BR1M selaras tuntutan Islam
Pekan: Datuk Seri Najib Razak berkata pelbagai inisiatif kerajaan
membantu mengurangkan beban rakyat, termasuk pemberian Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) adalah selaras dengan tuntutan dan syariat Islam.
Perdana Menteri berkata, sejak diperkenalkan pada 2012, BR1M dapat
membantu golongan berpendapatan rendah yang dalam kesusahan, berikutan
peningkatan kos sara hidup disebabkan keadaan semasa ekonomi global.
Beliau dimaklumkan bahawa ramai penerima BR1M menggunakan wang
berkenaan yang mula diagihkan sejak kelmarin sehingga 9 Mac ini, untuk
mengurangkan beban hutang masing-masing.
Perdana Menteri berkata, Rasulullah pernah bersabda bahawa
sesiapa yang membantu orang lain melangsaikan hutang atau mengatasi
kesulitan atau menyelesaikan masalahnya maka itu lebih baik daripada
sebulan beriktikaf di masjid.
Pegang prinsip
Seorang pernah bertanya Rasulullah siapakah manusia yang paling
dicintai Allah dan apakah perbuatan yang paling dicintai Allah.
Jawab Baginda manusia yang paling dicintai ialah manusia yang
banyak memberi manfaat kepada manusia lain, menggembirakan manusia lain
dengan melunaskan hutang orang tak mampu bayar, beri makan kepada orang
kelaparan dan berjalan untuk membantu orang yang susah, itu lebih baik
daripada beriktikaf sebulan di masjid.
Jadi, biarlah pembangkang nak kritik dan kutuk (apa yang kerajaan
buat) kerana mereka akan sentiasa cari jalan. Paling penting kita
kuatkan iman dan pegang prinsip ajaran Islam supaya apa yang kita
lakukan diredai Allah, katanya.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian pada majlis
penyampaian BR1M Parlimen itu di Dewan Seri Perdana Kolej Automotif
Antarabangsa (ICAM), di sini, semalam. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk
Seri Adnan Yaacob.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan
berkenaan kepada 1,000 daripada 36,000 penerima daripada empat DUN
Chini, Peramu Jaya, Bebar dan Pulau Manis.
Lawat veteran UMNO
Selepas majlis itu Perdana Menteri melawat dua veteran UMNO yang mengalami masalah kesihatan di rumah masing-masing.
Najib meluangkan masa melawat bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian,
Termizi Tahir, 60, di Alor Ara, di sini, yang menghidap penyakit angin
ahmar sejak dua bulan lalu.
Perdana Menteri kemudiannya menziarahi bekas ahli jawatankuasa
bahagian Pekan, Mohamed Taib Ibrahim, 76, selepas diserang penyakit
saraf di rumahnya, Teratai Dara, Kampung Jambu, di sini.
Mohamed menyifatkan kunjungan Perdana Menteri itu ibarat bulan
jatuh ke riba kerana Najib sanggup meluangkan masa lebih setengah jam
untuk bertanya khabar dan berbual dengannya.