Sahabat Maya :

Saturday, September 29, 2012

Bajet 2013 terbaik pernah dibentangkan - Muhyiddin

Bajet 2013 

terbaik pernah dibentangkan

 - Muhyiddin

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai yang terbaik pernah dilakukan kerajaan.



Menurut beliau, bajet bertemakan 'Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat: Sebuah Janji Ditepati' itu begitu fokus, realistik, kukuh, mengambil kira senario ekonomi semasa dan memberi rahmat kepada rakyat.



Selain itu, kata beliau, Bajet 2013 juga akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.5 hingga 5.5 peratus dan pada masa sama mengurangkan defisit kepada tiga peratus menjelang 2015.



"Semua pihak sama ada rakyat biasa, petani, nelayan, pegawai kerajaan dan pesara mendapat rahmat. Tiada satu pun kumpulan yang terasing atau terkeluar daripada nikmat bajet kali ini.



"Saya kira tidak ada pihak yang rasa terkilan termasuk pegawai kerajaan yang menerima bonus sebulan setengah gaji. Bajet 2013 ini memberi nikmat kepada 100 kumpulan sasar melalui pelbagai pemberian dan tawaran," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.



Menurut Muhyiddin, beliau secara keseluruhannya berbangga kerana usaha kerajaan menerusi bajet itu bermakna ekonomi negara akan terus mantap dan rakyat dapat dibantu secara langsung.



Dalam pada itu, beliau selaku pemimpin nombor dua negara menafikan dakwaan pembangkang kononnya Bajet 2013 adalah bajet pilihan raya kerana apa yang dilakukan kerajaan mengambil kira keperluan rakyat.
Katanya, dakwaan pembangkang itu tidak berasaskan kepada bajet nasional tersebut yang diputuskan Najib selaku Menteri Kewangan yang mengambil kira soal kos hidup rakyat, masalah ekonomi dunia serta berpandukan tanggungjawab fiskal.



"Kita memang sudah menjangkakan mereka akan membuat dakwaan sedemikian. Bajet 2013 bukan kerana pilihan raya tetapi mengambil kira keperluan rakyat berlandaskan tanggungjawab fiskal," jelasnya.



Mengenai langkah meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk gelombang kedua termasuk kepada golongan bujang, Muhyiddin berkata, ia contoh kebertanggungjawaban kerajaan Barisan Nasional (BN).


Jelas beliau, langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan kos hidup tetapi akan mengembangkan perdagangan dalam negara kerana nilai RM250 tersebut akan memasuki semula proses ekonomi apabila rakyat berbelanja.



"Dasar ini kita sudah laksanakan sebelum ini dan kesannya bukan sahaja dapat mengurangkan kos hidup rakyat, tetapi wang yang dibelanjakan mereka berjumlah lebih RM2 bilion pada BR1M terdahulu terbukti berupaya membantu pertumbuhan ekonomi negara.



"Saya fikir langkah kerajaan memperkenal dan meneruskan program BR1M ini satu pengurusan ekonomi yang amat tepat kerana untuk gelombang kedua, rakyat yang layak menerima BR1M ini lebih enam juta isi rumah," katanya.



Ditanya tentang langkah realistik kerajaan menawarkan diskaun sehingga 20 peratus kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Muhyiddin berkata, ia merupakan keputusan tepat.


Jelasnya, berbeza dengan cadangan tidak berpijak di bumi nyata yang dikemukakan pembangkang untuk menghapuskan PTPTN tawaran diskaun tersebut akan memberi manfaat kepada peminjam dan negara.


"Ini membuktikan keputusan kita menyediakan PTPTN tepat kerana ia keperluan. Kalau PTPTN ini dihapuskan ia bukan sahaja memberi beban yang besar kepada kerajaan tetapi ramai pelajar tidak mampu melanjutkan pengajian mereka," katanya.


Ditanya tentang penurunan cukai individu sebanyak satu mata bagi setiap kategori pendapatan, beliau memberitahu, ia akan memberi lebihan pendapatan kepada rakyat.


"Ini satu cara untuk membolehkan kumpulan pertama berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000 yang dahulu dikenakan cukai keluar daripada kumpulan itu," ujarnya.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...