Sahabat Maya :

Sunday, November 7, 2010

Disleksia bukan OKU



Disleksia bukan OKU



SETIAP insan dilahirkan dengan ciri berbeza. Perbezaan inilah menjadikan setiap individu itu istimewa. Begitu juga dengan kanak-kanak yang disahkan mengalami disleksia.

Mereka hanya mengalami sejenis gangguan dalam pembelajaran ketika peringkat kanak-kanak dan bukanlah sejenis penyakit.

Kebiasaannya, kanak-kanak dengan disleksia mengalami gangguan membaca, menulis, mengeja dan mengira walaupun mereka mempunyai pemikiran yang normal.

"Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukan bodoh, apatah lagi tergolong dalam golongan orang kurang upaya (OKU). Mereka sebenarnya cerdik. Cuma mereka mengalami masalah pembelajaran.

''Disebabkan mereka istimewa, kaedah pengajaran juga perlu istimewa dan pastinya ia berlainan dengan kanak-kanak lain," kata Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin.

Menurut beliau, setiap individu disleksia mengalami kecelaruan berbeza antara satu sama lain. Walaupun begitu karakter biasa adalah kesukaran mengeja, memproses fonologi (bunyi) dan tindak balas visual-verbal.

Sebagai contoh sesetengahnya mempunyai masalah menyebut perkataan yang panjang.

Bukan kerana tidak boleh menyebut, tetapi mereka keliru untuk menyusun suku kata dengan betul, katanya.

"Misalnya jika disuruh mengeja perkataan istimewa mereka mampu mengeja dengan betul, tetapi bila disuruh eja perkataan diam ia menjadi "diyam" kerana mereka mengeja mengikut bunyi," kata beliau.

Selain itu, katanya, kanak-kanak disleksia juga sering mengalami masalah mengeja perkataan yang mempunyai konsonan berturutan seperti 'ng' dan 'ny.'

Disebabkan kesukaran mengikut turutan itu menjadikan mereka mudah lupa mengenai turutan seperti sifir dan nama hari.

Masalah disleksia, katanya, boleh diperbaiki seandainya kanak-kanak terbabit diberi bantuan awal sebelum mereka memasuki persekolahan lagi.

Mengikut perangkaan, kata beliau, 400,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami disleksia dan bermakna setiap dua daripada 20 kanak-kanak mengalami masalah itu.

Kata beliau, disleksia boleh dikesan ketika kanak-kanak tadi di peringkat prasekolah lagi. Seandainya mereka masih tidak boleh membaca atau gagal mengenali abjad biar pun sudah setahun menduduki kelas, mereka patut diberi perhatian.

"Masalah berlaku apabila ibu bapa tidak mengambil serius dan menganggap ia perkara biasa. Lalu masalah ini berlanjutan ke peringkat sekolah rendah.

"Ketika ini baru mereka mula menyalahkan anak dengan menganggap dia bodoh, pemalas dan lembap. Ini merosakkan anak itu sendiri," katanya.

Bagi Sariah, masalah disleksia di Malaysia kurang diberi perhatian dan tiada kajian khusus mengenainya. Ini berbeza jika dibandingkan dengan negara-negara Barat yang mengambil serius masalah seperti ini.

Tidak hairanlah andai beberapa individu berjaya seperti bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dan pelukis terkenal, Leonardo Da Vinci merupakan bekas penghidap disleksia.

Sebagai persatuan yang bertanggungjawab dengan masalah berkaitan, Persatuan Disleksia Malaysia kata Sariah menyediakan kelas khas bagi kanak-kanak sebegini.

Menurutnya, kaedah dan persekitaran sekolah tersebut semestinya berbeza dengan biasa dan sebagai sebuah NGO, terdapat beberapa kekangan yang membataskan perjalanan usaha mereka.

"Kami mempunyai tempat dan kewangan yang terhad. Begitu juga dengan bilangan guru. Di ibu pejabat, kita mempunyai lima orang guru yang setiap seorang diberi tanggungjawab menyelia maksimum lima orang murid," katanya.

Menurut beliau, kanak-kanak disleksia perlukan lebih perhatian dan penekanan. Jika mereka ditempatkan di dalam kelas yang ramai, masalah akan berlaku.

Sebelum diterima masuk, mereka akan diberi penilaian untuk mengenalpasti masalah yang dialami. Jelas beliau lagi, jika sekadar disleksia, proses pembelajaran kanak-kanak tadi tidak sukar.

Bagaimanapun, bagi kanak-kanak disleksia yang mengalami masalah lain seperti hiperaktif, ADHD dan sebagainya ia lebih sukar.

Menurut Sariah, menyedari kaedah pengajaran kanak-kanak disleksia berbeza dengan kanak-kanak biasa, pihaknya mencipta satu suasana yang tidak terlalu stres seperti di dalam bilik darjah biasa.

Kelas dalam bentuk kumpulan kecil yang dipenuhi pelbagai aktiviti menguji minda menarik minat mereka.

Selain ibu pejabat di Jalan Ampang Hilir, Persatuan Disleksia Malaysia juga mempunya cawangan lain di Titiwangsa (Kuala Lumpur), Subang Jaya, Tanjong Bungah (Pulau Pinang), Ipoh (Perak), Bandar Indera Mahkota (Pahang), Taiping (Perak) dan Langkawi (Kedah).


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...