Sahabat Maya :

Saturday, May 26, 2012

Kelab Doktor Muda tingkat kesedaran



Kelab Doktor Muda

tingkat kesedaran


Rosnah Abdul Rashid Sirlin meletakkan tapak tangan
pada mural yang dilukis oleh Kelab Doktor Muda
SK Wawasan Seremban 2 sebagai simbolik pelancaran
Pertandingan Melukis Mural Kesihatan dan Kebersihan Kebangsaan Antabax.




BERDASARKAN kajian, purata tangan manusia mempunyai hampir 150 spesies bakteria dengan 80 peratus jangkitan penyakit tersebar melalui tangan yang kotor.

Tabiat kebersihan yang mudah iaitu membasuh tangan dengan sabun atau mensanitasi tangan dapat mengurangkan jumlah statistik ini.

Ini kerana membasuh tangan dengan cara yang betul telah terbukti dapat mengurangkan risiko cirit-birit sebanyak 20 peratus dan risiko jangkitan saluran pernafasan sebanyak 24 peratus.

Berlandaskan hakikat itu jugalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kepentingan asas penjagaan kebersihan.

Antara usaha tersebut ialah memperkenalkan Kelab Doktor Muda yang menyasarkan golongan remaja khususnya murid sekolah.

Ia merupakan kesinambungan daripada program health promoting school yang pertama kali diperkenalkan pada 1989 berbentuk pembimbing rakan sebaya mengenai ilmu asas kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin berkata, Kelab Doktor Muda merupakan program kokurikulum yang dianggotai oleh para pelajar Tahun 4, 5 dan 6 bagi melatih murid-murid untuk menjadi mentor kepada rakan-rakan sebaya.

Para pelajar ini seterusnya bertindak sebagai pemangkin perubahan kepada pengetahuan, sikap dan amalan positif tabiat penjagaan kesihatan di kalangan pelajar-pelajar sekolah.

"Para pelajar yang menyertai aktiviti kelab ini dilatih mengenai asas kesihatan bagi membantu mereka mengajar rakan sebaya.

"Secara tidak langsung mereka menjadi role model dan motivator kesihatan kepada rakan-rakan mereka di sekolah," katanya.

Tambah Rosnah, Kelab Doktor Muda berperanan penting dalam memupuk tabiat kesihatan dan kebersihan yang baik bagi murid-murid dari usia yang muda.

Menurut Rosnah, sehingga kini terdapat kira-kira 1,392 atau 18 peratus buah sekolah rendah di seluruh Malaysia yang telah menubuhkan Kelab Doktor Muda dengan penglibatan 36,000 orang murid sekolah Tahun 4 hingga 6.

"Kita harus membentuk tabiat ini sewaktu kanak-kanak masih muda lagi dan dengan adanya program Kelab Doktor Muda bagi tahun 2012, terdapat pelbagai aktiviti interaktif yang mampu menarik minat mereka untuk menyertainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pertandingan Melukis Mural Kesihatan dan Kebersihan Kebangsaan Antabax di Sekolah Kebangsaan Wawasan Seremban 2, Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti bagi menggalakkan sekolah-sekolah rendah menubuhkan Kelab Doktor Muda .

Sekolah yang mempunyai mural terbaik akan menerima RM10,000 yang akan diagihkan kepada pelajar-pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terbaik pada tahun 2012.

Manakala empat sekolah terbaik pula akan menerima satu tahun bekalan produk Antabax, yang boleh digunakan di kawasan-kawasan umum persekitaran sekolah.

Dalam pada itu menurut Rosnah, projek melukis mural oleh Antabax akan memberi peringatan untuk setiap hari mengenai tabiat penjagaan kebersihan dan kesihatan kepada kanak-kanak apabila mereka berada di sekolah.

Serentak dengan majlis itu Rosnah turut melancarkan skuad mobil Zoomers Kelab Doktor Muda .

Skuad ini diperkuat dengan 46 orang anggota kesihatan dan pelajaran telah dilatih untuk berperanan sebagai jurucakap utama Zoomers Kelab Doktor Muda yang akan diadakan di setiap negeri.

Skuad ini bergerak bermula di Seremban dan dijangka akan berakhir pada 20 Oktober 2012 di Negeri Sabah.

Sementara itu Pengurus Besar (Bahagian Pemasaran Penjagaan Rumah dan Penjagaan Diri) Lam Soon, Francis Ng, berkata, langkah Antabax menaja program Kelab Doktor Muda, kerana ia memahami kepentingan memupuk tabiat penjagaan kebersihan yang baik di kalangan kanak-kanak.

"Kelab Doktor Muda merupakan platform terbaik untuk meningkatkan kesedaran, mengajar dan memupuk tabiat yang baik di kalangan murid-murid sekolah supaya dapat diamalkan seumur hidup," katanya.





Sumber












Kos bersalin swasta mahal




Kerajaan sedia kaji syor CUEPACS jika hospital beri diskaun






KUALA LUMPUR: Cadangan penjawat awam wanita diberi kemudahan bersalin di hospital swasta akan menyebabkan negara menanggung beban kewangan tinggi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.






Beliau berkata, kerajaan memberi subsidi sebanyak 98 peratus untuk penjagaan kesihatan dengan kos dibelanjakan membabitkan peruntukan sebanyak RM16 bilion.
Peruntukan itu juga katanya, tidak mencukupi berikutan kos penjagaan dan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat pada setiap tahun.





“Kerajaan tidak mampu (peruntukan bersalin di hospital swasta) kerana kos bersalin di sana agak tinggi, beribu-ribu ringgit berbanding kos di hospital kerajaan yang kurang RM50.





“Bagaimanapun kami bersedia mengkaji permintaan mereka (CUEPACS), sekiranya hospital swasta boleh beri harga yang rendah, tidak ada masalah, kalau kos sedia ada yang agak tinggi, memang kita tidak mampu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.





Beliau mengulas permintaan CUEPACS kelmarin, yang mahu penjawat awam wanita diberi kemudahan bersalin di hospital swasta sehingga anak ketiga.
Tiga cadangan lain bagi menghargai sumbangan 630,000 penjawat wanita termasuk wad kelas satu hospital kerajaan untuk bersalin anak keempat dan seterusnya, cuti bersalin tiga bulan gaji penuh sehingga kelahiran anak ketujuh dan cuti tanpa rekod 14 hari diperluas bagi urusan kecemasan keluarga terdekat.






Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata perkhidmatan bersalin di hospital kerajaan sudah banyak dipertingkatkan termasuk dari segi keselesaan yang turut membabitkan wad bukan kelas satu.






Di PUTRAJAYA, Tiong Lai berkata, kementerian itu mahu memastikan setiap hospital negeri mempunyai dua pakar pembedahan payu dara dan endokrin dalam tempoh tiga tahun lagi.







Beliau berkata, ketika ini hanya beberapa negeri saja yang mempunyai kepakaran itu antara Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.






Katanya, ketika ini hanya terdapat 25 pakar pembedahan payu dara dan endokrin di seluruh negara.






Justeru, katanya, memorandum persefahaman (MoU) antara kementerian itu dan Akademi Perubatan Malaysia (AMM) ditandatangani bagi membolehkan kursus pembedahan payu dara serta endokrin dilaksanakan di negara ini berdasarkan kepada latihan di Royal College of Surgeons, England.






“Sebelum ini, kita menghantar pakar kita ke England untuk jalani kursus selama tiga tahun di sana tetapi dengan termeterainya MoU ini, latihan berkenaan boleh dijalankan di Malaysia dengan lebih ramai pakar dapat menjalani kursus terbabit.






“Dengan kursus ini, tahap pencapaian pakar dalam bidang pembedahan payu dara dan endokrin akan meningkat, sekali gus membolehkan lebih ramai pesakit mendapat rawatan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan MoU antara kementeriannya dan AAM, di sini semalam.






Kementerian Kesihatan diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Kamarul Zaman Md Isa manakala AMM diwakili Timbalan Master, Datuk Dr N Arumugam.











Sumber




















No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...