Sahabat Maya :

Saturday, June 7, 2014

Subjek STEM perlu diberi lebih perhatian - Najib

Subjek STEM

 perlu diberi lebih perhatian - Najib


NAJIB (dua dari kanan) melihat ciptaan peserta program
Perkhemahan Bitara STEM UKM-Felda di Dewan MRSM, Felda Trolak dekat sini Tanjung Malim, Perak semalam.




TANJUNG MALIM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru semua pihak termasuk pensyarah, guru dan ibu bapa supaya berganding bahu membimbing pelajar untuk lebih meminati mata pelajaran berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).










Beliau berkata, pelajar perlu didedahkan kepada kerjaya berkaitan STEM sejak di peringkat prasekolah lagi kerana kebanyakan mereka mempunyai persepsi bahawa mata pelajaran itu bukan hanya sukar, malah kurang menarik untuk diterokai.









"Jika ditinjau prestasi pelajar-pelajar kita dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, secara keseluruhannya mempamerkan pencapaian lebih rendah dalam kajian perbandingan pencapaian dua bidang itu di peringkat antarabangsa.









"Kajian perbandingan ini memberikan isyarat, para pelajar kita mempunyai ruang lebih banyak dalam mempelajari mata pelajaran STEM. Secara ringkas, ia perlu diberi lebih perhatian," katanya.









Beliau berkata ketika melancarkan program Perkhemahan Bitara STEM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-Felda di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak dekat sini semalam.









Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.









Perkhemahan Bitara STEM itu merupakan inisiatif di bawah Global Science and Innovation Advisory Council yang dipengerusikan Najib melalui program Human Capacity Building and Cradle to Career.








Najib memberitahu, sebuah Makmal STEM akan ditubuhkan di MRSM Felda tersebut sebagai pusat aktiviti, rujukan dan latihan guru bagi empat bidang itu.
Katanya, makmal STEM itu juga akan diperluas di setiap wilayah Felda dengan pewujudan sebuah model makmal STEM di sekolah menengah di Rancangan Felda.
"Beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan ini bertujuan meningkatkan minat pelajar di Rancangan Felda terhadap mata pelajaran STEM.







"Paling istimewa sekali ialah menghantar sebanyak 10 orang pelajar terbaik yang terpilih dalam kalangan peserta Perkhemahan Bitara STEM untuk menyertai Karnival Antarabangsa STEM di New York, Amerika Syarikat apabila ia dianjurkan nanti," kata beliau.





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...