Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, January 20, 2010

NUTP syor garis panduan lengkap




Penempatan semula guru adalah proses biasa - Alimudin


KUALA LUMPUR: Penempatan semula guru yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran bermula awal bulan ini merupakan satu proses biasa bagi mewujudkan pendidikan berkualiti, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Katanya penempatan semula yang dilakukan adalah untuk memastikan semua sekolah di negara ini mempunyai guru yang mencukupi dan yang lebih penting mempunyai cukup guru dari segi opsyen.

Beliau berkata walaupun bilangan guru mencukupi namun terdapat kekurangan guru mengikut opsyen terutama bagi mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Pendidikan Agama Islam.

"Bagi memastikan akses dan ekuiti bagi mewujudkan pendidikan berkualiti, sudah pastinya penyediaan guru mengikut opsyen yang cukup menjadi keutamaan Kementerian Pelajaran dan kaedah penempatan semula guru akan digunakan untuk mengatasi masalah ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Alimuddin berkata keadaan menjadi lebih ketara apabila Jemaah Menteri memansuhkan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dalam konteks itu, katanya guru-guru yang mempunyai opsyen Bahasa Inggeris sebagai contoh, sangat diperlukan terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman.

Alimuddin berkata kajian yang dilakukan kementerian mendapati terdapat lebihan guru bagi opsyen mata pelajaran kritikal itu di sekolah-sekolah tertentu di bandar-bandar besar.

Katanya penempatan semula guru tersebut merupakan satu proses yang berterusan dan berperingkat-peringkat, sehingga masalah ketidakseimbangan ini selesai.

Beliau turut menjelaskan bahawa mulai tahun ini penempatan semula guru secara terhad akan dilaksanakan, di mana proses itu akan melibatkan penempatan guru-guru dalam negeri atau antara daerah sahaja.

Alimuddin berkata demikian sebagai mengulas isu pemindahan guru yang didakwa berpunca daripada penyalahgunaan kuasa di kalangan guru besar dan pengetua yang memindahkan guru tersebut akibat 'tidak sebulu' atau menimbulkan masalah kepada guru besar atau pengetua berkenaan.

Beliau turut meminta semua pihak tidak membesarkan isu tersebut selain menganggap program penempatan semula guru itu adalah proses biasa yang akan berlaku dalam perkhidmatan awam. -BERNAMA


==============================================================







KUALA LUMPUR: Satu garis panduan lengkap dan adil perlu diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran dalam melaksanakan program penempatan semula guru Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris bagi mengelak penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu.

Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan yang bertujuan memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris mula dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun ini dan sebagai permulaan ia dilaksanakan di Selangor sebelum diikuti negeri lain.


“Tiadanya garis panduan yang jelas serta koordinasi antara kementerian dengan pihak sekolah mengakibatkan ada guru teraniaya dan dipindahkan sekolah tanpa alasan kukuh.


“NUTP terima tidak kurang 10 aduan daripada guru yang dipindahkan dan antara lima atau enam mengenai salah guna kuasa guru besar atau pengetua yang mengambil kesempatan daripada program berkenaan bagi mengeluarkan guru yang tidak disukai dan bermasalah di sekolah.


“Lebih teruk, guru yang ditukar itu bukan guru subjek terbabit tetapi mungkin disebabkan ada konflik antara mereka pihak atasan ambil peluang tukar guru berkenaan ke sekolah lain,” katanya Kata Hashim, ada juga guru yang menerima arahan bertukar dalam masa terlalu singkat dan bagi yang berkeluarga mereka menghadapi tekanan kerana perlu menguruskan banyak perkara. Selain itu katanya, terdapat beberapa perkara lagi dihadapi guru berkenaan dan apabila dipersoalkan kepada pentadbir sekolah, mereka mengatakan ia arahan pihak atasan atau kementerian.

myMetro


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Seramai 23 guru Bahasa Inggeris di seluruh Perak menghadapi tekanan kerana mendapat arahan pertukaran serta-merta tanpa memikirkan kebajikan mereka.

Guru berkenaan ditukarkan tanpa mengira jarak perjalanan membabitkan kos agak membebankan, contohnya melebihi 40 kilometer (KM) dan memakan masa melebihi sejam untuk sampai ke sekolah.
Pertukaran ini juga tidak menitikberatkan faktor usia, kehidupan berkeluarga dan masalah guru terbabit. Rayuan dibuat kepada Jabatan Pelajaran Perak tetapi ditolak.
Apa yang mengecewakan ialah jawapan diberikan iaitu guru perlu memilih antara kerjaya atau keluarga dalam perkara ini; pada satu masa tidak boleh memiliki dua perkara (kerjaya dan keluarga), dan tidak mempedulikan masalah yang sudah diluahkan.
Jika sayangkan suami dan anak, guru diarah letak jawatan. Apa yang menjadi ketidakpuasan ialah semua guru yang ditukarkan mempunyai komitmen tersendiri di sekolah lama dan tempat tinggal iaitu sudah membeli rumah, persekolahan anak, pekerjaan suami/isteri, keadaan kewangan dan kesihatan.
Tempat guru berkenaan digantikan dengan guru yang sama opsyen. Malah, ada guru baru yang masih belum mempunyai tanggungjawab berkeluarga ditempatkan di bandar.Mengapa mereka diberi keistimewaan ini sedangkan sudah termaktub dalam pekeliling bahawa guru baru perlu ditempatkan di pedalaman?Kebanyakan guru yang ditempatkan di bandar ialah isteri, suami, anak serta saudara-mara orang Jabatan Pelajaran. Mereka mengetepikan hak guru lain yang lebih memerlukan. Taburan penempatan guru di Perak amat mendukacitakan. Tiada langsung tindakan untuk memperbetulkan keadaan.
Ada guru yang sangat selesa, boleh berjalan kaki ke sekolah lebih kurang lima minit dari rumah. Ada guru yang amat tertekan. Sekolah di luar daerah, menempuh perjalanan melebihi sejam dan duit minyak melebihi RM25 sehari. Di manakah keadilan? Bagaimanakah diri ikhlas berkhidmat jika tidak selesa atau keselamatan terancam di jalan raya?
Guru perempuan pula tidak dapat menguruskan suami dan anak dengan baik sehingga berlaku keretakan rumah tangga. Tiada langsung rasa simpati untuk guru yang menghadapi masalah.
Bukan mahu ingkar arahan tetapi pihak berkenaan perlu rasional dalam membuat tindakan.
Guru masih berpegang teguh pada aku janji, namun jika kebajikan sendiri terabai bagaimana mahu menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.Jangan mempertikaikan jika ada guru yang hanya jasad wujud di sekolah, tetapi hati hilang entah ke mana. jangan mempertikaikan juga jika ada guru yang membatu tidak mengajar, tidak mengikut arahan, tidak memberikan komitmen, ponteng, perlu di kaunseling dan pelbagai lagi kerenah lain. Ini semua kerana kerenah birokrasi.

sumber : BERITA HARIAN


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...