Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, April 15, 2012

Iman, takwa jadi cerminan kehidupan sebenar Muslim



Iman, takwa

jadi cerminan kehidupan

sebenar Muslim




KITAB Musnad Imam Ahmad ada menukilkan kisah sahabat berbicara mengenai seseorang yang mereka kenal sangat salih dan rajin beribadah di hadapan Rasulullah SAW. Ketika orang dibicarakan itu datang, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:




“Kalian semua membicarakan

seorang yang nampak

sentuhan syaitan pada wajahnya.

Sesungguhnya orang itu

dan kelompoknya membaca al-Quran,

tetapi bacaan mereka hanya sampai pada kerongkong.

Mereka telah keluar daripada agama mereka

sebagaimana anak panah yang terlepas

daripada busurnya.”

(Hadis riwayat Ahmad)







Hadis ini secara jelas mengisyaratkan seseorang yang kuat agamanya dilihat pada akhlaknya. Antara tujuan pensyariatan ibadat kepada umat Islam adalah membentuk ketinggian peribadi dan kemuliaan akhlaknya.






Ucapan ‘Allahuakbar’ yang diulang dalam setiap gerakan rukun solat dan haji bertujuan mengingatkan kita hanya Allah Yang Maha Besar. Semakin kerap kita melaksanakan ibadat solat atau haji, maka semakin terasa kita adalah makhluk yang kerdil, hina, dan daif.







Natijahnya, kita akan semakin dekat kepada Allah SWT dan akhlak bertambah mulia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:






“Sesiapa

yang solatnya tidak mencegah

daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar,

maka solatnya hanya menjauhkannya

daripada Allah SWT.”

(Hadis riwayat Tabrani)






Begitu juga ibadat puasa bertujuan melatih seseorang supaya berupaya mengendalikan hawa nafsunya, menundukkannya untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya.








Ketika Rasulullah SAW melihat seseorang mencaci-maki hamba sahayanya, Baginda SAW berkata:





" Makanlah kamu.

Dia menjawab:

Aku sedang berpuasa.

Ujar Rasulullah SAW dengan sabdanya

yang bermaksud:

“Bagaimana kamu berpuasa

sedangkan kamu telah mencaci-maki

hamba sahayamu.”







Pada ketika lain, ketika disebutkan kepada Rasulullah SAW bahawa ada seseorang yang menghabiskan waktu malamnya dengan beribadah, manakala waktu siangnya pula dengan berpuasa, akan tetapi dia suka menyakiti hati jiran tetangganya, maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:






“Tempatnya dalam api neraka.”

(Hadis riwayat Tirmizi)






Dalam konteks ini, hakikat beragama menurut perspektif Islam bukanlah dengan berlapar, berpuasa sepanjang masa, beriktikaf di masjid, berjubah dan berserban, menjauhkan diri daripada aktiviti sosial dengan bertapa dan sebagainya yang menjadi lambang lahiriah kepada orang beragama.






Sebaliknya hakikat beragama yang sebenarnya ialah seseorang Muslim sewajibnya memiliki tubuh badan yang sihat lagi kuat untuk menggalas tugas sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di muka bumi ini.






Ibnu Taimiyyah pernah menegaskan bahawa hakikat beragama itu sebenarnya berdiri atas dua landasan utama iaitu landasan iman yang membawa maksud kepercayaan bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah. Juga percaya kepada Malaikat-Nya, Kitab-Nya, para Rasul-Nya, hari akhirat dan kepada takdir-Nya.






Landasan kedua ialah landasan Islam didahului dengan kepercayaan kepada Allah dan Muhammad SAW sebagai utusan-Nya yang tersimpul dalam dua kalimah syahadah. Kemudian keyakinan itu diperkukuhkan dengan ibadat solat, zakat, puasa dan haji ke Baitullah.






Hakikat beragama itu ialah gandingan kemas antara iman dan Islam sehingga menjadi tunjang utama yang akan mendasari setiap sudut kehidupan seseorang Muslim. Dengan lain perkataan, iman dan Islam tidak boleh dipisahkan sama sekali.







Oleh itu, seorang yang beriman adalah seorang Muslim, begitu juga sebaliknya. Seandainya ada seseorang yang mengaku dirinya sebagai Muslim dengan melakukan solat, zakat, puasa dan sebagainya, tetapi pada masa sama dia masih percayakan perkara khurafat, mengamalkan syirik, melakukan jenayah sosial, dia sebenarnya bukanlah seorang Muslim yang sempurna.








Jelas kepada kita bahawa hakikat beragama menuntut kita menjadikan agama sebagai teras kehidupan semasa.






Ini bermakna kita tidak sewajarnya meminggirkan terus agama daripada landasan hidup dalam kesibukan mengejar kemewahan dunia dan bergelut dengan ledakan globalisasi.










No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...