Sahabat Maya :

Friday, November 8, 2013

Sastera Melayu pemangkin perpaduan


http://4.bp.blogspot.com/_ssImiC9ZvPE/S7YHUzHExPI/AAAAAAAAAOg/8gBXINb4dDs/s1600/SASTERAcat.jpg

Sastera Melayu pemangkin perpaduan

 

SUMBANGAN dunia kesusasteraan kebangsaan dalam menyemai benih cinta perpaduan serta mengintegrasi rakyat negara ini menjadi satu 'keluarga besar' sememangnya sudah sekian lama terbukti. 



Pengaruhnya begitu ampuh dan tiada siapa dapat menyangkal akan kuasa mata pena kreatif ini 'berbicara' mengenai penyatuan bangsa yang diterjemahkan dalam kepelbagaian karya sastera seperti novel, puisi mahupun cerpen dengan penggunaan bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu. 



"Esoknya kuih pau dan ketupat bertukar pinggan, mereka saling menerima dan memberikan kepunyaan", hasil nukilan kreatif tokoh Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang, memberi tumpuan kepada perpaduan antara kaum. 



Rangkap ini dipetik melalui karya puisi beliau berjudul Suasana yang menggambarkan kemesraan jalinan kehidupan antara keluarga Melayu dan Cina. 



Biarpun ia hanyalah sekadar lakaran kata-kata, namun puisi itu berjaya menerobos jauh ke dalam tembok pemisah antara kaum sekali gus mendekatkan lagi jiwa antara satu sama lain, kata tokoh sastera, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin kepada Bernama. 



"Sajak ini meninggalkan pesan perpaduan secara sangat halus bahawa kita mempunyai banyak ruang dan kesempatan untuk menjalinkan hati dan jiwa.
"Sesungguhnya, karya-karya kesusasteraan berperanan penting sebagai jambatan perpaduan bangsa," katanya. 



Selain Suasana, beliau menjelaskan ada banyak lagi contoh karya kesusasteraan yang kaya dengan mesej berbaur perpaduan serta menjurus ke arah kebangkitan semangat kebersamaan masyarakat. 



Umpamanya, novel Sangeetha karya Azizi Abdullah, Pemuda dan Gadis Tionghoa (puisi Dr. Usman) serta cerpen Estet dan Kuarters Batu 13 hasil karya Zainal Rashid Ahmad berpotensi merapatkan kerenggangan serta menamatkan polemik yang cuba mengapi-apikan sensitiviti perkauman. 



Istimewanya, hasil karya kreatif ini tidak hanya melatari sumbangan daripada pengarang berketurunan Melayu. Malahan turut disumbangkan oleh pengarang bukan Melayu seperti Saroja Theavy Balakrishnan, E Pian Pro Poul (pengarang masyarakat Siam), Soo Cham dan Kathirina Susanna Tati. 



Masing-masing atas satu tujuan, bersama-sama memupuk semangat perpaduan selain kedudukan bahasa Melayu itu dijadikan sebagai wahana penyatuan.
Bagaimanapun, negara masih memerlukan lebih ramai pengarang sastera Melayu (karya menggunakan bahasa kebangsaan) terutama dalam kalangan bukan Melayu untuk mempertingkatkan lagi penerbitan karya-karya yang menzahirkan aspirasi hidup sesuatu kaum itu. 



Keperluan ini amat penting sebenarnya, kerana pembacaan karya-karya sedemikian dapat merapatkan hubungan sesama kita memandangkan sastera mampu menyeberangi sempadan pemikiran politik kaum yang sempit. 



Lebih ramai 



"Setiap bangsa di negara ini mempunyai aspirasi, pengalaman, pengetahuan dan budaya berlainan. Contohnya, apabila pengarang Cina menulis mengenai aspirasi kehidupan masyarakat itu sendiri. 



"Apabila dibaca oleh kaum lain, ini akan membuatkan mereka lebih memahami apakah keinginan dan budaya masyarakat Cina. Biasanya, karya sastera mempunyai kesan lebih mendalam untuk menyedarkan mengenai perasaan dan corak kehidupan sesuatu bangsa itu," jelas Dr. Lim. 



Menurutnya, majoriti karya-karya kesusasteraan pada masa kini disumbangkan oleh pengarang Melayu walhal adalah sebaiknya penghasilan karya pengarang daripada kaum-etnik itu sendiri dapat dipertingkatkan. 



Ini kerana, mereka lebih memahami pandangan berkaitan dengan dunia kaumnya sendiri, justeru pengisian kandungan sesuatu karya itu mungkin adalah lebih tepat.
Aspek ini seharusnya tidak dipandang ringan. Khususnya, selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menampakkan kerapuhan terhadap ikatan yang terjalin selama ini. 



Bersandarkan kepada landasan karya sastera, pengukuhan perpaduan akan terasa lebih 'kemanisannya' apabila setiap daripada kita saling memahami antara satu sama lain. 



Apabila sudah mula mengenali latar belakang, budaya, maka terbentuklah toleransi dan pewujudan rasa perkongsian hidup bersama secara harmoni di bawah payung Malaysia. 



Dalam melayari penyemaian semangat kebersamaan, penerbitan karya kreatif daripada pengarang bukan Melayu ini juga sebenarnya dapat menarik minat pembacaan daripada kaum mereka sendiri. 



Dan, ini secara tidak langsung akan mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan mereka. 



Tidak terkecuali, Dr. Lim berkata karya kesusasteraan yang turut menyentuh nilai murni kehidupan seperti kesopanan, tidak berdengki akan kejayaan sesuatu kaum lain akan membantu membentuk personaliti seseorang individu itu. 



"Sejak beberapa hari ini, orang banyak bercerita tentang prinsip rukun negara yang kelima - Kesopanan dan Kesusilaan - yang kian menipis. Karya sastera sebenarnya sudah lama menawarkan elemen sedemikian. 



Disebabkan itulah terdapatnya keperluan untuk menggerakkan usaha, sama ada melalui kerjasama dan perancangan pelbagai pihak untuk melahirkan lebih ramai penulis dalam kalangan bukan Melayu yang bersedia berkarya atas nama perpaduan.
Dalam usaha ini, pihak yang berperanan memartabatkan bahasa kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengambil beberapa langkah antaranya menambahkan jumlah penerbitan buku daripada bahasa-bahasa sukuan ke bahasa Melayu. 



Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Awang Sariyan ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Sastera Pelbagai Kaum 2013, di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) baru -baru ini berkata usaha itu turut meliputi program pemupukan bahasa, bengkel penulisan dan pertandingan penulisan. 



Bagaimanapun, Dr. Lim merasakan usaha itu juga perlu dimainkan oleh pihak lain dan tidak menyerahkan matlamat pencambahan penulis bukan Melayu itu kepada pihak DBP semata-mata. 



Contohnya, Aswara boleh mengambil inisiatif dengan menubuhkan sebuah Akademi Pengarang. 



"(Dengan) menghimpunkan di sini pengarang-pengarang yang bersedia berkarya atas nama perpaduan bangsa, tidak terkecuali integrasi nasional dalam konteks perpaduan yang lebih luas. 



"Hasilkan sebanyak mungkin karya berimpak demi perpaduan dan rasa muhibah berkekalan. Karya sastera mampu mengikis dan menangkis rasa curiga mencurigai antara satu sama lain," katanya. — BERNAMA





Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...