Sahabat Maya :

Saturday, November 5, 2011

Salam AidilAdha




Keinsafan Abdul Hakim, Adiba






DESIR angin di padang kota suci Mekah seolah-olah masih dapat dirasai oleh Abdul Hakim Abd. Hamid sehingga kini. Bagaikan berpuitis, Abdul Hakim berkata: “Atas restu Allah, pada usia 15 tahun, Dia telah menyuluh sinar dalam hidup saya dengan menjemput saya menunaikan haji.”



Kesyukuran itu ujarnya, tidak dapat terlukis dengan kata-kata. Kini, dia bergelar Haji Abdul Hakim.



Akui remaja yang tinggi lampai sosok tubuh itu lagi, pemergiannya bersama ibu bapa dan tiga beradik yang lain ke rumah suci Allah pada tiga tahun lalu juga bagaikan satu mimpi indah yang tidak pernah usai.



Dendangan ayat-ayat suci Al-Quran yang sentiasa bergema tanpa henti di setiap penjuru, seolah-olah memberi mesej keinsafan kepada seluruh umat Islam di sana.



Berada selama lebih sebulan di Tanah Suci, Abdul Hakim yang kini berumur 17 tahun memberitahu, menjadi tetamu Allah, bagaikan satu anugerah terhebat dalam jurnal peribadinya.



Bertandang ke rumah Allah itu juga, kata remaja itu telah menghimpunkan satu transisi akhlak yang telah mengubah keseluruhan hidupnya.



“Benar, keperibadian dan karakter saya telah berubah sama sekali. Saya juga semakin sayang kepada keluarga dan seboleh-bolehnya ingin menjadi anak yang sentiasa taat kepada ibu bapa,” katanya yang mempelajari cara menunaikan ibadat haji melalui VCD dan beberapa buah buku rujukan.



Haji cilik itu juga berterus-terang. Jika dulu perasaan amarah sering mencengkam diri, kini dia lebih tenang dan bertanggungjawab.



Sebelum menjejakkan kaki ke kota suci Mekah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Indah, Seri Kembangan Selangor itu memberitahu, ibunya, Mazidah Mohd. Ghazali, 53, banyak menitipkan pesanan.



Antara yang kerap diingatkan ialah jangan cakap besar dan menjaga mulut ketika berada di Tanah Suci.



Ya, segala aral semestinya mahu disisihkan, namun sesungguhnya, kuasa Allah itu memang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia.



“Benar apa yang diceritakan oleh ibu, saya lupa apa yang berlaku kepada saya selama dua hari, sebenarnya saya sendiri tak sedar apa yang berlaku,” imbas Abdul Hakim mengulangi penceritaan ibunya kepada penulis.



Meremang bulu roma tatkala mendengarkan kisahnya. Apakah sebenarnya yang berlaku kepada remaja itu? Seperti yang diceritakan oleh Mazidah, sewaktu mereka sekeluarga sedang menikmati makan malam di bilik Hotel Al-Firdaus, abangnya mengusik Abdul Hakim.



IBADAH haji ialah syariat yang dibawa oleh
junjungan Nabi Muhammad s.a.w
sebagai membaharui dan menyambung
ajaran Nabi Allah Ibrahim a.s.




Disebabkan tidak tahan dengan usikan tersebut, Abdul Hakim beredar dari meja makan. Namun, secara tidak sengaja, anaknya itu telah melanggar kaki Mazidah. Secara spontan, Mazidah merengus.



Tidak semena-mena, Abdul Hakim jatuh sakit pada hari esoknya.



“Saya panggil dia untuk bersolat, dia bangun tapi dia bersolat dengan kadar yang sangat cepat. Adakalanya, matanya ke atas, itu memang menakutkan.



“Justeru, saya putuskan untuk bertanya mereka yang arif. Mendengarkan nasihat mereka, saya melurut badan Abdul Hakim dan berbisik dalam hati bahawa saya ampunkan segala dosa-dosanya,” cerita Mazidah. Abdul Hakim yang duduk berhampiran mengamati setiap kata-kata yang terpacul dari mulut ibunya.



Pengajaran



Tatkala memohon kepastian kepada empunya diri, remaja yang bakal menduduk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengangguk-anggukkan kepalanya.



“Tuhan bayar tunai kepada saya, ia mungkin disebabkan saya sangat marah dan dendam itu saya simpan dalam hati, saya juga telah menyakiti ibu.



Namun, saya menganggap kejadian yang menimpa adalah satu pengajaran,” kata Abdul Hakim menyesali perbuatannya.



Haji cilik itu diuji sekali lagi. Imbau remaja berkaca mata itu, pada hari-hari berikutnya terdetik di benaknya tidakkah ada haiwan-haiwan seperti anjing atau kucing di Mekah atau Madinah?



Tidak sampai beberapa ketika, Abdul Hakim terjumpa bangkai anjing dan paling menakjubkan, hanya dia sahaja yang dapat melihatnya sedangkan jemaah lain menafikan kewujudan haiwan itu.




Insiden itu sungguh menyentak dirinya. Rengsa di jiwa tidak dapat ditepis namun jauh di sudut hati, Abdul Hakim dapat merasakan kebesaran Allah Yang Maha Agung.



Meskipun dianggap masih mentah, pelajar itu memberitahu, mengerjakan ibadat haji dan mengunjungi Baitullah sesuatu yang sangat indah.



“Susah saya nak katakan, tapi di sana kita menemui ketenangan sejati. Alhamdullillah, semua rukun haji seperti wukuf, tawaf dan saie dapat dilakukan meskipun saya masih memegang buku untuk menghafal ayat-ayat tertentu.



“Seperkara lagi, jemaah haji yang datang dari seluruh pelosok dunia baik-baik belaka, mereka peluk dan cium kita tanda mereka menghargai kehadiran insan cilik seperti saya,” katanya.



ADIBA dan Abdul Hakim melihat gambar kenangan sewaktu menunaikan ibadah haji dua tahun lalu.




Turut serta bersama Abdul Hakim ke Tanah Suci ialah adik bongsunya, Adiba yang kini sudah berusia 11 tahun.



Adiba yang petah berbicara ditanya sejauh manakah pemahamanannya berhubung ibadat haji lantaran ketika itu dia berumur lapan tahun.



Kisah kucing



“Pada masa itu, saya hanya tahu pergi haji dapat pahala dan akan dapat ganjaran yang lebih. Tapi sekarang betapa bertuahnya saya dapat ke sana kerana ia adalah satu kewajipan kepada setiap mukalaf, terima kasih kepada ibu dan bapa saya kerana memberi peluang terhebat ini.”



Bagaimanakah Adiba menyempurnakan ibadah di tengah-tengah lautan manusia?



Ujar Adiba yang penuh sopan dan santun itu: “Saya sentiasa pegang tangan ibu dan ayah ke mana saja, walaupun bersesak-sesak, saya berjaya lakukan semua.”



Di sana, gadis itu dijamu dengan pemandangan yang unik belaka. Irisnya pernah melihat beberapa jemaah haji yang bersembahyang dengan mendukung anak.



Sambung Adiba, di kota suci itu juga dia mempelajari sesuatu yang sangat berharga. Paling terkesan di sanubarinya ialah melihat umat Islam melakukan solat di mana-mana sahaja waima di tepi atau di tengah jalan.



“Semasa waktu solat Zuhur, orang bersolat dari luar masjid hingga ke kaki lima hotel penginapan kami, meskipun berhimpit-himpit, saya tak terasa panas pun,” ujar pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Serdang itu.



Kata Adiba, dia sangat menyukai kucing. Ketika berada di Tanah Suci, pernah terlintas di benaknya tentang haiwan kesayangannya itu, pada masa yang sama tersingkap satu kisah yang tidak terduga olehnya.



“Semasa saya bersama ahli keluarga lain berada di Masjidil Haram, tiba-tiba saya ternampak kelibat kucing, saya maklumkan pada ibu tapi ibu kata dia tak nampak apa-apa pun,” ujarnya yang terpegun seketika.



Kanak-kanak ini memberitahu, tidak ramai dalam kalangan rakan sebayanya berpeluang ke Tanah Suci. Keadaan itu menjadikankan antara tetamu istimewa dalam kalangan jemaah haji dari negara-negara lain.



“Orang Arab suka usap kepala saya dan jemaah haji yang lain banyak yang menghadiahkan gelang dan menyarungnya ke tangan saya,” katanya yang kini bergelar Hajah Adiba.



Di Masjidil Haram juga, gadis comel itu memberitahu, dia terpaku apabila air zam-zam terdapat di setiap sudut.



“Air zam-zam di sana sangat manis, rasanya tidak seperti di Malaysia,” katanya.



Sementara itu, Mazidah memberitahu, keluarganya memang berhasrat membawa kesemua anak-anaknya menunaikan haji. Pada asalnya, kata bekas kakitangan awam itu, dia agak ragu-ragu untuk membawa Adiba dan Abdul Hakim ke sana kerana umur yang masih muda.



“Namun, saya berserah saja kepada Allah, kami membawa dia pergi kursus bersama-sama. Alhamdullillah, kami anak beranak menempuh laluan yang mudah ke sana,” katanya penuh kesyukuran.













No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...