Sahabat Maya :

Monday, February 24, 2014

PBS ditangguh, teliti kesan bebanan guru



http://ooo.my/wp-content/uploads/2014/02/pentaksiran-berasaskan-sekolah.jpg




KUALA LUMPUR 23 Feb. - Guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga perkara itu diputuskan oleh Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.








Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yuso berkata, Kementerian Pendidikan mengambil serius mengenai isu pelaksanaan PBS yang dibangkitkan oleh guru-guru di samping pandangan tentang kesannya terhadap murid.
Berikut kenyataan penuh beliau;







 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat memandang serius mengenai isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dibangkitkan oleh guru-guru di samping pandangan akan kesannya kepada murid. PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid. Dalam hal pelaksanaannya, KPM sentiasa terbuka dan telus terhadap sebarang rungutan, komen, pandangan, kritikan daripada guru-guru dan masyarakat.






 Sehubungan dengan itu, selaras dengan arahan Menteri Pendidikan supaya KPM membuat kajian menyeluruh mengenai perlaksanaan PBS, pihak KPM telah mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru. Kajian dan penelitian ini difokuskan kepada rombakan terhadap perkara-perkara yang melibatkan kekerapan guru-guru memasukkan data-data berkaitan eviden dan pencapaian murid yang termasuk juga pengisian borang-borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru-guru.






 Di samping memastikan kajian dan penelitian tersebut dilaksana secara berkesan, KPM juga telah mengambil langkah-langkah segera bagi menanganinya seperti berikut;







l. Menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula pada 17 Februari 2014 bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.






2. Mengadakan perbengkelan yang melibatkan guru-guru termasuk kesatuan-kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula terhadap pelaksanaan PBS. Bengkel tersebut telah dilaksanakan pada awal dan pertengahan bulan Februari 2014 dan hasilnya akan dibentangkan semula kepada KPM dalam tempoh terdekat.






3. Menubuhkan Jawatankuasa Task Force PBS di peringkat KPM yang mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.







4. Mewujudkan War Room PBS di peringkat KPM untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS dengan segera dan berkesan termasuk membuat maklumbalas segera mengenainya dari semasa ke semasa; dan







5. Usaha-usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pen
 taksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga sedang dilaksanakan di peringkat KPM bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem tersebut secara lebih mudah dan berkesan.







 Kesemua tindakan tersebut diambil adalah bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan bebanan tugas guru yang melaksanakannya. KPM akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan hal ini termasuk tindakan selanjutnya terhadap pelaksanaan PBS setelah Menteri Pendidikan berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan dengan mengambilkira dapatan kajian terbaru KPM, rungutan para guru dan pandangan masyarakat termasuk oleh Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).








Buat masa ini guru-guru tidak perlu meneruskan perlaksanaan PBS sehingga satu kenyataan mengenainya dibuat oleh KPM dalam masa yang terdekat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...