Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
NAJIB (dua dari kanan) melihat ciptaan peserta program Perkhemahan Bitara STEM UKM-Felda di Dewan MRSM, Felda Trolak dekat sini Tanjung Malim, Perak semalam.
TANJUNG MALIM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru
semua pihak termasuk pensyarah, guru dan ibu bapa supaya berganding bahu
membimbing pelajar untuk lebih meminati mata pelajaran berteraskan
Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata, pelajar perlu didedahkan kepada kerjaya berkaitan
STEM sejak di peringkat prasekolah lagi kerana kebanyakan mereka
mempunyai persepsi bahawa mata pelajaran itu bukan hanya sukar, malah
kurang menarik untuk diterokai.
"Jika ditinjau prestasi pelajar-pelajar kita dalam mata pelajaran
Sains dan Matematik, secara keseluruhannya mempamerkan pencapaian lebih
rendah dalam kajian perbandingan pencapaian dua bidang itu di peringkat
antarabangsa.
"Kajian perbandingan ini memberikan isyarat, para pelajar kita
mempunyai ruang lebih banyak dalam mempelajari mata pelajaran STEM.
Secara ringkas, ia perlu diberi lebih perhatian," katanya.
Beliau berkata ketika melancarkan program Perkhemahan Bitara STEM
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-Felda di Maktab Rendah Sains Mara
(MRSM) Felda Trolak dekat sini semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.
Perkhemahan Bitara STEM itu merupakan inisiatif di bawah Global
Science and Innovation Advisory Council yang dipengerusikan Najib
melalui program Human Capacity Building and Cradle to Career.
Najib memberitahu, sebuah Makmal STEM akan ditubuhkan di MRSM Felda
tersebut sebagai pusat aktiviti, rujukan dan latihan guru bagi empat
bidang itu. Katanya, makmal STEM itu juga akan diperluas di setiap wilayah Felda
dengan pewujudan sebuah model makmal STEM di sekolah menengah di
Rancangan Felda. "Beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan ini bertujuan meningkatkan
minat pelajar di Rancangan Felda terhadap mata pelajaran STEM.
"Paling istimewa sekali ialah menghantar sebanyak 10 orang pelajar
terbaik yang terpilih dalam kalangan peserta Perkhemahan Bitara STEM
untuk menyertai Karnival Antarabangsa STEM di New York, Amerika Syarikat
apabila ia dianjurkan nanti," kata beliau.