Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, November 5, 2011

Terjawab sudah..







http://www.harian-metro-online.com/wp-content/uploads/2011/11/habiskan-PPSMI.jpg



KERAJAAN pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).



Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, bahasa Cina di SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan bahasa Tamil di SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil). Di sekolah menengah, bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.




Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.




Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun 1 pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan 1 akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.



Bagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan 1 bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibu bapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.



Kosmo! Online







Pemansuhan PPSMI kekal



PUTRAJAYA 4 Nov. - Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada tahun 2016 dan untuk Sekolah Menengah pada 2021.



Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan murid-murid tahun dua tahun ini akan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga tamat tingkatan lima.



''Murid-murid tahun tiga hingga tahun enam tahun bagi sesi 2012 dibenarkan meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan (SK).



''Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, mereka dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa manakala SJK Tamil pula boleh menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa.



''Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar mengenai pelaksanaan peralihan secara mudah (soft-landing) PPSMI di sini hari ini.



Serentak itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, keputusan pemansuhan PPSMI adalah kekal kerana kerajaan tidak bercadang melaksanakannya semula seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.



''Pelajar yang baru masuk dalam sistem pelajaran kita mulai tahun ini, mereka akan ambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bahasa Melayu.



''Tetapi kita yakin dengan keputusan itu pencapaian murid di bawah kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM tidak akan terjejas," katanya.



Muhyiddin berkata, kajian kementerian mendapati hanya 6 hingga 7 peratus sekolah yang melaksanakan PPSMI.



Ini kata beliau menunjukkan kebanyakan sekolah mengajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu dan ia membuktikan PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan.



Jelas beliau, kajian mendapati pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual murid-murid menunjukkan mereka sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.



Katanya, murid mengambil masa lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana tidak faham bahasa Inggeris sehingga memaksa guru mengajar dalam bahasa Melayu supaya murid dapat memahaminya dan masalah itu turut dialami di bandar.



Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris melalui pengenalan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).



Di bawah MBMMBI itu, beliau menambah, kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.



''Antara inisiatif itu adalah penambahan masa Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru mahir dan penyediaan bahan sokongan yang berkualiti.



''Sehubungan itu, kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik dalam kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan," katanya.



Muhyiddin menambah, kementerian itu juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan meningkatkan penguasaan lisan kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.




http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm



Formula selesai PPSMI


Oleh


Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my

2011/11/05


Foto


TIMBALAN Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran,
Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Timbalan Menteri Pelajaran,
Datuk Wee Ka Siong (kiri) dan Ketua Pengarah Pelajaran,
Datuk Abdul Ghafar (kanan) pada Majlis Perjumpaan
Bersama Pegawai Kementerian Pelajaran
mengenai pemansuhan
Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Putrajaya, semalam.
- Foto Afendi Mohamed



  • Dibenar ikuti subjek dalam BI hingga Tingkatan Lima

  • Guna BM sepenuhnya 2016 SRK, 2021 SMK

PUTRAJAYA: Kira-kira lima juta pelajar kohort Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibenar meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris (BI) sehingga tamat Tingkatan Lima.


Ia berikutan keputusan Kabinet semalam untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia (BM) sepenuhnya di sekolah rendah pada 2016, manakala di sekolah menengah pada 2021 mengikut dasar Memarbatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (BI), BM atau dalam kedua-dua bahasa apabila memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan.



Katanya, keputusan itu diambil selepas kerajaan mengambil kira pandangan dan kerisauan ibu bapa, anak mereka yang sudah mengikuti pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan dalam BI selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.



“Perlu diperjelaskan juga, murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam 2012 dibenar untuk meneruskan pembelajaran dalam BI, BM atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan; BI, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan BI atau bahasa Tamil atau kedua-duanya di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil," katanya pada sidang media di sini semalam.
Kohort terakhir PPSMI di sekolah rendah pada masa ini berada dalam Tahun Dua tahun ini dan tamat Tahun Enam pada 2015.



Bagaimanapun, katanya bagi murid yang sudah mengikuti pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan dalam BM atau kedua-dua bahasa dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam BM sepenuhnya.



“Dengan keputusan ini, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang melaksanakan semula PPSMI seperti dituntut oleh sesetengah pihak,” katanya.



Muhyiddin serta Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, turut memberikan taklimat kepada Pengarah Pelajaran Negeri dan Pegawai Pelajaran Daerah berhubung perkara itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.



“Kerajaan berharap keputusan membenarkan kohort PPSMI, iaitu murid Tahun Dua hingga Tingkatan Lima tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam BI sehingga tamat Tingkatan Lima dapat melegakan ibu bapa.



“Kerajaan yakin dengan keputusan ini, pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia tidak akan terjejas," katanya.



Ditanya mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berupaya menghalang PPSMI dimansuhkan, Muhyiddin berkata beliau sudah berbincang dengan Perdana Menteri berhubung kaedah "soft-landing" itu.



“Saya berjumpa dengan Perdana Menteri sebelum beliau berangkat ke Makkah... kerajaan dalam hal ini sudah membuat keputusan secara bersama, ini bukan keputusan saya dan bukan keputusan Kementerian Pelajaran.



“Perdana Menteri adalah Pengerusi Kabinet... lebih-lebih lagi apabila ia sudah menjadi polemik, Perdana Menteri setuju PPSMI dimansuhkan cuma bagaimana nak laksanakan kita kemukakan hari ini (semalam),” katanya.



Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri ada memberikan pandangan untuk meningkatkan penguasaan BI seperti kandungan sastera Inggeris dimasukkan dalam silibus lebih daripada sekarang.



Katanya, kementerian akan mengkaji perkara itu untuk disesuaikan dengan masa pembelajaran di sekolah termasuk berkaitan sekolah dua sesi iaitu pagi dan petang.



“Saya harap Tun (Dr Mahathir) faham sebab dia penyokong kuat Barisan Nasional (BN), kita buat keputusan bukan untuk suka-suka tetapi saya percaya rakyat terima, ibu bapa boleh terima. Kita faham, sebab itu keputusan ini dibuat begitu rupa supaya tidak bangkitkan masalah kepada rakyat,” katanya.



Tahun lalu, kerajaan memutuskan dasar MBMMBI dimulakan tahun ini yang mana menyaksikan murid Tahun Satu tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam BM sepenuhnya manakala pelajar Tingkatan Satu tahun depan akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan dalam BM sepenuhnya.



Bagaimanapun, katanya, selepas mengambil kira pandangan ibu bapa, Kabinet mengambil keputusan seperti diumumkan semalam.



Muhyiddin juga berkata kajian Kementerian Pelajaran mendapati kurang lima peratus daripada jumlah kelas di 7,495 sekolah rendah menggunakan sepenuhnya BI dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains.



"Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang sembilan peratus daripada jumlah kelas di 2,192 sekolah menggunakan BI dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains," katanya.





Berita Harian Online





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...