Jalan ditutup sempena
Hari Keputeraan Sultan Johor
MUAR 14 Nov. - Orang ramai diminta mengikuti arahan papan tanda yang
diletakkan untuk memasuki bandar ini kerana beberapa jalan utama akan
ditutup secara berperingkat sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan
Johor serta pengisytiharan Muar sebagai Bandar Diraja bermula 20
November ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli
berkata, acara sambutan selama lima hari lima malam itu akan membabitkan
beberapa kawasan di sekitar bandar Muar dan jalan-jalan utama akan
ditutup.
"Antara jalan terbabit ialah Jalan Sulaiman, Jalan Ibrahim, Jalan
Ali, Jalan Arab, bulatan Bakri yang ditutup untuk raptai pada pukul 2
petang 19 November dan ditutup sekali lagi pada pukul 8 malam 20
November.
"Pada 21 November pula, Jalan Petri hingga persimpangan Jalan
Muhamadiyah juga akan ditutup namun semuanya bergantung pada waktu
keberangkatan Sultan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kemuncak sambutan adalah pada 22 November iaitu Hari
Keputeraan Sultan dan semua laluan utama ditutup sepenuhnya bermula
pukul 7.30 pagi sehingga acara selesai.
Katanya, jalan-jalan utama seperti Jalan Sulaiman, Jalan Ibrahim,
Jalan Ali, Jalan Arab, bulatan Bakri di bandar Muar akan ditutup dengan
kenderaan dari Bulatan Abdul Rahman atau Jalan Ibrahim akan dilencongkan
ke Persiaran Jalan Othman.
Katanya, sempena perarakan kereta berhias pada 23 November, laluan di
Stadium Sultan Ibrahim, Jalan Ibrahim, Jalan Sulaiman, Jalan Arab,
Bulatan Bakri, persimpangan Jalan Abdullah, Jalan Majidi hingga ke Jalan
Abdul Rahman akan ditutup bermula pukul 7.30 petang.
"Pada 24 November, Jalan Petri ke persimpangan Jalan Kamariah, Jalan
Sulaiman serta Jalan Majidi akan ditutup sepenuhnya bermula pukul 7.30
pagi sempena majlis pengisytiharan Muar sebagai Bandar Diraja di Dataran
Tanjong Emas.
"Orang ramai yang ingin menyaksikan pengisytiharan berkenaan boleh
meletakkan kenderaan di kawasan Masjid Jamek, padang ragbi Sekolah
Tinggi Muar, Marina Muar atau di sepanjang Jalan Majidi dan Abdul
Rahman," katanya.
Selain itu, Jambatan Sultan Ismail dari kedua-dua arah juga akan
ditutup untuk semua lalu lintas pada 25 November bermula pukul 3 petang
hingga 5 pagi keesokan harinya sempena acara perarakan bot berhias di
Sungai Muar.
"Jalan Maharani bermula di persimpangan Jalan Sayang hingga Jalan
Abdullah akan ditutup bermula pukul 7 malam untuk memastikan acara
berjalan lancar. Kenderaan dari Bakri tidak dibenarkan meneruskan laluan
ke jambatan dan akan dilencongkan ke Jalan Abdullah.
"Penduduk daerah Ledang terutama dari Sungai Mati yang ingin ke Muar
pula perlu menggunakan jalan pintasan di Parit Bunga," katanya.
Katanya, orang ramai yang ingin memeriahkan acara sambutan juga
dinasihatkan tidak meletakkan kenderaan sesuka hati selain mematuhi
arahan pegawai trafik yang bertugas.
"Kita mahu acara sambutan bersejarah itu berjalan lancar dan untuk
itu, kerjasama daripada orang ramai sangat diperlukan," katanya.
No comments:
Post a Comment