Sahabat Maya :

Saturday, January 23, 2010

Tunku Ibrahim angkat sumpah


Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar mengangkat sumpah sebagai Pemangku Sultan Johor sambil diperhatikan Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris Sultan Iskandar (kanan) dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim (kiri) di Istana Besar Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU 22 Jan. - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Pemangku Raja hari ini bersumpah untuk memerintah dengan adil dan saksama.

Lafaz pemasyhuran itu dilakukan pada pukul 5.10 petang dalam satu upacara di Istana Besar di sini.

Tunku Ibrahim Ismail, 52, dilantik oleh Jumaah Majlis Diraja Johor setelah menerima laporan kegeringan Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail daripada tiga pakar perubatan di Hospital Pakar Johor di sini.

Pada sidang akhbar pukul 11.20 malam ini, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkan kemangkatan Sultan Johor pukul 7.15 malam.

Pemasyhuran Tunku Ibrahim Ismail dibuat mengikut Fasal 9 (1)(b) dan 9 (2) Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895.

Lafaz pemasyhuran itu adalah seperti berikut:

"Bahawa adalah saya, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar pada masa memegang jawatan Pemangku Raja bagi Negeri dan Jajahan Johor Darul Ta'zim dan segala takluknya bersumpah dengan iman bahawa saya mengaku akan memerintah dengan adil saksama dan timbang rasa kepada semua rakyat dan penduduk-penduduk negeri Johor dan saya bersumpah dan mengaku akan memelihara dan menghormatkan agama Islam dan adat istiadat Melayu dan berpegang kuat dengan Undang-undang Tuboh Kerajaan Johor dan juga Undang-undang Negeri,"

Putera sulung Sultan Johor dengan isteri pertama, Josephine Ruby Trevorrow itu diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Tunku Ibrahim Ismail yang berjiwa rakyat telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor di Istana Besar Johor Bahru pada 3 Julai 1985.

Hasil perkongsian hidup dengan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, pasangan itu dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri iaitu Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.

Tunku Ibrahim Ismail mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tuanku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.

Tunku Mahkota Johor itu kemudiannya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammer School di Australia mulai 1968 hingga 1970.

Tunku Ibrahim Ismail juga pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (English College Johor Bahru) pada 1971-1975.

Di samping itu, Tunku Ibrahim Ismail turut menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek Johor Bahru.

Setelah tamat persekolahan, Tunku Mahkota telah dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) Kota Tinggi selama tiga bulan untuk menerima latihan asas ketenteraan.

Kemudian Tunku Ibrahim Ismail ke Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat (AS) untuk latihan ketenteraan (Airborne dan Infantery Offices Basic Course) dan kemudian menyambung latihan di Fort Bragg, AS.

Tunku Mahkota turut menjalani latihan penerbangan helikopter di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kluang dan seterusnya ke Fort Wracker, AS untuk latihan lanjutan di Advanced Helicopter Flying's School dan menerima anugerah 'sayap' penerbangannya.

Selain itu, Tunku Ibrahim Ismail juga pernah melanjutkan pengajian di bidang undang-undang dan diplomasi dari Universiti Tufts, AS.

Dalam bidang kesukanan, Tunku Mahkota gemar bermain polo selain menunggang motosikal berkuasa tinggi dan sinonim dengan program Kembara Mahkota Johor yang melawat ke seluruh pelosok negeri ini.


==============================================


Pewaris takhta yang mempunyai banyak keistimewaan

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar, yang dilantik sebagai Pemangku Raja Johor hari ini, merupakan seorang pewaris takhta yang mempunyai banyak keistimewaan.

Mewarisi sifat prihatin ayahanda baginda, putera sulung Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail itu bukan hanya mempunyai latar belakang akademik dan pencapaian membanggakan tetapi baginda juga cukup disenangi kerana keperibadian yang menawan hati rakyat.

Mesra disapa sebagai TMJ (Tengku Mahkota Johor), Tunku Ibrahim, 51, cukup sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor, aktiviti berteraskan kerja-kerja sosial yang diilhamkan baginda sejak 2001.

Konvoi motosikal berkuasa tinggi itu yang dijadikan acara tahunan, membawa baginda dan rombongan pengiringnya terdiri daripada Menteri Besar dan para pegawai negeri lain ke semua lapan daerah di Johor yang menyaksikan Tunku Ibrahim dan rombongan melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi.

Sikap prihatin dan kesungguhan baginda untuk turun padang bagi melihat sendiri kehidupan dan menyelami susah senang masyarakat membina kredibiliti baginda sebagai pewaris takhta yang mesra rakyat.

Semasa kembara pertamanya pada 2001, Tunku Ibrahim tidak kekok untuk mendokong dan mendodoikan seorang bayi yang terlentuk di bahu baginda.

Ketika melawat Kampung Temiang di Muar, baginda sempat menjamah ubi rebus yang merupakan makanan rakyat dengan begitu berselera serta memuji pembuat sambal ubi rebus, iaitu seorang nenek yang terharu dengan pujian Tunku Mahkota Johor.

Kesungguhan baginda untuk merasai kehidupan seharian rakyat jelata di situ jelas terserlah apabila pada satu ketika baginda meneguk air tebu dalam bungkusan plastik yang dihulurkan oleh seorang penduduk.

Tidak bersendirian, aktiviti turun padang itu memecah tembok pemisah antara istana Johor dan rakyat apabila Tunku Ibrahim turut melibatkan isteri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan putera-puteri baginda dalam ekspedisi itu.

Tunku Ibrahim yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman.

Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, putera sulung daripada 10 beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik sebagai Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Tunku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Pewaris takhta itu menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika.

Sekembalinya baginda ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor. - BERNAMA


==============================================


Pemasyhuran Sultan Johor kelima hari ini

JOHOR BAHRU 22 Jan. - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail akan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baru di Istana Besar di sini esok.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, upacara pemasyhuran itu akan diadakan sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar yang mangkat hari ini di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini.

"Upacara pemasyhuran itu akan diadakan pukul 1 petang esok sebelum pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar," katanya pada sidang akhbar malam ini.

Melalui pemasyhuran itu nanti, Tunku Ibrahim bakal diisytiharkan sebagai Sultan Johor kelima dalam pemerintahan Kesultanan Johor.

Tunku Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Raja berikutan kegeringan ayahanda Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail hari ini.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...