Sahabat Maya :

Monday, November 7, 2011

Sesi Penerangan MBMMBI



Sesi Penerangan MBMMBI Kepada Pihak Sekolah

Dijangka Minggu Depan - Timbalan Menteri Pelajaran




KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Sesi penerangan kepada pihak sekolah mengenai dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dijangkakan akan bermula minggu depan secara berperingkat, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.



Beliau berkata penerangan kepada pihak sekolah dibuat ekoran sesi penerangan peringkat kementerian yang diadakan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.



Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri turut memberi penerangan kepada Kabinet semalam.



Wee memberitahu pemberta di sini hari ini Kementerian Pelajaran sedang menyiapkan surat pekeliling mengenai MBMMBI yang akan diedarkan ke Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.



Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa penghapusan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan menyebabkan Malaysia ketinggalan dalam bidang sains dan matematik, beliau berkata negara sepatutnya mencontohi negara ekonomi besar lain yang berjaya walaupun rakyat mereka mempelajari sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing-masing.



"Saya ambil contoh China. Mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris, namun masih mampu melancarkan roket," katanya menambah bahawa penguasaan bahasa tidak menjamin kepada penguasaan ilmu sains dan matematik.



Ditanya mengenai tempoh peralihan pelaksanaan PPSMI ke MBMMBI yang dikatakan mengambil masa terlalu lama, beliau berkata tempoh itu adalah normal.



"Peralihan dari satu sistem ke satu sistem yang lain memang mengambil masa. Dahulu peralihan dari pengantar bahasa Inggeris ke bahasa Melayu pun mengambil masa 12 tahun," katanya.

















No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...