Sahabat Maya :

Tuesday, November 9, 2010

Memupuk semangat sukarelawan.


Tingkat semangat


sukarelawan



menerusi aktiviti


beruniform



TAWFIQ Abu Bakar Titingan (tengah, barisan belakang) bergambar dengan anggota Persatuan Tunas Puteri SK Bandar 2 di Kompleks Sukan Tawau, semalam.


TAWAU 8 Nov. – Golongan pelajar disaran supaya bergiat aktif dalam persatuan beruniform di sekolah masing-masing bagi memupuk semangat sukarelawan di kalangan mereka.

Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, semangat sukarelawan perlu disemai pada usia muda bagi membolehkan ia sebati dan berkembang sejajar perkembangan diri generasi muda tersebut.

‘‘Daya kepimpinan dan nilai-nilai semangat sukarelawan bagi generasi muda kita haruslah dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi,” katanya ketika merasmikan Program Kem Tunas Puteri Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar 2 di Kompleks Sukan Tawau, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Pandu Puteri Daerah Tawau, Shamsiah Bahrun.

Tawfiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, aktiviti sukarelawan mampu membentuk jati diri pelajar menjadi insan yang lebih berguna.

Menurutnya, nilai tersebut harus ditanam dalam diri para pelajar bagi memastikan mereka mencapai kejayaan dalam akademik dan sosial.

Di samping itu, katanya, ibu bapa harus memainkan peranan penting dengan menyokong pembabitan anak-anak mereka dalam persatuan beruniform di sekolah.

‘‘Ibu bapa harus menaruh kepercayaan dan keyakinan bukan sahaja kepada anak-anak malah kepada guru pembimbing untuk mendidik anak-anak menyertai pelbagai aktiviti di luar sekolah,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berbangga dengan keupayaan SK Bandar 2 dalam menjalankan aktiviti Kem Tunas Puteri sekolah itu.

Beliau berharap, pelajar sekolah berkenaan akan berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk meningkatkan daya kepimpinan dan sukarela mereka pada masa akan datang.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...