Sahabat Maya :

Wednesday, November 6, 2013

KUIST tawar ijazah makanan halal

KUIST tawar ijazah makanan halal

KUIST tawar ijazah  makanan halal 
Mohd Azman (tengah) beramah mesra dengan graduasi KIST sambil disaksikan Muhammad Zamly (kiri) pada Konvokesyen KIST Ke-6 di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kota Bharu, semalam.
 
 
Kota Bharu: Permintaan tinggi terhadap tenaga kerja dalam industri halal di dalam dan luar negara, mendorong Kolej Universiti Islam, Sains dan Teknologi (KUIST) menawarkan pengajian peringkat Sarjana Muda Syariah (Makanan Halal).
Pengajian itu yang diperkenalkan dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku agensi yang bertanggungjawab dalam persijilan halal di negara ini.
Rektor KUIST, Prof Dr Mohd Azman Abu Bakar, berkata graduan jurusan terbabit dilihat mempunyai masa depan yang cerah apabila menamatkan pengajian mereka selama tiga tahun.


“China misalnya, memerlukan 10,000 pekerja dalam bidang halal untuk bertugas hotel dan industri makanan di sana dan mereka meminta pekerja dari Malaysia kerana mendapat pengiktirafan di negara itu.


Cuba bantu pelajar


“Justeru, KUIST cuba membantu pelajar untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa sebaik saja mereka tamat pengajian kelak,” katanya di sini. Beliau berkata, aspek makanan halal tidak hanya membabitkan penyembelihan haiwan semata-mata, tetapi juga mencakupi aspek kebersihan dalam penyediaan makanan.

“Adanya petugas yang bertanggungjawab dalam bidang pemakanan halal sebegini, proses yang bermula dari ladang hingga hidangan dalam pinggan boleh dikawal dalam kebersihannya,” katanya.

KUIST yang baru mendapat kelulusan operasi Kementerian Pendidikan sejak 31 Ogos lalu turut menawarkan dua lagi kursus peringkat ijazah iaitu Psikologi (Industri dan Organisasi) dan Keusahawanan, manakala peringkat diploma adalah Kaunseling Islam serta Perbankan dan Kewangan Islam.

Sementara itu, Presiden KIST Group Holdings Sdn Bhd (KGH), Muhammad Zamly Abdullah, berkata sebagai permulaan pihaknya menjangkakan 200 pelajar mendaftar mengikuti program yang ditawarkan KUIST termasuk graduan diploma Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) yang menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

“Setakat ini sebahagian graduan diploma KIST memohon menyambung ke peringkat ijazah, tetapi ada antara mereka sudah mendapat pekerjaan.


Tepati kehendak pasaran

“Walaupun ada yang menangguhkan pengajian peringkat ijazah, pengurusan KGH berbangga dengan kejayaan mereka yang membuktikan graduan KIST menepati kehendak pasaran,” katanya.

Muhammad Zamly berkata, sejak ditubuhkan mulai 2005, KIST sudah melahirkan lebih 6,000 graduan dengan 90 peratus daripada mereka mendapat pekerjaan sesuai dengan bidang pengajian dalam sektor awam dan swasta.

Maklumat lanjut mengenai pengajian ditawarkan KIST dan KUIST boleh diperoleh dengan melayari laman web, www.kist.edu.my atau www.kuist.edu.my. 
 
 
 
 
Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...