Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, January 7, 2012

Kadar premium motor diselaras



Kadar premium motor diselaras




PELARASAN semula kadar premium tangani isu struktur dalam sektor insurans motor dan sektor Takaful. - Gambar hiasan
PELARASAN semula
kadar premium tangani
isu struktur dalam sektor
insurans motor dan sektor Takaful.
- Gambar hiasan




Dilaksana berperingkat mulai 16 Januari






BANK Negara Malaysia akan menyelaraskan kadar premium tarif motor secara berperingkat mulai 16 Januari ini dengan jaminan bahawa kesannya terhadap orang awam serta perniagaan adalah kecil.






Bank pusat itu berkata, pelarasan yang hanya membabitkan jumlah yang kecil itu, akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun.






“Ia pelarasan kali pertama kerana kadar premium itu tidak pernah dikaji semula dalam tempoh lebih 30 tahun, sekali gus menyebabkan orang ramai berdepan dengan beberapa kesulitan, khususnya ketika membuat tuntutan.






“Sepanjang tempoh itu juga, bilangan pemilik kenderaan, kadar kemalangan dan tuntutan insurans di Malaysia didapati meningkat dengan nyata.





“Selain itu kos rawatan hospital, perbelanjaan perubatan dan kos membaik pulih kenderaan serta alat ganti juga turut meningkat,” katanya menerusi satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.






Sebagai contoh, apabila diselaraskan kelak, perlindungan pihak ketiga bagi premium insurans motosikal yang memiliki kapasiti 110 cc akan hanya mengalami kenaikan antara RM1 hingga RM3.50 setiap tahun atau maksimum 30 sen setiap bulan dalam tempoh empat tahun.





Bagi kereta persendirian yang memiliki kapasiti 1,400 cc, pelarasan premium adalah antara RM6 hingga RM34 setiap tahun atau maksimum RM2.80 setiap bulan dalam jangka masa yang sama.






Untuk kenderaan perdagangan seperti teksi luar bandar dan bas, kesan daripada pelarasan premium terhadap penumpang juga adalah kecil, iaitu kurang daripada 10 sen bagi setiap penumpang dan setiap perjalanan.






Bank Negara berkata, pelarasan kadar premium tarif motor itu juga akan dikaji semula secara berkala bagi memastikan kadar premium yang diselaraskan terus mencerminkan pengalaman tuntutan.






“Langkah menyelaraskan semula kadar premium itu bagi menangani isu struktur dalam sektor insurans motor dan sektor takaful.






“Ia adalah sebahagian daripada langkah penambahbaikan yang dikenal pasti di bawah Rangka Kerja Perlindungan Motor Baru yang diumumkan pada 11 Mac tahun lalu,” katanya.






Bank pusat itu berkata, rangka kerja itu turut akan merintis jalan ke arah pelonggaran tarif sektor insurans motor pada 2016, iaitu apabila kadar premium akan dibezakan lagi mengikut profil risiko kenderaan individu dan lebih berpatutan kepada pemilik kenderaan kerana kenderaan yang mempunyai pengalaman tuntutan lebih baik akan menikmati kadar premium lebih wajar berbanding dengan pemilik kenderaan lain mempunyai profil risiko lebih tinggi.






“Rangka kerja itu akan membabitkan pelaksanaan segera beberapa langkah kritikal bagi meningkatkan kecekapan dalam penyelesaian tuntutan.






“Antara lain, ia turut akan mengurangkan dengan ketara purata jangka masa penyelesaian tuntutan kepada enam hingga 18 bulan daripada tempoh satu hingga lima tahun ketika ini,” jelasnya.






Bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat dan manfaat daripada rangka kerja ini, khususnya penambahbaikan proses penyelesaian tuntutan motor, katanya, Bank Negara dan industri insurans akan terus memberikan maklumat mengenainya kepada orang ramai menerusi program kesedaran dan capaian pengguna.







Bank Negara berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai rangka kerja itu boleh menghubungi bank pusat di TELELINK: 1-300-88-5465 atau melayari www.insuranceinfo.com.my, selain mengemukakan pertanyaan kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) atau penanggung insurans individu.








No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...