Sahabat Maya :

Sunday, March 31, 2013

TEKS UCAPAN PERDANA MENTERI DATUK SERI NAJIB RAZAK

http://sphotos-b.xx.fbcdn.net/hphotos-ash3/s480x480/536467_629241663768252_12110529_n.jpg 
Thanks google :)

Tabik warga PDRM

http://sphotos-a.xx.fbcdn.net/hphotos-snc7/c0.0.843.403/p843x403/487734_407071706054960_1226219124_n.jpg

Thanks google :) 
 
 

Tabik warga PDRM


SEDUTAN UCAPAN PERDANA MENTERI,
 DATUK SERI NAJIB RAZAK, 
PADA UPACARA PERBARISAN DAN PERARAKAN
 SEMPENA SAMBUTAN PERINGATAN 
HARI POLIS KE-206 DI PULAPOL,
 JALAN SEMARAK, 
KUALA LUMPUR



Marilah kita bersama-sama mengangkat setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat bersama-sama dalam Upacara Perbarisan dan Perarakan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-206 pada pagi ini. 





Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana sudi menjemput saya dan isteri bagi turut serta dalam upacara yang penuh bermakna ini. Sesungguhnya negara tercinta Malaysia tidak mungkin berada pada kedudukan hari ini, iaitu sebagai sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi tanpa keamanan dan kestabilan yang dimungkinkan oleh pengorbanan mulia patriot dari PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia. Bermula dari zaman darurat, membawa kepada era konfrontasi, Tragedi 13 Mei, era insurgensi dan terkini perang terhadap keganasan, tuan-tuan dan puan-puan serta pendahulu telah dengan setia dan tanpa ragu-ragu menyambut panggilan pertiwi tercinta. 





Kita menyanjung tinggi kepada sepuluh orang pahlawan negara, di mana lapan orang daripadanya adalah anggota PDRM yang telah membuat the ultimate sacrifice kepada negara. Jadikanlah pengorbanan mereka sebagai contoh teladan. 





Sesungguhnya, khidmat bakti tuan-tuan dan puan-puan tidak sia-sia seperti momokan sesetengah pihak. Bagi pihak kerajaan, rakyat dan negara Malaysia yang terhutang budi, saya ingin mengucapkan terima kasih dan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada semua yang masih dan yang telah menyarung uniform pasukan keselamatan negara. Jasa tuan-tuan dan puan-puan akan dikenang sepanjang zaman. 






Komitmen kerajaan yang ada pada hari ini terhadap kebajikan pegawai dan anggota PDRM tidak dapat dinafikan. Kerajaan hari ini sentiasa menepati janji. 





Penambahbaikan Skim Perkhidmatan Anggota PDRM





 

Sebagai mana yang diumumkan di dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam atau MAPPA baru-baru ini, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013, kerajaan bersetuju bahawa, pangkat dalam perkhidmatan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji. Ia mencakupi perubahan skop fungsi tugas, struktur pangkat juga kelayakan bagi skim perkhidmatan PDRM. 






Sebagai contoh, bagi jawatan Penolong Pesuruhjaya Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 48, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 52 Perkhidmatan Awam Am manakala bagi Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini diletakkan dengan gred jawatan atau gred gaji 48. 






Bagi penyetaraan anggota lain-lain pangkat sebagai contoh Pertama: Koperal PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam Am. Kedua: Lans Koperal PDRM yang dulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 20 Perkhidmatan Awam Am. 






Kerajaan juga melaksanakan pelarasan kadar elaun seperti Imbuhan Tetap Perumahan, Imbuhan Tetap Keraian dan Imbuhan Tetap Khidmat Polis bagi anggota PDRM. 






Hari ini dalam rangka terus mempertingkatkan kebajikan pegawai dan anggota PDRM suka saya mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk meluluskan pelaksanaan skim insurans berkelompok, yang mana akan memanfaatkan seramai 112,145 pegawai dan anggota polis ketika ini. 





NKRA mengurangkan jenayah




 

Kerajaan juga ingin mengucapkan tahniah kepada PDRM kerana berjaya mengurangkan kadar jenayah sehingga 27 peratus dalam tempoh tiga tahun pelaksanaan NKRA. Justeru, kerajaan akan memastikan PDRM di tingkat upaya dan distruktur sesuai dengan keperluan memerangi jenayah moden. 






Sungguhpun begitu, kita tidak boleh berasa selesa, malah perlu terus meningkatkan usaha dan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan kadar jenayah di negara ini dapat dikurangkan kepada tahap yang paling minimum, menjelang 2020. 





Untuk ini pasukan polis akan di transformasi daripada sebuah pasukan keselamatan kepada sebuah perkhidmatan kepolisan yang berorientasikan masyarakat. Perkhidmatan polis tidak akan berjaya tanpa sokongan rakyat. Era PDRM sebagai para-military force sudah berakhir hari ini. PDRM perlu berubah kepada sebuah community based policing service dengan tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi. 





Bagi memenuhi tuntutan modern day policing, PDRM seharusnya memerlukan strategi dan perubahan minda sepenuhnya untuk menghadapi cabaran era moden kini. 





Maka, saya ingin menggesa seluruh rakyat untuk berganding bahu dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang berkenaan kerana keselamatan dan keamanan negara adalah tanggungjawab bersama. 






Kerajaan juga akan sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada PDRM di dalam memastikan kewujudan kedaulatan undang-undang dan pengekalan keamanan serta ketenteraman awam. 





Pengisytiharan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE)

 

Sebagai memberi asas perundangan kepada pengisytiharan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan bagi memelihara hak demokratik serta proses demokrasi untuk penduduk Sabah serta mengukuhkan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan di kawasan timur Sabah, saya dengan ini selepas mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang diperuntukan di bawah Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962, mengisytiharkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur atau Eastern Sabah Safety Zone (ESSZONE) di kawasan timur Sabah yang merangkumi sepuluh daerah, iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, berkuat kuasa hari ini. 






Pengisytiharan yang hanya membabitkan kawasan merangkumi sepuluh daerah di atas ini akan ditadbir oleh satu jawatankuasa yang ditubuhkan menurut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal oleh Menteri Dalam Negeri. Jawatankuasa ini yang dikenali sebagai Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur, akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah dan dibantu oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif serta ahli-ahli yang akan diumumkan kelak. 






Ketua Pegawai Eksekutif seorang awam akan bertanggungjawab untuk menyelaras dan mengawal selia fungsi dan aktiviti pasukan keselamatan dan juga jabatan serta agensi awam dalam melaksanakan semua prakarsa di ESSZONE. Jawatankuasa ini yang akan beribu pejabat di Lahad Datu, akan bertanggungjawab kepada satu jawatankuasa pemantau yang dipengerusikan sendiri oleh saya selaku ketua kerajaan. 






Dengan penubuhan Jawatankuasa ESSZONE ini, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan timur dan seterusnya mencari penyelesaian kepada punca pencerobohan tersebut. 






Ingin saya tegaskan bahawa pengisytiharan ini bukannya pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Kedua, ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik. Ketiga, peraturan-peraturan yang diwujudkan di bawah ordinan ini juga tidak memberikan sebarang kuasa tambahan kepada pihak polis. Kuasa polis sedia ada sudah pun mencukupi untuk menangani situasi ini. Keempat, mana-mana orang yang berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah melalui proses perundangan, dan kelima, bahawa kehidupan akan berjalan seperti biasa di kawasan berkenaan tetapi dengan peningkatan kawalan keselamatan bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat. 






Sehubungan itu, saya ingin menjelaskan di sini bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes yang membabitkan pengganas di Sabah ketika ini ialah suatu akta yang membabitkan prosedur semata-mata. Ia tidak digubal sebagai akta yang memberikan kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960. Bagi setiap tangkapan yang dibuat di bawah SOSMA, pertuduhan akan dibuat dengan menggunakan undang-undang biasa dan dibicarakan di mahkamah sebagaimana kes-kes jenayah yang lain. 





Peguam Negara akan mengadakan sidang akhbar pada hari ini untuk menjawab segala persoalan yang berkaitan dengan aspek perundangan. 





Penempatan semula




 

Menyedari bahawa punca utama kejadian pencerobohan pengganas yang berlaku di Lahad Datu dan kawasan timur lain di Sabah adalah disebabkan oleh kewujudan beberapa penempatan yang boleh dianggap sebagai mudah terdedah kepada bahaya penyusupan masuk pendatang asing tanpa izin dan orang tidak bernegara, maka saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan akan mengadakan inisiatif penempatan semula penduduk yang tinggal di beberapa lokasi di kawasan timur Sabah itu bagi maksud pemeliharaan keselamatan awam. 






Inistiatif dibuat di bawah Bahagian III Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 ini membolehkan kerajaan menempatkan semula mana-mana orang atau kumpulan orang, khususnya mana-mana orang atau kumpulan orang yang merupakan pendatang tanpa izin atau orang tidak bernegara, ke suatu kawasan yang selamat dan sesuai yang akan ditentukan kerajaan. 





Haruslah ditekankan di sini bahawa keputusan untuk menempatkan semula orang atau mana-mana kumpulan orang adalah bagi maksud pemeliharaan keselamatan awam. Dalam melaksanakan penempatan semula ini, kerajaan akan mengambil pertimbangan bukan saja keselamatan dan kesejahteraan orang yang ditempatkan semula ini tetapi juga penduduk sedia ada yang tinggal di kawasan penempatan semula. 






Selain itu, kerajaan akan mempertimbangkan segala aspek mengenai penempatan semula itu, termasuk mata pencarian orang yang hendak ditempatkan semula di kawasan penempatan semula, dan berunding dengan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri atau Ketua Kampung, mengikut mana-mana yang berkenaan, komuniti sedia ada yang tinggal di kawasan penempatan semula itu. Keperluan untuk berunding dengan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri atau Ketua Kampung adalah bagi memastikan kepentingan penduduk sedia ada di kawasan penempatan semula terpelihara. 




Seperti yang sudah saya nyatakan tadi, adalah menjadi matlamat kerajaan bahawa hak asasi rakyat dan kedaulatan undang-undang akan terus dipelihara dan dilindungi, maka kerajaan akan terus memastikan bahawa penempatan semula ini:- 





a) tidak akan menghalang mana-mana warga negara di sesuatu kawasan penempatan semula yang terkilan dengan keputusan kerajaan mengenai penempatan semula daripada mencabar keputusan kerajaan; dan 




b) tidak akan menghalang mana-mana warga negara daripada menjalankan haknya sebagai seorang pemilih dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. 





Menyedari bahawa penempatan semula ini akan membabitkan juga warga negara Malaysia sama ada, sebagai orang yang akan ditempatkan atau sebagai orang yang menetap di tempat penempatan semula, maka kerajaan akan membantu mana-mana warga negara haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan telah terjejas secara yang memudaratkan oleh penempatan semula. 





Di bawah inisiatif penempatan semula ini juga, kerajaan akan menyediakan tempat tinggal dan memastikan keselamatan bagi orang yang ditempatkan semula. Ini adalah kerana kerajaan sedar bahawa keputusan untuk menempatkan semula memberikan impak yang besar kepada kehidupan masa depan mereka yang terbabit. Penghijrahan ke suatu tempat baharu membabitkan penyesuaian masyarakat terhadap suasana tempat tinggal baru. 





Atas dasar kemanusiaan dan bagi memastikan orang yang terbabit dalam penempatan semula mendapat manfaat daripada inisiatif penempatan semula ini, kerajaan akan memastikan bahawa kesihatan awam, perkhidmatan perubatan dan sanitasi akan disediakan bagi orang yang tinggal di kawasan penempatan semula, selain peluang pendidikan seperti pendidikan asas dan peluang pekerjaan diperluas kepada orang yang tinggal di kawasan penempatan semula. 





Kerajaan juga akan menyediakan latihan dan kelengkapan jika perlu untuk membolehkan orang yang tinggal di kawasan penempatan semula untuk memulakan hidup baru. Bagi maksud ini, kerajaan akan mendapatkan kerjasama, bantuan dan nasihat dan meminta apa-apa bentuk sumbangan daripada mana-mana organisasi atau badan di dalam Malaysia atau di luar Malaysia. 





Suka saya maklumkan bahawa inisiatif penempatan semula ini, bukan saja akan memanfaatkan mereka yang akan ditempatkan di kawasan penempatan semula yang baru, malah ia akan turut memanfaatkan mereka yang tinggal di sekitar kawasan penempatan semula kerana kerajaan akan menjalankan program yang perlu bagi kesejahteraan dan kebajikan mereka. 





Walaupun inisiatif penempatan semula ini hanya bertumpu kepada kawasan timur Sabah setakat ini, ia bukan bermakna bahawa kawasan Pantai Barat Sabah dilupakan. Buat masa ini, keperluan keselamatan yang lebih mendesak bertumpu ke kawasan timur. Inisiatif ini akan diperluaskan ke seluruh Sabah apabila sesuai. 





Dalam segala-galanya, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah meragui kesetiaan warga negara Malaysia yang berketurunan Suluk. Mereka warga negara yang mempunyai hak seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara dan kerajaan ini akan terus melindungi hak mereka yang sah dan memperjuangkan kebajikan mereka. 





Saya memuji keberanian dan pengorbanan penduduk Kampung Senalang, Semporna, Sabah pada 3 Mac 2013 yang menundukkan seorang pengganas. Dalam usaha penduduk itu mempertahan diri dan negara, pengganas itu terbunuh. Jasa dan keberanian mereka amat dihargai. 





Penutup



 

Penutup bicara, sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada pasukan Polis Diraja Malaysia di atas sambutan ulang tahun ke-206. Satu perjalanan yang panjang bagi sebuah organisasi terbilang. 





Marilah kita bersama-sama melakar masa depan yang lebih baik untuk kita dan anak cucu kita. Saya dan rakyat Malaysia mengimpikan sebuah perkhidmatan kepolisan yang profesional, berkesan dan terbaik. Sebuah perkhidmatan yang mempunyai pegawai dan anggota yang terbaik, peralatan yang mencukupi dan terkini, latihan serta kemahiran yang terbaik di dunia untuk melaksanakan perkhidmatan kepolisan abad ke-21. 





Kita mengimpikan sebuah negara maju berpendapatan tinggi di mana jalan-jalannya, taman-taman perumahannya dan kawasan awamnya bebas daripada jenayah agar rakyat Malaysia boleh bersama-sama keluarga di seluruh pelosok Malaysia tanpa rasa bimbang mahu pun takut terhadap keselamatan diri dan keluarga mereka. Ayuhlah bersama-sama kita jadikan impian ini sebuah realiti. 



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...