Sahabat Maya :

Thursday, February 13, 2014

Antara kefahaman guru dan penjelasan



Antara kefahaman guru dan penjelasan

 

 


CAKAP-CAKAP dalam kalangan masyarakat dan guru tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) membuktikan bahawa transformasi pendidikan memberi impak dan respons yang berbagai-bagai, khususnya dari segi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang sekarang ini dipertanggungjawabkan secara langsung kepada guru-guru di sekolah. 









PBS yang dilaksanakan oleh guru benar-benar menguji kewibawaan, terutama apabila masyarakat sebelum ini melihat penilaian pelajar dari segi gred kecemerlangan dalam peperiksaan awam, dan bukan daripada aspek penilaian guru atau sikap dan keberhasilan pelajar. Justeru, timbullah cakap-cakap seperti berikut;









"Tanpa peperiksaan awam sukar untuk menjadi rujukan dan ukuran seperti dalam pemilihan pelajar yang akan diberi biasiswa dan peluang belajar di institusi tertentu serta pemilihan dalam bidang pengajian yang lebih tinggi. Ibu bapa tidak mengetahui tahap sebenar kejayaan dan kemampuan anak-anak mereka. 
Pencapaian anak-anak mereka pada band tertentu tidak dapat memberi gambaran aspek yang perlu dilakukan untuk membantu anak-anak mereka.''









"Tanpa peperiksaan awam pelajar tidak bermotivasi untuk bersaing dengan rakan-rakan dari segi akademik. Sikap ini memberi kesan apabila mereka berhadapan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana dianggap satu kejutan peperiksaan. Selama ini mereka menghadapi ujian tidak formal dan kurang bersungguh-sungguh, malah kurang mahir menjawab kertas soalan bertulis dengan format tertentu.''
"PBS menyebabkan guru yang berhadapan dengan pelajar cemerlang tidak bersungguh-sungguh. Mereka berpuas hati dengan melaksanakan satu ujian pada tahap tertinggi untuk mengiktiraf kejayaannya. 










Sementara guru yang mengajar di kelas lemah berasa tertekan. Sesetengahnya mengambil jalan pintas dengan membantu pelajar untuk menjawab kertas evidens yang bertahap tinggi walaupun di luar kemampuannya.''
Cakap-cakap ini menunjukkan bahawa masih banyak ahli masyarakat, ibu bapa dan guru yang kurang memahami dan menghayati transformasi pendidikan, lebih-lebih lagi pada tahap awal pelaksanaannya. 








Justeru perkara ini perlu diperjelas kepada ibu bapa dan masyarakat. Malah transformasi ini memerlukan kefahaman pihak guru yang telah mahir dengan kaedah pembelajaran untuk menghadapi peperiksaan awam bagi mengaplikasikan pelbagai pedagogi serta untuk mengubah gaya pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih berfokus kepada keterampilan individu dan lebih mencabar. 








Perubahan peperiksaan dalam bentuk PBS yang ada sekarang, tanpa penjelasan mendalam tidak dapat memberi petunjuk kepada ibu bapa dan masyarakat tentang prestasi dan arah sebenar anak-anak mereka. Hal ini kerana mereka tidak memahami falsafah sebenar di sebalik pelaksanaan PBS. Lebih malang lagi apabila guru juga masih samar-samar tentang matlamat transformasi dalam PBS. 







Guru kini berhadapan dengan cabaran untuk menggunakan sistem pelaporan atas talian, fail-fail dokumen dan lain-lain yang berkaitan pengurusan pentaksiran; bukan sahaja perkara ini sebagai elemen baru dalam transformasi malah kurang mesra kepada guru-guru. 







Tumpuan guru kini pada usaha berhadapan dengan sistem dan kurang fokus kepada falsafah dan matlamat transformasi tersebut. Justeru, peranan Kementerian Pendidikan amat berat untuk menghadapi cabaran memberi kesedaran dan kefahaman kepada guru dan masyarakat. 







Sebelum ini, tugas guru adalah untuk memberi maklumat kepada pelajar agar dapat dicurahkan di dalam dewan peperiksaan. Guru sudah mempunyai kaedah, maklumat dan format tertentu yang selaras bagi memberi persiapan kepada pelajar untuk menghadapi peperiksaan. 







Justeru, kebanyakan guru lebih selesa dengan pendekatan peperiksaan dalam PdP kerana tanggungjawab pernilaian dan pentaksiran pelajar bukan sepenuhnya di tangan mereka. 







PBS memerlukan guru yang bukan sahaja menguasai pedagogi, menguasai ilmu bidang mereka, malah perlu memahami psikologi kanak-kanak dan remaja seterusnya menjadi fasilitator berwibawa. Guru perlu melakukan pentaksiran atau ujian bagi mengetahui tahap pelajar sebelum memulakan pengajaran. 







Sebagai contoh, guru di sekolah berasrama penuh yang terdiri daripada pelajar pilihan, seharusnya memulakan pengajaran mengikut tahap mereka. 





Guru perlu melakukan pentaksiran atau ujian bagi mengetahui tahap mereka sebelum memulakan pengajaran. Bagi kumpulan pelajar sedemikian, sebaik-baiknya guru membuat ujian pada tahap band 5. 







Andai pelajar sudah menguasai band 5, guru boleh memulakan pengajaran pada tahap band 6, sebaliknya jika pelajar tidak menguasai band 5, guru harus memulakan pengajaran daripada band 3, iaitu tahap kelulusan minima dalam PBS. Bagi kumpulan pelajar sedemikian, sebaik-baiknya guru membuat ujian pada tahap band 5.






Andai pelajar sudah menguasai band 5, guru boleh memulakan pengajaran pada tahap band 6, sebaliknya jika pelajar tidak menguasai band 5, guru harus memulakan pengajaran daripada band 3, iaitu tahap kelulusan minimum dalam PBS.







Sekiranya guru mendapat kumpulan pelajar yang lemah pula, guru seharusnya membuat pentaksiran atau ujian pada tahap band 3 sebelum memulakan pembelajaran. Andai kata pelajar telah menguasai kemahiran band 3, guru seharusnya meneruskan pengajaran pada tahap band 4, dan seterusnya. Andai pelajar tidak menguasai band 3, guru harus memulakan pengajaran pada tahap band 1. 









Sekiranya guru menerima pelajar mempunyai pencapaian berbeza, ada yang cemerlang dan ada yang lemah, guru seharusnya membuat pengajaran secara kumpulan mengikut tahap mereka. Malah, guru boleh menjadikan pelajar yang cemerlang sebagai pembantu rakan sebaya agar kematangan pelajar itu akan cepat berkembang. Guru perlu memberi aktiviti yang sesuai dengan tahap pelajar secara individu dan bukan menjalankan PdP secara menyeluruh untuk semua pelajar.








Sebaliknya, guru yang berhadapan dengan pelajar pada tahap band 1, seharusnya mengadakan lebih banyak aktiviti pemulihan untuk memberi pengenalan pada tahap 'tahu' kepada pelajar. Pelajar bukan sahaja diberi penerangan, malah perlu dibawa melihat gambar, tayangan video, dan seumpamanya, malah dibawa untuk melihat dan menyentuh objek yang ingin diperkenalkan kepada mereka. 







Pentaksiran guru bukan sahaja dalam bentuk ujian bertulis. Guru boleh menilai pelajar berdasarkan pemerhatian, jawapan lisan, laporan, kerja kursus, dan sebagainya. Pentaksiran dilakukan secara formatif iaitu soalan yang diberi semasa PdP. 






Selain itu, guru boleh melakukan ujian sumatif iaitu ujian atau pentaksiran dibuat apabila telah menamatkan satu unit atau tajuk dalam pembelajaran.
Kesimpulannya, guru perlu memahami perubahan atau transformasi dalam pendidikan yang melibatkan pentaksiran sekolah. 








Mereka bukan sahaja dituntut untuk cekap berhadapan dengan sistem, malah perlu mempunyai kefahaman mendalam, menguasai PdP yang berkesan serta mampu memberi penerangan kepada masyarakat khususnya ibu bapa agar tanggapan dan persepsi transformasi tersebut tidak kabur.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...