SEDUTAN UCAPAN PERDANA
MENTERI,
DATUK SERI NAJIB RAZAK,
PADA UPACARA PERBARISAN DAN PERARAKAN
SEMPENA
SAMBUTAN PERINGATAN
HARI POLIS KE-206 DI PULAPOL,
JALAN SEMARAK,
KUALA LUMPUR
Marilah kita bersama-sama mengangkat setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat
Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat bersama-sama
dalam Upacara Perbarisan dan Perarakan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis
Ke-206 pada pagi ini.
Saya
ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan rasa penghargaan dan ucapan
terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana sudi menjemput saya dan
isteri bagi turut serta dalam upacara yang penuh bermakna ini. Sesungguhnya
negara tercinta Malaysia tidak mungkin berada pada kedudukan hari ini, iaitu
sebagai sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi tanpa
keamanan dan kestabilan yang dimungkinkan oleh pengorbanan mulia patriot dari
PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia. Bermula dari zaman darurat, membawa kepada
era konfrontasi, Tragedi 13 Mei, era insurgensi dan terkini perang terhadap
keganasan, tuan-tuan dan puan-puan serta pendahulu telah dengan setia dan tanpa
ragu-ragu menyambut panggilan pertiwi tercinta.
Kita menyanjung tinggi kepada sepuluh orang pahlawan negara, di mana lapan
orang daripadanya adalah anggota PDRM yang telah membuat the ultimate sacrifice
kepada negara. Jadikanlah pengorbanan mereka sebagai contoh teladan.
Sesungguhnya, khidmat bakti tuan-tuan dan puan-puan tidak sia-sia seperti momokan
sesetengah pihak. Bagi pihak kerajaan, rakyat dan negara Malaysia yang
terhutang budi, saya ingin mengucapkan terima kasih dan rasa penghargaan yang
tidak terhingga kepada semua yang masih dan yang telah menyarung uniform
pasukan keselamatan negara. Jasa tuan-tuan dan puan-puan akan dikenang
sepanjang zaman.
Komitmen kerajaan yang ada pada hari ini terhadap kebajikan pegawai dan anggota
PDRM tidak dapat dinafikan. Kerajaan hari ini sentiasa menepati janji.
Penambahbaikan Skim Perkhidmatan Anggota PDRM
Sebagai mana yang diumumkan di dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam atau
MAPPA baru-baru ini, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013, kerajaan bersetuju
bahawa, pangkat dalam perkhidmatan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan
Awam Am selaras perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji. Ia mencakupi
perubahan skop fungsi tugas, struktur pangkat juga kelayakan bagi skim
perkhidmatan PDRM.
Sebagai contoh, bagi jawatan Penolong Pesuruhjaya Polis yang dahulunya dalam
kelompok gred jawatan atau gred gaji 48, kini disetarakan dengan gred jawatan
atau gred gaji 52 Perkhidmatan Awam Am manakala bagi Penguasa Polis yang
dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini diletakkan dengan
gred jawatan atau gred gaji 48.
Bagi penyetaraan anggota lain-lain pangkat sebagai contoh Pertama: Koperal PDRM
yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17, kini disetarakan
dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam Am. Kedua: Lans Koperal
PDRM yang dulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17, kini
disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 20 Perkhidmatan Awam Am.
Kerajaan juga melaksanakan pelarasan kadar elaun seperti Imbuhan Tetap
Perumahan, Imbuhan Tetap Keraian dan Imbuhan Tetap Khidmat Polis bagi anggota
PDRM.
Hari ini dalam rangka terus mempertingkatkan kebajikan pegawai dan anggota PDRM
suka saya mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk meluluskan pelaksanaan
skim insurans berkelompok, yang mana akan memanfaatkan seramai 112,145 pegawai
dan anggota polis ketika ini.
NKRA mengurangkan jenayah
Kerajaan juga ingin mengucapkan tahniah kepada PDRM kerana berjaya mengurangkan
kadar jenayah sehingga 27 peratus dalam tempoh tiga tahun pelaksanaan NKRA.
Justeru, kerajaan akan memastikan PDRM di tingkat upaya dan distruktur sesuai
dengan keperluan memerangi jenayah moden.
Sungguhpun begitu, kita tidak boleh berasa selesa, malah perlu terus
meningkatkan usaha dan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan kadar
jenayah di negara ini dapat dikurangkan kepada tahap yang paling minimum,
menjelang 2020.
Untuk ini pasukan polis akan di transformasi daripada sebuah pasukan
keselamatan kepada sebuah perkhidmatan kepolisan yang berorientasikan
masyarakat. Perkhidmatan polis tidak akan berjaya tanpa sokongan rakyat. Era
PDRM sebagai para-military force sudah berakhir hari ini. PDRM perlu berubah
kepada sebuah community based policing service dengan tahap profesionalisme dan
integriti yang tinggi.
Bagi memenuhi tuntutan modern day policing, PDRM seharusnya memerlukan strategi
dan perubahan minda sepenuhnya untuk menghadapi cabaran era moden kini.
Maka, saya ingin menggesa seluruh rakyat untuk berganding bahu dengan pihak
polis dan pihak berkuasa yang berkenaan kerana keselamatan dan keamanan negara
adalah tanggungjawab bersama.
Kerajaan juga akan sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada PDRM di
dalam memastikan kewujudan kedaulatan undang-undang dan pengekalan keamanan
serta ketenteraman awam.
Pengisytiharan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE)
Sebagai memberi asas perundangan kepada pengisytiharan Eastern Sabah Security
Command (ESSCOM) dan bagi memelihara hak demokratik serta proses demokrasi
untuk penduduk Sabah serta mengukuhkan keselamatan, ketenteraman awam dan
kesejahteraan di kawasan timur Sabah, saya dengan ini selepas mendapat perkenan
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang diperuntukan di
bawah Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962, mengisytiharkan pewujudan Zon
Selamat Sabah Timur atau Eastern Sabah Safety Zone (ESSZONE) di kawasan timur
Sabah yang merangkumi sepuluh daerah, iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran,
Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, berkuat kuasa
hari ini.
Pengisytiharan yang hanya membabitkan kawasan merangkumi sepuluh daerah di atas
ini akan ditadbir oleh satu jawatankuasa yang ditubuhkan menurut
Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal oleh
Menteri Dalam Negeri. Jawatankuasa ini yang dikenali sebagai Jawatankuasa Zon
Selamat Sabah Timur, akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah dan dibantu
oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif serta ahli-ahli yang akan diumumkan kelak.
Ketua Pegawai Eksekutif seorang awam akan bertanggungjawab untuk menyelaras dan
mengawal selia fungsi dan aktiviti pasukan keselamatan dan juga jabatan serta
agensi awam dalam melaksanakan semua prakarsa di ESSZONE. Jawatankuasa ini yang
akan beribu pejabat di Lahad Datu, akan bertanggungjawab kepada satu
jawatankuasa pemantau yang dipengerusikan sendiri oleh saya selaku ketua kerajaan.
Dengan penubuhan Jawatankuasa ESSZONE ini, kerajaan mengambil pendekatan
holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan
timur dan seterusnya mencari penyelesaian kepada punca pencerobohan tersebut.
Ingin saya tegaskan bahawa pengisytiharan ini bukannya pengisytiharan darurat
di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Kedua, ia tidak sekali-kali akan
menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik. Ketiga,
peraturan-peraturan yang diwujudkan di bawah ordinan ini juga tidak memberikan
sebarang kuasa tambahan kepada pihak polis. Kuasa polis sedia ada sudah pun
mencukupi untuk menangani situasi ini. Keempat, mana-mana orang yang
berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah melalui proses
perundangan, dan kelima, bahawa kehidupan akan berjalan seperti biasa di
kawasan berkenaan tetapi dengan peningkatan kawalan keselamatan bagi memastikan
kesejahteraan hidup rakyat.
Sehubungan itu, saya ingin menjelaskan di sini bahawa Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan untuk
menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes yang membabitkan
pengganas di Sabah ketika ini ialah suatu akta yang membabitkan prosedur
semata-mata. Ia tidak digubal sebagai akta yang memberikan kuasa
mengisytiharkan kawasan keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.
Bagi setiap tangkapan yang dibuat di bawah SOSMA, pertuduhan akan dibuat dengan
menggunakan undang-undang biasa dan dibicarakan di mahkamah sebagaimana kes-kes
jenayah yang lain.
Peguam Negara akan mengadakan sidang akhbar pada hari ini untuk menjawab segala
persoalan yang berkaitan dengan aspek perundangan.
Penempatan semula
Menyedari bahawa punca utama kejadian pencerobohan pengganas yang berlaku di
Lahad Datu dan kawasan timur lain di Sabah adalah disebabkan oleh kewujudan
beberapa penempatan yang boleh dianggap sebagai mudah terdedah kepada bahaya
penyusupan masuk pendatang asing tanpa izin dan orang tidak bernegara, maka
saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan akan mengadakan inisiatif penempatan
semula penduduk yang tinggal di beberapa lokasi di kawasan timur Sabah itu bagi
maksud pemeliharaan keselamatan awam.
Inistiatif dibuat di bawah Bahagian III Peraturan-Peraturan Pemeliharaan
Keselamatan Awam 2013 ini membolehkan kerajaan menempatkan semula mana-mana
orang atau kumpulan orang, khususnya mana-mana orang atau kumpulan orang yang
merupakan pendatang tanpa izin atau orang tidak bernegara, ke suatu kawasan
yang selamat dan sesuai yang akan ditentukan kerajaan.
Haruslah ditekankan di sini bahawa keputusan untuk menempatkan semula orang
atau mana-mana kumpulan orang adalah bagi maksud pemeliharaan keselamatan awam.
Dalam melaksanakan penempatan semula ini, kerajaan akan mengambil pertimbangan
bukan saja keselamatan dan kesejahteraan orang yang ditempatkan semula ini
tetapi juga penduduk sedia ada yang tinggal di kawasan penempatan semula.
Selain itu, kerajaan akan mempertimbangkan segala aspek mengenai penempatan
semula itu, termasuk mata pencarian orang yang hendak ditempatkan semula di
kawasan penempatan semula, dan berunding dengan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri
atau Ketua Kampung, mengikut mana-mana yang berkenaan, komuniti sedia ada yang
tinggal di kawasan penempatan semula itu. Keperluan untuk berunding dengan
Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri atau Ketua Kampung adalah bagi memastikan
kepentingan penduduk sedia ada di kawasan penempatan semula terpelihara.
Seperti yang sudah saya nyatakan tadi, adalah menjadi matlamat kerajaan bahawa
hak asasi rakyat dan kedaulatan undang-undang akan terus dipelihara dan
dilindungi, maka kerajaan akan terus memastikan bahawa penempatan semula ini:-
a) tidak akan menghalang mana-mana warga negara di sesuatu kawasan penempatan
semula yang terkilan dengan keputusan kerajaan mengenai penempatan semula
daripada mencabar keputusan kerajaan; dan
b) tidak akan menghalang mana-mana warga negara daripada menjalankan haknya
sebagai seorang pemilih dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan
Undangan Negeri.
Menyedari bahawa penempatan semula ini akan membabitkan juga warga negara
Malaysia sama ada, sebagai orang yang akan ditempatkan atau sebagai orang yang
menetap di tempat penempatan semula, maka kerajaan akan membantu mana-mana
warga negara haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan telah terjejas secara
yang memudaratkan oleh penempatan semula.
Di bawah inisiatif penempatan semula ini juga, kerajaan akan menyediakan tempat
tinggal dan memastikan keselamatan bagi orang yang ditempatkan semula. Ini
adalah kerana kerajaan sedar bahawa keputusan untuk menempatkan semula
memberikan impak yang besar kepada kehidupan masa depan mereka yang terbabit.
Penghijrahan ke suatu tempat baharu membabitkan penyesuaian masyarakat terhadap
suasana tempat tinggal baru.
Atas dasar kemanusiaan dan bagi memastikan orang yang terbabit dalam penempatan
semula mendapat manfaat daripada inisiatif penempatan semula ini, kerajaan akan
memastikan bahawa kesihatan awam, perkhidmatan perubatan dan sanitasi akan
disediakan bagi orang yang tinggal di kawasan penempatan semula, selain peluang
pendidikan seperti pendidikan asas dan peluang pekerjaan diperluas kepada orang
yang tinggal di kawasan penempatan semula.
Kerajaan juga akan menyediakan latihan dan kelengkapan jika perlu untuk
membolehkan orang yang tinggal di kawasan penempatan semula untuk memulakan
hidup baru. Bagi maksud ini, kerajaan akan mendapatkan kerjasama, bantuan dan
nasihat dan meminta apa-apa bentuk sumbangan daripada mana-mana organisasi atau
badan di dalam Malaysia atau di luar Malaysia.
Suka saya maklumkan bahawa inisiatif penempatan semula ini, bukan saja akan
memanfaatkan mereka yang akan ditempatkan di kawasan penempatan semula yang
baru, malah ia akan turut memanfaatkan mereka yang tinggal di sekitar kawasan
penempatan semula kerana kerajaan akan menjalankan program yang perlu bagi
kesejahteraan dan kebajikan mereka.
Walaupun inisiatif penempatan semula ini hanya bertumpu kepada kawasan timur
Sabah setakat ini, ia bukan bermakna bahawa kawasan Pantai Barat Sabah
dilupakan. Buat masa ini, keperluan keselamatan yang lebih mendesak bertumpu ke
kawasan timur. Inisiatif ini akan diperluaskan ke seluruh Sabah apabila sesuai.
Dalam segala-galanya, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah
meragui kesetiaan warga negara Malaysia yang berketurunan Suluk. Mereka warga
negara yang mempunyai hak seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan serta
undang-undang negara dan kerajaan ini akan terus melindungi hak mereka yang sah
dan memperjuangkan kebajikan mereka.
Saya memuji keberanian dan pengorbanan penduduk Kampung Senalang, Semporna,
Sabah pada 3 Mac 2013 yang menundukkan seorang pengganas. Dalam usaha penduduk
itu mempertahan diri dan negara, pengganas itu terbunuh. Jasa dan keberanian
mereka amat dihargai.
Penutup
Penutup bicara, sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada pasukan Polis Diraja
Malaysia di atas sambutan ulang tahun ke-206. Satu perjalanan yang panjang bagi
sebuah organisasi terbilang.
Marilah kita bersama-sama melakar masa depan yang lebih baik untuk kita dan
anak cucu kita. Saya dan rakyat Malaysia mengimpikan sebuah perkhidmatan
kepolisan yang profesional, berkesan dan terbaik. Sebuah perkhidmatan yang
mempunyai pegawai dan anggota yang terbaik, peralatan yang mencukupi dan terkini,
latihan serta kemahiran yang terbaik di dunia untuk melaksanakan perkhidmatan
kepolisan abad ke-21.
Kita mengimpikan sebuah negara maju berpendapatan tinggi di mana
jalan-jalannya, taman-taman perumahannya dan kawasan awamnya bebas daripada
jenayah agar rakyat Malaysia boleh bersama-sama keluarga di seluruh pelosok
Malaysia tanpa rasa bimbang mahu pun takut terhadap keselamatan diri dan
keluarga mereka. Ayuhlah bersama-sama kita jadikan impian ini sebuah realiti.