Sahabat Maya :

Sunday, April 25, 2010

Gempita tsunami udara











Letusan gunung berapi yang dilitupi ais di Iceland telah menyebabkan negara-negara Eropah diselubungi debu hitam minggu ini.




“IA sangat aneh, hanya satu kejadian gunung berapi seluruh Eropah terjejas,” kata Claire Maertens, 49, seorang pelancong Belgium yang tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok, Thailand kerana penerbangan ke kampung halamannya di barat laut Eropah dibatalkan ekoran fenomena letusan gunung berapi di bawah glasier di Iceland.

Hakikatnya memang begitu. Kepulan debu hitam daripada letusan Gunung Berapi Eyjafjallakokull, Iceland minggu lalu itu telah meliputi seluruh langit Eropah.

Ia menyebabkan 100,000 penerbangan yang merentasi ruang angkasa benua itu dibatalkan dan syarikat penerbangan kerugian sebanyak AS$1.7 bilion (RM5.44 bilion) iaitu yang terburuk dalam sejarah.

Seramai 1.2 juta penumpang terkandas setiap hari telah mencorakkan pelbagai ragam dan huru-hara. Tidak kurang yang naik angin apabila bercerita terlepas urusan perniagaan, temu janji dan majlis perkahwinan.

Anak Malaysia yang menetap di Dublin, Ireland, Hazman Abdul Hamid, 37, merasa tempiasnya akibat letusan itu.


KILAT terbentuk dalam asap letusan akibat geseran antara partikel di dalamnya.


Tertangguh

Sebagai Pengurus Sumber di sebuah syarikat rekaan dalaman, Brian S. Nolan resah kerana barang yang ditempah masih belum tiba biarpun pesanan dibuat sebelum beliau bercuti Spring Week lagi.

“Saya masih menunggu ketibaan barang-barang yang telah dipesan dari United Kingdom, Eropah dan beberapa bahagian dunia yang lain.


KIRA-KIRA 700 penduduk di sekitar Eyjafjallakokull diarah meninggalkan kediaman masing-masing.


“Sepatutnya semua barang itu tiba sebaik saya pulang daripada bercuti tetapi nampaknya kerja terpaksa ditangguhkan dan saya perlu terus menunggu sehingga laluan udara dibuka dan kesemua barang yang dipesan tiba,” kata Hazman.

Ketika dunia sedang panik berdepan dengan kesan letusan gunung berapi itu, chef tersohor negara dan diiktiraf dunia, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail, 52, sedang terkandas di London.

“Saya sedang bingung sekarang. Saya tidak tahu sampai bila saya akan terkandas di sini.

“Dua, tiga malam sejak kebelakangan ini memang saya tidak nyenyak tidur kerana saya sepatutnya sudah terbang pulang ke Malaysia pada 19 April lalu untuk memenuhi beberapa undangan,” ujarnya ketika dihubungi Rabu lalu.


TERKANDAS di lapangan terbang ialah antara kesan yang jelas kelihatan susulan dari musibah letusan Eyjafjallakokull.


Sepatutnya, jika merujuk jadual yang telah diatur, Chef Wan sedang berucap dalam sebuah seminar di Petronas Melaka pada hari itu.

Pada 25 April pula, beliau bertanggungjawab membuat demonstrasi pada Pesta Makanan Selangor yang dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.




Terbang langsung ke London dari Pulau Mauritius lima hari sebelum itu, Chef Wan berada London bagi membuat rakaman televisyen sebagai tetamu siri The Market Kitchen untuk saluran UK Food Network.

“Pada masa yang sama saya memenuhi undangan untuk membuat persembahan masakan di World Gourmand Cookbook Celebrity Chef Performance Theater sempena Pesta Buku London,” kongsinya.

Pemandangan kelam-kabut di kaunter tiket kereta api dan feri di mana kesemua tiket untuk dua minggu habis ditempah juga tidak membantu mententeramkan perasaannya. Sedangkan cuaca di London pada ketika itu, kata Chef Wan, masih cerah.

“Orang ramai sudah mula bimbang kalau-kalau letusan gunung berapi itu bertambah serius. Kalau ia terjadi, bencana alam besar menanti.

“Terfikir juga, kalau ditakdirkan saya meninggal dunia kerana bencana itu, biarlah di tanah air sendiri, bukan di negara orang,” luahnya yang mendapat berita tentang letusan itu melalui jurukamera ketika membuat rakaman. Melihat paparan klip rakaman letusan itu di televisyen juga sudah menakutkannya.

“Suasana di sini menjadi kelam-kabut. Saya menjadi takut ketika melihat laporan berita bahawa orang ramai sehinggakan bertumbuk di lapangan terbang kerana hilang sabar berebut hendak menuju ke destinasi masing-masing.

“Dalam fikiran saya tanda-tanda kecil kiamat sudah bermula kerana mengenangkan ceramah ulama yang sempat saya dengar, manusia digambarkan menunjukkan perangai buruk mereka dalam keadaan seperti ini ketika menghampiri kiamat,” luah Chef Wan.

Rancang Chef Wan, beliau mahu cuba menaiki feri ke Perancis pada keesokan harinya.

Jalan pulang

“Mana tahu ada feri tambahan ke Perancis. Sampai di Perancis saya akan cuba dapatkan feri ke Sepanyol dan selepas itu ke Casablanca, Maghribi. Dari sana, saya akan naik kapal terbang ke Dubai dan balik ke Malaysia,” cerita bapa kepada aktres Serena Redzuawan itu.

Berita baiknya, Chef Wan dilaporkan berjaya pulang pada Jumaat lalu melalui penerbangan langsung dari London ke Malaysia.

Berbalik kepada kejadian gunung berapi di Iceland, panggilan telefon daripada seorang pegawai perlindungan sivil pada pukul 2 pagi 15 April 2010 menjadi amaran pertama buat penduduk ladang Thorvaldseyri bahawa gunung berapi yang dilitupi ais, Eyjafjallajokull, yang berada berdekatan kediaman mereka akan meletus dalam 20 minit.

Jika mereka terus tinggal di ladang tenusu itu mereka mungkin akan dihanyutkan cairan salji akibat pembebasan tenaga yang sudah bermula di dalam gunung berapi yang terletak enam kilometer dari situ.

Itulah letusan besar-besaran kali pertama gunung berapi itu sejak tahun 1821. Selama ini ia diam sahaja dan tidak dikenali dunia.

Namun, pada hari itu, nama gunung berapi yang sukar untuk disebut itu mengisi muka depan akhbar tempatan dan antarabangsa setelah menjadi penyebab ruang udara barat Eropah dan Scandinavia diselubungi debu.




Kira-kira 700 penduduk diarah meninggalkan kawasan itu. Sedangkan, lembu tenusu dan kesemua harta mereka masih di ladang itu.

Pakar geologi, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, berdasarkan abu hitam yang meletus keluar daripada gunung berapi itu, maka boleh disifatkan satu letupan yang amat dalam di dalam perut bumi telah berlaku.

Terburuk

“Ia memang suatu bencana yang dahsyat. Bahkan, ada pihak yang menyifatkan ia sebagai bencana terburuk sejak Perang Dunia Kedua. Ia seperti mencetuskan tsunami di udara.

“Debu kehitaman yang keluar menandakan telah berlaku letupan atau perlanggaran plat yang begitu dalam iaitu di teras bumi. Abu hitam mengandungi kandungan teras bumi seperti nikel dan besi.

“Berbanding gunung berapi yang biasa di Asia Tenggara mengeluarkan abu yang berwarna putih kerana letupan berlaku di kawasan kerak bumi,” katanya.


HASIL ternakan dan tanaman terpaksa ditinggalkan semasa kecemasan akibat bencana itu.


Jelas Mohamad Ali, keadaan gunung di Iceland yang dilitupi glasier (ais kekal) memungkinkan letusan yang datang jauh lebih dalam kerana apabila tekanan yang melibatkan permukaan berais akan menyebabkan kesan yang lebih kuat.

Letusan yang lebih kuat dan dalam menyebabkan abu naik menjulang tinggi ke langit berbanding letusan yang kurang kuat yang mengeluarkan lahar yang lebih banyak.

Mohamad Ali berkata, saintis kini percaya berdasarkan kajian dan sejarah bahawa satu lagi letusan gunung berapi akan berlaku pada kembar Eyjafjallakokull iaitu Katla dan ia 10 kali ganda lebih besar.


RISIKO pesawat yang terbang dalam kepulan asap letusan gunung berapi ialah kerosakan enjin yang membolehkannya terhempas.


Bukan itu sahaja, tidak mustahil bencana gunung berapi akan berlaku di benua-benua yang lain kerana perlanggaran plat telah berlaku. Debu hitam yang berterbangan ditiup angin juga boleh menuju ke atmosfera benua lain.

“Waktu berlaku letusan gunung berapi sukar untuk diramal. Kemungkinan juga terdapat implikasi-implikasi lain daripada letusan seperti kesihatan, perubahan iklim dan pemakanan dunia. Kalau masalah jerebu di negara kita, ia mungkin boleh terpadam dengan hujan.

“Tapi di kawasan benua yang kurang menerima hujan, ia mungkin lebih sukar untuk hilang. Saintis perlu melakukan sesuatu misalnya pembenihan hujan,” katanya.


Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...