Sahabat Maya :

Tuesday, April 27, 2010

Pembestarian Sekolah Kebangsaan


“JIKA hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.”

(Usman Awang, 1979)


Jeyarawara pembestarian

sekolah kebangsaan bermula



DR. ISMAIL Zain menyampaikan ceramah mengurus perubahan sempena Jeyarawara pembestarian sekolah di SMk Al-Irshad di Pulau Pinang baru-baru ini.


KEPALA BATAS 25 April - PENGURUS Kanan Jabatan Sekolah Bestari Pebadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) Dr, Norrizan Razali pernah menekankan bahawa, pelajar bukanlah isu yang besar kepada pelaksanaan dasar pembestarian sekolah.

Isu yang perlu ditangani – yang akan menentukan berjaya atau gagalnya program pembestarian sekolah ialah penerimaan dan persepsi ibu bapa, pentadbir sekolah dan masyarakat setempat.

Bertitik tolak kepada kepercayaan itu. MDeC memulakan gerakan Jeyarawara Pembestarian Sekolah ke enam buah negeri mulai tahun ini. Jeyarawara merupakan istilah nusantara bagi perkataan bahasa Inggeris roadshow atau istilah umumnya, jelajah.

Bagi tujuan itu, Pulau Pinang menjadi negeri pertama, dengan tuan rumah dipilih ialah SMKA Al-Irshad, sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan, baru-baru ini. Tahniah kepada MDeC yang menjalankan inisiatif tersebut, yang berjaya menarik perhatian masyarakat setempat, melalui penyusunan pelbagai aktivti dan pameran oleh beberapa rakan kongsinya.

Isu seperti memupuk perasaan saling percaya mempercayai antara ibu bapa, guru dan pihak sekolah, menyemarakkan semangat perkongsian dan menambah pengetahuan, menjadi inti pati kepada program Jeyarawara.

Usaha MDeC itu sebenarnya merentas dasar kerajaan yang mahu melonjakkan kuasa guna perkakasan dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi di seluruh negara melalui pelbagai inisiatifnya seperti jalur lebar, gerbang maklumat, pelepasan cukai perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan banyak lagi.

Usaha itu juga sejajar dengan usaha menyediakan subsidi komputer buku kepada para pelajar yang berpendapatan kurang daripada RM3,000, dengan hasrat untuk melihat 50 peratus rakyat di negara ini mempunyai akses kepada Internet.

Usaha oleh MDec tu juga diharapkan dapat memantapkan kitaran pengunaan ICT di sekolah melalui mekanisme SSQS, termasuk keperluan asas seperti emel, integrasi, pedagogi dan sebagainya.

Namun, ada kekangan di sana sini yang mungkin memperlahankan usaha murni tersebut.

Sebagai contoh, projek sekolah terbengkalai di Pulau Pinang membantutkan usaha Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pulau Pinang menggapai ranking lima bintang di bawah penarafan SSQS program Pembestarian Sekolah.

Kata Pengarah Pelajaran, Ibrahim Mohamad mengakui kekangan itu, sambil menambah bahawa kini penarafan program pembestarian sekolah di negeri itu menunjukkan pencapaian Pulau Pinang telah mencecah 97.7 peratus bestari , menghampiri 100 peratus daripada kriteria pelaksanaan program itu.

``Kita tidak mampu mencapai 100 peratus kerana terbantut oleh projek yang terbengkalai walau geran telah dilancarkan,’’ kata beliau.

Ujar beliau, beberapa data pula tidak boleh dikemaskinikan oleh guru besar kerana kekangan itu.

``Laluan Internet melalui SchooNet juga agak lembab ekoran laluan yang sempit digunakan oleh pengguna yang banyak,’’ katanya.

Selain pameran, program tersebut turut diisi dengan ceramah dan taklimat pembestarian sekolah oleh pakar motivasi dan penasihat Portal Pendidikan Utusuan Malaysia, Dr. Ismail Zain dan Pegawai Meja Program Sekolah Bestari Luar Bandar Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Saiful Nizam Ramlee.

Pogram taklimat diatur untuk pentadbir, guru serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam empat sesi sepanjang dua hari. Dr Ismail dalam sesinya menjelaskan tentang keperluan kepada perubahan paradigma minda ke arah pembestarian sekolah, selain amalan terbaik, dan sokongan pemimpin setempat untuk menjayakan program yang murni itu.

Sementara itu, antara pempamer rakan usaha Jeyarawara ialah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Pulau Pinang, Multimedia Synergy Coorporation Bhd (MMSC) , Telekom Smart School (TSS), Portal Pendidikan Utusan Malaysia

Pengurus Jabatan Sekolah Bestari MDEC, Sofia Akmal Abu Bakar memberitahu, pengetua, guru besar dan guru dari 25 buah sekolah mengikuti taklimat dan ceramah motivasi mengrus perubahan itu.

Bagi sesi komuniti keesokannya, wakil PIBG dari sekitar Kepala Batas dan Tasik Gelugor serta kawasan lain sekitar Daerah Seberang Prai Utara mengikuti program berkenaan.

Menurut beliau, tiga buah skolah di ulau Pinang merupakan perinis bestari di negeri itu iaitu SMK Dato’ Onn (Butterworth), Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheikh Shahabuddin dan SMK Abdullah Munshi.

Kategori luar bandar untuk sekolah bestari di negeri itu yang dipilih ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Mah Hua dan SMK Agama (SMKA) Al Irshad.

Sebuah sekolah kategori bandar yang baru sahaja mendapat anugerah lima bintang ialah SMK St Mark di Butterworth.



Sumber : http://www.tutor.com.my/dunia.asp?y=2010&dt=0426&pub=DuniaPendidikan&sec=Berita&pg=be_01.htm



===============


Membestarikan Guru


DALAM proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru yang bestari mampu mempelbagaikan teknik, kaedah dan sumber agar proses tersebut memberi impak yang menarik kepada murid-murid. Ketiga-tiga aspek ini tidak sepatutnya dipisahkan malah memerlukan pengintergrasian secara bijak.


Mengikut Gardner, H. (1993) pada asasnya setiap manusia mempunyai lapan kepelbagaian kecerdasan. Kepelbagaian kecerdasan ini ada kaitannya dengan fungsi otak kiri dan kanan.


Ia mencakupi kecerdasan verbal-lingustik, kecerdasan matematik-logikal, kecerdasan kinestatik, kecerdasan visual-ruang, kecerdasan intrapersonal, kecerdasan interpersonal, kecerdasan muzik, dan kecerdasan naturalis.


Menurut beliau kecerdasan ialah ”... an intelligence as a set of skills that enables one to resolve genuine problems or difficulties or to create an effective product.”


Pernyataan ini memberi asas yang kukuh kepada kefahaman terhadap potensi sebenar otak atau fikiran manusia. Beliau juga mengatakan bahawa semua orang mempunyai kecerdasan tetapi tidak serupa.


Kecerdasan pelbagai ini boleh disuburkan dan diperkukuhkan, atau dibiarkan dan dilemahkan. Oleh itu dengan memahami kekuatan dan kelemahan pelajar dalam setiap kecerdasan, guru-guru boleh membantu murid dengan merancang pelbagai kaedah yang bersesuaian dengan ciri-ciri murid untuk menjadikan mereka lebih berjaya.


Dalam penggunaan media misalnya kajian yang dibuat oleh Ismail Zain & Suriati Abdul Aziz, 2008, terhadap murid-murid tahun lima tentang elemen multimedia yang terdapat dalam bahan CD-ROM mendapati terdapat pelbagai variasi respond tanpa mengira profil kecerdasan pelbagai masing-masing.


Sebagai contoh, murid-murid yang mempunyai profil yang lebih bercirikan muzik masih memberi respond yang tinggi terhadap elemen teks. Ini membawa pengertian bahawa walaupun elemen-elemen yang dianggap popular seperti video, audio, dan grafik diberi keutamaan tetapi penghasilannya perlulah relevan serta sesuai dengan prinsip-prinsipnya.


Perkara ini adalah penting kerana sekiranya elemen-elemen tadi tidak dirancang dan dihasilkan dengan rapi untuk memenuhi kehendak pembelajaran dan citarasa murid, maka sudah tentu elemen-elemen yang popular ini membosankan murid.


Guru bestari perlu mengenali profil kecerdasan murid-muridnya serta memahami kehendak murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru bestari juga berani meneroka kaedah dan teknik secara bijak dan membuat perancangan yang teratur untuk memaksimumkan hasil pembelajaran kepada murid-muridnya.


Setiap tahun guru bestari harus membuat transformasi diri dan pengajarannya dengan mengambil kira perkembangan semasa tanpa menjejaskan halatuju yang tersedia ada.


Sebagai contoh, pada masa kini sistem pendidikan memerlukan seorang murid yang mempunyai ketrampilan diri melalui kegiatan kokurikulum atau memerlukan seseorang murid ini mahir dalam bidang teknologi maklumat.


Justeru, guru bestari perlu menggunakan kreativitinya mencorakkan pengajaran yang mampu melahirkan generasi yang menjadi aspirasi negara.


Kegagalan seorang guru mencorakkan pengajarannya akan menggagalkan satu generasi yang boleh meruntuhkan sesebuah negara.



Sumber : http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2010&dt=0128&pub=DuniaPendidikan&sec=Kaunseling&pg=ka_01.htm



1 comment:

  1. salam Cikgu Roha
    TQ atas perkongsian artikel ini
    semoga kita sama2 dapat menjadi pendidik.amin

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...