Sahabat Maya :

Monday, November 7, 2011

Bersediakah Melayu untuk terus berkorban

Bersediakah Melayu untuk terus berkorban



Oleh Ahmad Naim Tahir
ahmadnaim@bharian.com.my




Bukan sekadar hak disentuh, malah kesucian agama dicabar






SUDAH baca karya terbaru Khalid Salleh, aktivis seni asal Batu Pahat? Bukan manuskrip teater Anjing Untuk Diplomat, tapi buku Melayu hilang di dunia setebal 310 muka surat.




Secara harfiah, tajuk itu terang-terangan lawan kata-kata keramat Hang Tuah, pahlawan Melayu terbilang yang kisahnya banyak dicatatkan dalam buku sejarah. Dulu, laksamana kata ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia', sekarang Khalid tulis buku dengan tajuk yang terbalik pula. Kalau belum baca, lebih kurang begini isi karya, penuh pendapat Khalid mengenai bangsa Melayu yang semakin ‘dihilangkan’ identitinya.






Penulisnya mengemukakan hujah mengenai nasib bangsa yang kian berpecah-belah, bertelagah, lebih banyak berdebat daripada muafakat, akhirnya orang lain yang bukan sebangsa beroleh manfaat.






Jangan salah sangka, kolum ini bukan ulasan buku, tapi sekadar mahu bercerita mengenai nasib orang Melayu. Pasal pengorbanan bangsa kita dari dulu, banyak beralah bukan sekali-sekala, tetapi selalu. Kebetulan juga hari ini umat Islam menyambut Aidiladha, hal korban juga tema utamanya.






Aidiladha membawa iktibar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang mengajar umat Islam taat perintah, beriman dan berserah kepada Allah. Berkorban ertinya sanggup memberikan dengan ikhlas sesuatu yang amat disayangi kepada orang lain. Natijahnya, sesuatu yang dikorbankan itu membuatkan orang yang memperolehnya pula mendapat manfaat.






Hakikatnya, sudah lama orang Melayu berkorban, semua demi rakyat dan negara, demi perpaduan dan keamanan. Dari sekecil-kecil perkara sehingga yang meragut sentimen bangsa. Semua itu bukan perkara lumrah, tak boleh ditidakkan oleh sesiapa. Semuanya tercatat dalam lipatan sejarah, malah pengorbanan juga menyaksikan terpisahnya sebuah pulau daripada sebahagian negara.





Dulu ada ramai orang Melayu di pulau itu, tapi lama kelamaan semakin ramai ‘angkat kaki’ meninggalkan kampung halaman yang sudah bertukar jadi hutan batu. Kini orang Melayu di sana bergelar penduduk minoriti, negara mereka pula digelar ‘Tanah Kurang Melayu’.






Bercerita mengenai perkara ini, teringat pula artikel Kaki Dalam Kasut tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad. Dua tahun lalu, beliau meminta bukan Melayu mengambil kira nasib orang Melayu yang sudah banyak berkorban, meminta bukan Melayu mengandaikan berada di tempat kaum terbesar di Malaysia itu dan bertanya sama ada mereka juga boleh berkorban seperti orang Melayu.






Apapun semua benda yang lepas sudah jadi sejarah, pengorbanan dan ‘pemberian’ oleh orang Melayu boleh diniatkan sebagai sedekah. Kini, kita perlu memandang ke depan, menilai dan mengkaji isu mendatang yang mungkin menyaksikan episod lama berulang.






Cabaran menduga bangsa kini sebenarnya jauh lebih besar, bukan lagi sekadar menyentuh hak dan keistimewaan yang sudah lama perjanjian mengenainya dilakar, malah nampaknya kesucian agama juga mahu dicabar. Ketika isu murtad masih diperdebat, timbul pula inisiatif gila digerakkan kumpulan tertentu yang mahu seks bebas diberikan tempat dalam masyarakat.






Penggeraknya menggunakan hujah atas hak asasi manusia untuk menghalalkan perjuangan mereka. Rasanya masih ramai yang ingat ada antara nama dalam kumpulan itu tak lama dulu membuat kacau di ibu negara, kononnya menuntut keadilan dan ketelusan dalam sistem pilihan raya. Ketika itu, nasihat supaya membatalkan perhimpunan langsung tak diendah sebaliknya penganjur tetap berdegil, sekarang orang yang sama perjuangkan kebebasan lesbian dan gay.






Jangan fikir tiada orang Melayu Islam turut serta dalam gerakan mereka itu, lantaran seks songsang kini tidak lagi menjadi perkara yang ‘taboo’. Hubungan sesama jantina juga bukan lagi perkara yang mendatangkan malu. Andai cuba menegur, jangan terkejut jika kita pula disergah supaya jangan cuba menyibuk. Kalau tak percaya apa yang diperkatakan ini, cubalah cari insan Melayu Islam bernafsu sedemikian dalam internet atau Facebook.






Baru-baru ini juga, ada isu lama dibangkitkan kembali. Isunya siapa yang boleh diangkat sebagai Perdana Menteri. Kata seorang menteri, sesiapa pun boleh jadi asalkan dapat sokongan rakyat majoriti. Di negara kita sekarang, kaum Bumiputera membentuk majoriti iaitu 63 peratus daripada keseluruhan kira-kira 28 juta populasi. Maknanya orang Cina, India atau bangsa apa pun boleh pimpin negara.






Nak jadi pemimpin sesebuah negara, mesti faham aspirasi rakyatnya, budaya dan adat resam mereka. Kalau mahu contoh lebih dekat, ambil saja Indonesia dan Thailand. Rakyatnya baik bangsa atau etnik apa pun, semua sudah sebati, sudah mengasimilasi adat resam, corak hidup dan budaya penduduk asal hasil Perlembagaan atau undang-undang yang digubal.






Negara kita pula unik dan mungkin tiada persamaan pun dengan negara lain. Andai ada bukan Melayu dipilih jadi Perdana Menteri nanti, dapatkah dijamin individu itu bersedia menerima dan mempertahankan dasar dalam Perlembagaan dan menjadi bangsa Malaysia setulen-tulennya. Bersediakah individu itu mempertahankan hak Melayu dan keistimewaan diperuntukkan kepada bangsa terbesar itu?






Jika mahu mengambil kira Perlembagaan Negara, tiada salahnya jawatan Perdana Menteri diisi bukan Melayu, tetapi sudah tersurat antara tanggungjawab pemimpin tertinggi itu menjadi penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu.






Memang Perlembagaan boleh dipinda, tetapi adakah ia akan menggambarkan hasrat dan aspirasi keseluruhan rakyat, bukan sekelompok atau satu pihak semata-mata. Adakah nanti kebaikannya untuk seluruh negara.






Kita sudah ada enam Perdana Menteri, semuanya berkhidmat dengan penuh terpuji. Sumbangan pemimpin berkenaan kepada masyarakat dan negara tak boleh dinafi. Semua pemimpin tertinggi setakat ini adalah Melayu, tetapi sudah termaktub tanggungjawab mereka menjaga semua bangsa dan penganut semua agama tak kira Islam, Buddha, Kristian atau Hindu.






Perlu juga diingat, tidak semua yang diminta dapat ditunaikan. Orang Melayu ada kelebihan dan kelemahan, ada yang masih miskin dan ada ramai juga jadi jutawan. Begitu juga keadaannya bagi bangsa Cina, India, malah situasi sama juga bagi setiap etnik yang ada di negara kita, baik Orang Asli, Murut, Iban atau Kadazan.






Namun, andai ada perubahan mentaliti nanti, bila jiwa Malaysia kental dalam setiap diri, bila semua bangsa sudah sebati dalam asimilasi, mungkin orang Melayu juga sedia berkorban menyaksikan bangsa lain jadi Perdana Menteri. Namun andai ketika itu juga pasu belum retak lagi, buat apa susah-susah nak ia diperbaiki?







No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...