis berkenaan.
Tambah Md. Nor, anugerah yang diwujudkan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan Pusat Keusahawanan Politeknik Malaysia (MPEC) dengan kerjasama beberapa pihak itu akan digunakan sebagai wadah terbaik bagi mengenal pasti 30 produk inovatif yang berpotensi untuk dipasarkan.




"Bukan itu sahaja, sepanjang tempoh penganjuran yang bermula November dan dijangka berakhir April ini, kita sasarkan untuk menandatangani 20 memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa industri dalam bidang terbabit," katanya.



Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu reka bentuk produk kraf, reka bentuk fesyen dan aksesori, reka bentuk pembungkusan dan reka bentuk produk dengan sasaran penyertaan akhir seramai 120 orang.
Pertandingan terbuka kepada pelbagai pihak seperti institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, komuniti setempat, industri berkaitan serta sekolah dengan pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi semua kategori akan menerima pingat emas, perak dan gangsa berserta sijil penghargaan.



Tiga anugerah utama untuk mengiktiraf rekaan terbaik iaitu Anugerah Pereka Raja Zarith Sofiah, Anugerah Potensi Raja Zarith Sofiah dan Anugerah Khas Raja Zarith Sofiah dengan kesemua penerima akan membawa pulang hadiah wang masing-masing RM12,000, RM10,000 dan RM3,000. 











No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...