Sahabat Maya :

Friday, March 21, 2014

Keputusan SPM terbaik

Keputusan SPM terbaik

PUTRAJAYA 20 Mac - Pencapaian keseluruhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun berdasarkan indeks nilai Gred Purata Nasional (GPN).






Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, nilai GPN pada tahun ini ialah 4.93 mata berbanding 5.34 mata pada 2009.






Beliau berkata, jumlah yang memperoleh semua gred A (Cemerlang) juga menunjukkan peningkatan iaitu seramai 13,970 calon dengan 11,892 daripadanya merupakan calon sekolah kerajaan manakala 2,078 calon pula sekolah persendirian.






Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 405 calon berjaya mendapat gred A+ (Cemerlang Tertinggi) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.






"Jumlah yang memperoleh semua gred A lebih baik berbanding pada 2012 iaitu sebanyak 13,720 dengan peningkatan 0.05 peratus.






"Pada tahun ini, seramai 442,588 calon menduduki SPM berbanding 441,542 pada 2012 dengan penurunan sebanyak 1,046 calon," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2013 di sini hari ini.






Dalam pada itu, Khair berkata, dalam SPM 2013, mata pelajaran Sejarah dijadikan sebagai wajib lulus sebagaimana Bahasa Melayu bagi melayakkan calon mendapat sijil.





Berikutan itu, sejumlah 378,490 calon layak mendapat sijil berbanding 402,859 pada tahun sebelumnya dengan penurunan sebanyak 24,369 calon.






Walau bagaimanapun, katanya, penurunan jumlah calon layak mendapat sijil bukan hanya disebabkan mata pelajaran Sejarah sebaliknya berdasarkan keseluruhan prestasi semua mata pelajaran mengikut nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).






"Berdasarkan GPMP, prestasi 61 mata pelajaran meningkat manakala 46 mata pelajaran menurun dan hanya satu subjek kekal prestasinya berbanding 2012.





"Walau bagaimanapun kesemua subjek teras meningkat kecuali Matematik yang menurun dengan 4.99 mata berbanding 4.91 mata tahun lalu," katanya.






Mengulas lanjut, Khair berkata, peningkatan calon luar bandar lebih tinggi berbanding pencapaian calon bandar sekali gus jurang pencapaian antara kedua-dua kawasan itu mengecil sebanyak 0.01 peratus mengikut nilai GPN.






Tambah Khir, SPM 2013 juga menyaksikan lapan calon berkeperluan khas mendapat sekurang-kurangnya gred A- (Cemerlang) membuktikan semua calon tanpa mengira kekurangan mereka berpeluang untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM.





"Kementerian menggunakan khidmat pakar pentaksiran luar negara yang terlibat dalam SPM 2013 antaranya Cambrige International Examinations (CIE), United Kingdom bagi memastikan peperiksaan yang dikendalikan kami mendapat pengiktirafan antarabangsa.




"Pakar pentaksiran terlibat berpuas hati dengan proses pembinaan instrumen pentaksiran, pemeriksaan skrip jawapan calon dan penentuan standard yang telah dilaksanakan secara profesional dan memiliki kredibiliti tinggi.






"Kesemua proses tersebut menepati ciri-ciri piawaian pentaksiran pendidikan bagi memastikan kesahihan dan kebolehpercayaan keputusan peperiksaan adalah tinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...