Sahabat Maya :

Saturday, January 23, 2010

Rakyat Johor Dibenar Ziarah Jenazah Sultan Mulai Pagi Sabtu


Jenazah Almarhum Sultan Iskandar dibawa masuk ke kenderaan di Hospital Pakar Puteri untuk dibawa ke Istana Besar, Johor Bahru, sambil diperhatikan oleh kaum kerabat dan petugas istana, malam tadi. – utusan/Raja Jaafar Raja Ali




ALMARHUM SULTAN ISKANDAR IBNI ALMARHUM SULTAN ISMAIL

1932 - 2010



JOHOR BAHARU, 23 Jan (Bernama) -- Jenazah Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar yang akan disemayam di Dewan Besar, Istana Besar, di sini boleh diziarahi segenap lapisan rakyat Johor mulai pagi Sabtu.


Menteri Besar Johor yang mengumumkan kemangkatan Almarhum baginda Sultan Johor, malam tadi, berkata waktu yang dibenarkan kepada orang awam untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum adalah dari pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi.



"Penghormatan terakhir oleh orang kenamaan pula adalah bermula dari pukul 11 pagi sehingga pukul 12.30 tengah hari," katanya di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan.

Abdul Ghani berkata jenazah Almarhum Sultan akan dibawa dari Istana Besar pada pukul 1.30 tengah hari untuk upacara pemakaman di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, pada pukul 2 petang.



Mengenai peraturan berkabung, beliau berkata orang-orang Melayu perlu memakai tanda perkabungan kain putih selilit saja selebar dua inci pada songkok.



Bagi lain bangsa dan agama, Abdul Ghani berkata mereka perlu memakai selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri dan bertali leher warna hitam.



Katanya, bagi yang memakai uniform dan memakai uniform pada majlis tertentu, mereka perlu melilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri.



"Bagi perempuan Melayu, mereka hendaklah memakai tudung kepala warna putih manakala bagi orang perempuan lain bangsa dan agama, mereka perlu memakai selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri," katanya.



Abdul Ghani berkata bagi upacara pemakaman pula, lelaki Melayu perlu memakai baju Melayu teluk belanga serba hitam dan lilitan kain putih di songkok hitam manakala lelaki bukan Melayu perlu memakai lounge suit warna hitam, tali leher hitam dan selilit kain hitam tiga inci di lengan kiri.



Beliau berkata bagi yang memakai uniform, mereka perlu melilit kain putih berukuran dua inci di songkok.



Segala darjah dan pingat juga hendaklah dipakai, katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...