Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, November 30, 2011

Pemikiran kritis pencetus budaya inovasi


Pemikiran kritis pencetus budaya inovasi


PEMIKIRAN kritis adalah satu kemahiran pemikiran penting yang perlu dikuasai rakyat sesebuah negara yang inginkan kemajuan. Kegagalan sesebuah negara melahirkan generasi pelajar yang berfikiran kritis akan menyekat lahirnya inovasi. Inovasi hanya boleh tercipta jika negara mempunyai rakyat berfikiran kritis dan tidak menerima sesuatu seadanya.



Orang yang berfikiran kritis sentiasa memikirkan secara mendalam bagaimana sesuatu perkara boleh diperbaiki walaupun kadangkala ia terpaksa menongkah arus. Saya amat bersetuju dengan pandangan Tan Sri Tony Fernandes yang menyatakan pemikiran kaku dan sikap tidak mahu berubah akan membunuh budaya inovasi. Seterusnya beliau menyarankan supaya persekitaran yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang lahirnya idea yang boleh dikembangkan.



Sistem pendidikan di Malaysia sejak dari peringkat rendah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi meraikan pemikiran kritis. Sebagai contoh, pada peringkat pengajian tinggi, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dengan jelas menggariskan satu objektif ia dirangka ialah untuk melahirkan graduan inovatif yang berfikiran analitikal dan kritikal. Kaedah pembelajaran yang berasaskan masalah diperkenalkan di universiti kerana kajian menunjukkan kaedah ini berupaya melahirkan pelajar yang berfikiran kritis.
Apa yang membimbangkan saya ialah keselarian di antara penekanan kepada pemikiran kritis dan tahap penerimaan masyarakat terhadapnya. Selepas usaha yang jitu untuk melahirkan generasi yang berfikiran kritis, bagaimana pula penerimaan masyarakat terhadap generasi yang berfikiran kritis? Adakah persekitaran yang ada selari dan kondusif untuk orang yang berfikiran kritis memberikan sumbangan? Jika persekitaran yang ada tidak menyokong dan meraikan orang yang berfikiran kritis untuk terus memberikan idea, maka sia-sialah usaha gigih kerajaan menerapkan pemikiran kritis di dalam sistem pendidikan negara.







Saya juga bersetuju dengan pandangan Profesor Datuk Dr Zaini Ujang bahawa inovasi dilakukan tidak semestinya terikat kepada bidang kepakaran kita saja. Kita bebas untuk memberikan pendapat asalkan ia mampu untuk mewujudkan proses penambahbaikan.







Secara peribadi, saya amat bertuah kerana bekerja di organisasi yang mempunyai budaya komunikasi terbuka yang membolehkan pendapat diberikan tanpa mengira kedudukan di dalam organisasi. Saya juga bertuah kerana banyak juga organisasi, malah pihak kepemimpinan tinggi negara menerima baik idea yang pernah saya kemukakan. Apa yang merisaukan saya ialah budaya ini masih terbatas di sesetengah organisasi lain. Pada pendapat saya, sikap enggan berubah ini amat berbahaya kepada kelangsungan organisasi itu.







Saya ingin menyarankan agar kempen diadakan untuk menyedarkan masyarakat bahawa pemikiran kritis bukanlah negatif, tetapi pencetus kepada budaya inovasi.








AMIN ALI,



Pensyarah Kanan



Pusat Pengajian Perakaunan



Universiti Utara Malaysia.








No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...