Sahabat Maya :

Saturday, October 20, 2012

Nilai baik bentuk akhlak pekerja

Nilai baik bentuk akhlak pekerja


Optimisme, keberanian, adil perlu jadi pegangan
Nilai aspek utama dalam segenap tindak-tanduk manusia. Tanpa nilai baik, sesuatu tindakan yang baik boleh dilihat sebagai tidak baik dan tidak bermanfaat.
Contohnya, menyiapkan minit mesyuarat, laporan atau sesuatu projek yang dipertanggungjawabkan adalah suatu usaha baik tetapi jika dihasilkan tanpa nilai ketelitian, ketelusan, kesahihan fakta dan penjimatan kos, kerja itu walaupun siap tidak diterima secara baik sebagai yang berkualiti.

Firman Allah SWT:

“Ketika Tuhanmu memberitahu,

jika kamu bersyukur,

nescaya Aku tambahkan nikmat

yang ada padamu,

tetapi jika kamu kufur,

sesungguhnya seksaanKu amat pedih.”

(Surah Ibrahim, ayat 7)



Justeru, setiap tindakan dalam Islam amat menekankan aspek nilai baik seperti terkandung dalam pengertian akhlak yang sangat luas. 


Sabda Rasulullah apabila ditanya apa itu agama, Baginda menjawab dengan ringkas tetapi padat bahawa agama itu akhlak yang baik. Maksudnya, keseluruhan mengenai Islam boleh difahami dan terserlah dengan paparan amalan yang berakhlak.

Magnet kejayaan

Akhlak adalah ‘magnet kejayaan’. Banyak sekali dalil al-Quran dan hadis yang menunjukkan mereka yang berakhlak pasti berjaya. Besi beraninya pula tersangat kuat sehingga impak sebagai amal salih kekal di akhirat kelak. 

Sabda Rasulullah SAW:
 
 “Peniaga yang jujur dan amanah berada bersama nabi, orang yang jujur dan syuhada.”
 (Riwayat al-Tirmizi)

Berakhlak dalam segenap amalan menatijahkan kejayaan yang boleh dan tidak boleh dijangkakan. Firman Allah SWT: 
 
“Tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan sebagai balasan bagi amal soleh yang mereka sudah kerjakan.” (Surah al-Sajdah, ayat 17)

Pengurusan nilai


Dalam pembangunan organisasi, pengurusan nilai semakin ditekankan. Pandangan Tan Sri Ahmad Sarji dalam buku bertajuk Sekadar Berpendapat menggariskan tiga nilai dalam tindakan operasi iaitu optimisme, keberanian dan adil.

Nilai optimisme dalam bekerja membolehkan seseorang mempunyai pelbagai pilihan bertindak dan bekerja tanpa rasa kaku atau buntu. Usaha dan panduan untuk menerapkan nilai ini dalam organisasi kita boleh dibuat melalui beberapa kaedah pendekatan yang disarankan.

Dunia hari ini juga menyedari hakikat bekerja dan mengurus berasaskan nilai ini. Malah kejayaan operasi syarikat konglomerat dunia seperti kajian dalam buku What Really Works - The performance secrets of the world’s most successful companies oleh William Joyce, Nitin Nohria dan Bruce Roberson menunjukkan kejayaan bersandarkan kekuatan nilai didukung dalam tindakan dan strategi.

Bahkan ia juga penentu kepada pengukuhan budaya kecemerlangan itu. Ertinya, untuk kekal berjaya juga mesti mempraktikkan tindakan yang berakhlak. Selain sebagai pengukuh kejayaan, akhlak juga adalah benteng kegagalan.


Firman Allah SWT:
 “Ketika Tuhanmu memberitahu, jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan nikmat yang ada padamu, tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya seksaanKu amat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Personaliti pekerja


Justeru, mari kita kenal pasti nilai utama yang mendokong kerja seharian kita. Jika ditanyakan apakah tiga nilai utama bagi tindakan kerja anda, barangkali dapat kita fikirkan apakah yang sudah kita jadikan amalan dan rasa gembiralah dengannya serta pertingkatkan lagi.

Pegangan nilai akan membentuk akhlak atau personaliti pekerja. Personaliti yang baik adalah suatu keajaiban bagi pekerja kerana ia potensi yang membuka banyak ruang dan peluang untuk berjaya.

Abu Hurairah, sahabat Rasulullah yang terkenal daripada kalangan Ahli Suffah, walaupun miskin tetapi mempunyai nilai kekayaan personaliti antaranya beliau amat tekun mendampingi Rasulullah dan dalam tempoh lima tahun bersama, beliau menghafal sabda Baginda.

Justeru, marilah kita terus memupuk kerja berasaskan nilai kerana kemuliaan diri di sisi Allah SWT terletak kepada usaha dan nilai baik dalam mengusahakannya walaupun kecil.

Firman Allah SWT: 
 
“Tentulah Kami tidak

mensia-siakan pahala orang 
 
yang mengerjakan amalannya dengan baik.”
 
 (Surah al-Kahfi, ayat 30)

 


Penulis Prof Madya di 
Jabatan Siasah Syariyyah, 
Akademi Pengajian Islam, 
Universiti Malaya (UM)
 
 
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...