Sahabat Maya :

Tuesday, November 19, 2013

Kementerian gesa henti polemik dasar PBS


Kementerian gesa henti polemik dasar PBS

Kota Belud: Kementerian Pendidikan meminta semua pihak menghentikan polemik berhubung dasar Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) kerana ia dilaksanakan selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk orang ramai.
 
 


Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata walaupun wujud kelemahan terutama berkaitan sistem serta penyimpanan data, ia dapat menilai pelajar dari segi kokurikulum, rohani, peperiksaan dan aspek lain seperti dimahukan pelbagai pihak selepas sistem sebelum ini hanya menilai dari sudut peperiksaan. 
 
 
 
 
“Janganlah kita tolak PBS ini hanya kerana ada masalah dari segi pelaksanaannya, sedangkan ia mampu menilai pelajar dengan baik, bukan hanya berdasarkan kepada peperiksaan semata-mata, tetapi meliputi pelbagai aspek. 
 
 

Kementerian akan melakukan tiga penambah-baikan awal tahun depan bagi melancarkan pelaksanaan sistem itu” Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II



Penambahbaikan
 


“Sehubungan itu, kita akan teruskan dasar ini dan membuat pelbagai penambahbaikan yang akan memudahkan tugas guru dalam mengisi segala maklumat serta markah pelajar,” katanya pada sidang media selepas menutup Program Kem Perpaduan 1Malaysia peringkat kebangsaan di Kampung Rampayan, di sini, semalam.
 
 
 


Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip.
 
 
 


Pelaksanaan PBS ketika ini mendapat pelbagai reaksi, terutama daripada kesatuan guru yang mahu ia dikaji semula serta dimansuhkan kerana didakwa menyukarkan serta membebankan guru. 
 
 
 

Mengulas lanjut, Idris berkata, kementerian akan melakukan tiga penambahbaikan awal tahun depan bagi melancarkan pelaksanaan sistem itu, termasuk menginterasikan modul kepada satu modul tunggal.
 
 


“Kita juga akan memperkenalkan ‘cache’ yang akan melindungi rekod dibuat guru, sekiranya berlaku masalah seperti gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan semua data dikumpulkan hilang begitu saja.
 
 


“Kementerian juga akan meningkatkan server dan jalur lebar bagi menambah akses kepada guru yang mahu memasukkan data seperti markah murid, ini semua bagi melancarkan pelaksanaan PBS,” katanya.
 
 


Sementara itu, Idris berkata, penganjuran Program Kem Perpaduan 1Malaysia akan dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.
 


“Sekarang ia hanya dibuat di peringkat kebangsaan saja dan selepas ini akan dikembangkan ke peringkat negeri serta daerah,” katanya. 
 
 
 
Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...