Sahabat Maya :

Friday, March 26, 2010

Patuhi pekeliling Kementerian Pelajaran



KUALA PILAH 25 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua Pengarah Pelajaran negeri dan sekolah supaya mematuhi arahan pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia bertujuan mengelakkan rasa tidak puas hati di kalangan guru yang merasakan dibebani oleh kerja tidak relevan dengan tugas hakiki berikutan arahan dikeluarkan di peringkat negeri.

‘‘Saya maklum mengenai perkara itu sejak kebelakangan ini, malahan saya sendiri memberikan perhatian terhadap isu tersebut. Umpamanya beban kerja guru, soal kebajikan selain perjawatan dan sebagainya,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kampus tetap Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan di Beting, dekat sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengarah Kampus UiTM Negeri Sembilan, Prof. Madya Zaluddin Sulaiman.

Beliau ditanya berhubung satu cadangan yang dikemukakan oleh Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP) yang mengancam untuk mengadakan demonstrasi di seluruh negara sebagai tanda bantahan dengan bebanan kerja tanpa kaitan yang diberikan oleh pengetua dan guru besar.

NUTP mendakwa terdapat guru yang diminta membuat laporan demi laporan, pelan tindakan, kertas kerja, yang mana disifatkan tidak relevan dengan tugas hakiki mereka.

Menurut NUTP, tindakan itu boleh menjejaskan kualiti pengajaran seorang guru dan yang menjadi mangsa utamanya adalah pelajar itu sendiri.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan, tugas guru telah diperjelaskan oleh pihak kementerian dan pengarah di negeri serta sekolah wajar mematuhi apa juga pekeliling yang telah dikeluarkan oleh kementerian tersebut.

Sehubungan itu beliau akan menemui semua Pengarah Pelajaran negeri untuk memastikan bagaimana segala dasar dan arahan yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran dapat dipatuhi.

Kata Muhyiddin, pertemuan itu akan melibatkan Ketua Pengarah Pelajaran, pengarah-pengarah peringkat kementerian serta pengarah pelajaran negeri.

‘‘Selepas itu, saya juga akan mengadakan pertemuan dengan semua Pegawai Pelajaran Daerah untuk mencari jalan terbaik menyelesaikan apa juga perihal berbangkit termasuklah berkaitan beban tugas dan kebajikan guru,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran memang mengeluarkan pekeliling dari semasa ke semasa kepada pengarah peringkat negeri mengenai apa yang perlu dilakukan di sekolah-sekolah.

‘‘Cuma masalah timbul apabila ada pengetua dan guru besar mengambil langkah tertentu mengikut budi bicara mereka sehingga menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan guru.

‘‘Semua itu, bukanlah arahan kementerian kerana kita ada panduan yang hendak dibuat dan dilaksanakan.

‘‘Persoalannya bagaimana kita hendak menyeragamkan semua tindakan itu supaya sesuatu keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan dan kementerian dapat dilaksanakan dengan baik. Itulah yang akan kita selesaikan,” tambah beliau.

Muhyiddin berkata, pertemuan dengan Pengarah Pelajaran negeri itu juga bukanlah disebabkan desakan NUTP, tetapi beliau sendiri berhajat menemui mereka.

Ditanya mengenai tindakan demonstrasi yang hendak dilakukan oleh NUTP jika tuntutan mengenai beban tugas tidak dapat diselesaikan, Muhyiddin berkata, Ketua Pengarah, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom telah pun menemui pihak berkenaan.

Utusan Malaysia







===================

Pesta tahunan ulat buku


PELBAGAI jenis bahan bacaan ditawarkan pada harga yang murah berjaya menarik perhatian jutaan pengunjung ke PBAKL.


JIKA pemancing mempunyai lubuknya sendiri, bagaimana pula dengan penggemar dan pengeluar buku? Sudah menjadi satu catatan wajib dalam diari tahunan negara, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) antara acara yang dinantikan ramai.

Menariknya, PBAKL bukan sahaja menjadi medan untuk memasarkan buku-buku terbaru, bahkan sarat dengan pelbagai aktiviti wacana ilmu seperti aktiviti melukis, menulis tulisan khat dan mengupas buku-buku baru.

Menurut Penolong Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Norhayati Razali, penganjuran acara itu yang masuk kali ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tahun ini adalah kerjasama pihaknya dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Berlangsung selama sepuluh hari bermula 19 Mac lalu, PBAKL yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan warga Lembah Klang akan berakhir pada 28 Mac ini.

"Kajian yang dilakukan mendapati minat membaca masyarakat kita semakin meningkat jika dibandingkan sedekad lalu.

"Masyarakat kini sudah punya kesedaran bahawa hanya melalui pembacaan, mereka mampu mencapai tahap pemikiran yang tinggi untuk bersaing pada zaman globalisasi ini," katanya.

Apa yang pasti, dengan lautan manusia yang memenuhi ruang pameran di PWTC sama seperti tahun-tahun lalu yang mencatatkan jutaan pengunjung, ia mungkin satu petunjuk jelas bahawa kajian yang mendapati rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun perlu dinilai semula.

Jelas Norhayati, apatah lagi gaya penerbitan buku sekarang telah dipelbagai khususnya dalam penghasilan buku yang bermutu tinggi berbanding bahan bacaan berunsurkan tahyul.

Sejajar dengan itu, PBAKL kali ini menyediakan 856 tapak yang melibatkan 208 syarikat penerbitan tempatan dan luar negara, selain untuk agensi kerajaan.

PBAKL 2010, tambah beliau mempunyai kelainan berbanding tahun sebelumnya. Sebuah Pusat Perdagangan dan Hak cipta dibuka khas kepada peserta dalam menggalakkan hak pertukaran penerbitan dan terjemahan bagi kepentingan industri buku negara.

Di samping itu, pada tahun ini juga penyampaian Anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan turut diperkenalkan dalam PBAKL.

Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) sebenarnya telah dimulakan KPM sejak 12 tahun lalu dengan memberi penumpuan kepada pelajar tahun enam sehingga tingkatan lima. Ia adalah satu program memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah.

"Setiap pelajar akan dinilai dari segi ujian percakapan dan penulisan yang dikendalikan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan KPM. Tokoh yang terpilih akan menerima wang tunai RM500, trofi dan sijil bagi kategori sekolah rendah dan menengah," ujar Norhayati.

PBAKL 2010 juga kata Norhayati, tidak mengenepikan golongan cilik sesuai dengan pepatah meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Kerana itu, Majlis Buku Kanak-kanak Malaysia (MBBY) dan MBKM bersama-sama menganjurkan Persidangan Antarabangsa Buku Kanak-kanak.

Ia menjadi platform kepada individu dan pengeluar buku kanak-kanak bertukar maklumat dalam memperkasakan lagi penghasilan buku untuk golongan itu.


SEBAHAGIAN daripada kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam pertandingan menulis tulisan khat anjuran majalah Al-Islam sempena PBAKL di PWTC.


Menambahkan lagi tarikan pada PBKAL, selain buku dan novel pengunjung juga boleh mendapatkan gajet-gajet elektronik.

Syarikat Fortech Global Sdn. Bhd. contohnya memperkenalkan i-Quran yang menggabungkan kaedah pembelajaran al-Quran secara elektronik melalui sentuhan.

Penghasilan mesin i-Quran itu mendapat pengiktirafan daripada Pusat Teknologi Pendidikan, KPM.

Mesin itu dapat membantu kanak-kanak agar tidak ketinggalan dalam pengajian al-Quran, tambahan pula ketiadaan guru-guru agama di kediaman mereka.

Mesin tersebut akan dibekalkan dengan 12 memori cip yang mengandungi pembacaan Iqra, taranum dan 30 juzuk al-Quran pada harga promosi sebanyak RM888 berbanding harga pasaran RM1,488.

Pengunjung yang ditemui rata-rata berpuas hati dengan pameran kali ini. Pengelasan peserta PBAKL mengikut zon warna berbanding angka sebelum ini secara tidak langsung memudahkan orang ramai mendapatkan gerai yang ingin dikunjungi.

Menurut salah seorang pengunjung tetap PBAKL, Normah Samsuri, 41, penganjuran semasa musim cuti sekolah memudahkannya membawa anak-anak mendapatkan buku yang berguna.

"Jika dibandingkan tahun-tahun lepas, kami hanya mampu meluangkan masa sekejap sahaja. Namun, kali ini sempena musim cuti sekolah, ia memberikan ruang masa yang lebih banyak untuk kami melawat dari satu gerai ke satu gerai," katanya yang juga merupakan doktor gigi di salah sebuah kem tentera di ibu kota.

Berbeza dengan Shafarina Mohamed Samsudin, 28, ini adalah kunjungan pertamanya ke pesta buku itu.

"Sebelum ini saya hanya membaca atau melihat promosi PBAKL di media. Namun, menjejak kaki buat kali pertama di sini membuatkan saya terkejut dan teruja.

"Terkejut kerana melihat lautan manusia di PWTC untuk mendapatkan bahan bacaan ilmiah dan sudah tentunya saya teruja apabila terdapat banyak novel dan buku ditawarkan pada harga yang berpatutan," katanya.



Align Left


2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...