Sahabat Maya :

Friday, September 13, 2013

Jawatankuasa khas kaji dakwaan guru buat bayaran untuk pertukaran




Jawatankuasa khas kaji
 dakwaan guru buat bayaran untuk pertukaran


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dengan terperinci dakwaan guru membuat pembayaran melalui orang tengah untuk tujuan pertukaran.

Jawatankuasa itu ditubuhkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, menurut kenyataan kementerian itu yang dikeluarkan di sini hari ini.


Kenyataan itu menyebut Kementerian Pendidikan amat memandang serius terhadap dakwaan ada guru ingin bertukar menggunakan orang tengah dengan syarat membayar sejumlah wang bagi maksud pertukaran itu.


Kenyataan itu dibuat berikutan laporan sebuah akhbar tempatan pada Isnin lepas mengenai dakwaan di sebuah laman web bahawa wujud pihak yang membuat pembayaran melalui orang tengah setelah kecewa permohonan untuk pertukaran tidak berjaya.

Menurut Kementerian Pendidikan, mengikut prosedur pertukaran guru yang ditetapkan, sebarang pertukaran dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk keperluan perkhidmatan, opsyen atau mata pelajaran dan kekosongan di negeri yang dipohon.

Selain itu, terdapat juga isu lain yang diberi pertimbangan antaranya faktor kesihatan yang kronik dan ancaman keselamatan terhadap guru yang memohon.

Dalam hal ini juga, kementerian telah mengambil beberapa langkah tambahan lebih telus dan terbuka, menurut kenyataan itu. 

Sehubungan itu, guru yang tidak berpuas hati, termasuk yang ingin merayu terhadap permohonan, boleh terus datang berbincang secara bersemuka dengan pegawai yang terlibat, termasuk Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian.
- BERNAMA


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...