Sahabat Maya :

Wednesday, August 7, 2013

Mengukuhkan kesepaduan sosial menerusi Aidilfitri

Mengukuhkan kesepaduan sosial menerusi Aidilfitri

Sikap saling menghormati norma,
 nilai penganut Islam resipi keharmonian
 
 
 
 


Dua minggu lalu Buletin Utama TV3 menyiarkan kisah seorang mualaf daripada keturunan Kadazan-Dusun di Sabah yang memeluk Islam dan berkahwin dengan lelaki Islam. Perkahwinan campur bukanlah sesuatu yang asing di Sabah dan Sarawak, termasuk membabitkan kaum Bumiputera dan Cina dan sesama Bumiputera daripada berlainan etnik. Amalan memeluk Islam juga semakin kerap berbanding 1970-an. Dalam kalangan adik-beradik saya, daripada empat orang, termasuk seorang anak angkat, tiga memeluk Islam, manakala dalam kalangan keluarga terdekat, ramai yang sudah memeluk Islam dan berkahwin campur. Darah sesetengah daripada mereka, mungkin ada percampuran sehingga lima jenis keturunan. Sabah dan Sarawak mempunyai 57 suku kaum dengan keturunan, agama, adat dan budaya yang berbeza. 
 
 
 
 
 

Dalam buletin tadi, seperti dalam sesetengah kes, wanita terbabit mengisahkan bagaimana pada awalnya ibu bapanya menentang langkah memeluk agama Islam. Namun, kami adik-beradik bernasib baik kerana ibu bapa kami yang beragama Kristian tidak menentang tindakan kami memeluk Islam. Bagi mereka daripada latar belakang agama dan budaya yang berbeza, menjadi saudara baru bukannya mudah. Banyak cabaran dan liku yang perlu diharungi, termasuk cabaran menghayati Islam sebenar. Sokongan daripada suami atau isteri dan mereka seagama amat penting bagi memudahkan saudara baru mempelajari segala selok-belok berkaitan fardu ain dan fardu kifayah. Dalam kes wanita tadi, dia mengongsikan pengalaman bagaimana akhirnya, ibu bapa dan kaum keluarganya turut sama-sama membantu persiapan berpuasa dalam Ramadan dan juga persiapan menyambut Aidilfitri. 
 
 
 
 
 
 

Jika anda bertanya kepada saya, apakah antara kelebihan Sabah dan Sarawak, saya tidak akan teragak-agak untuk menyatakan bahawa sikap menghormati dan bertolak ansur antara pelbagai etnik dan agama sebagai sesuatu yang menakjubkan. Jarang-arang berlaku perkelahian dan permusuhan membabitkan etnik dan agama, sekali gus memperlihatkan sikap toleran yang tinggi dalam kalangan mereka.






Perkukuh kesepaduan
 
 
 
 


Selain asimilasi, akomodasi dan akulturasi, amalgamasi atau perkahwinan campur adalah satu daripada langkah terbaik untuk mengukuhkan kesepaduan sosial di negara ini. Melalui amalgamasi, dua ras atau budaya bercampur untuk membentuk ras dan budaya baru. Biasanya ras atau budaya dominan lebih menonjol. Fenomena perkahwinan campur bukanlah sesuatu yang asing di Sabah dan Sarawak yang terdiri daripada lebih 55 suku kaum. Apabila proses itu berlaku akulturasi atau penerimaan unsur budaya dalam kalangan individu atau kelompok daripada sesuatu kebudayaan lain yang berbeza berlaku. Berbeza daripada asimilasi, proses akulturasi tidak menyebabkan kehilangan jati diri asal masyarakat penerima meskipun biasanya kepercayaan, adat resam dan amalan yang bertentangan dengan agama baru yang dianuti ditinggalkan.
 
 
 
 


Di Sabah dan Sarawak, perayaan Aidilfitri menjadi lebih meriah dan bermakna apabila saudara mara dan rakan-rakan daripada etnik dan agama lain mengunjungi umat Islam. Di Sabah dan Sarawak selain Melayu, etnik lain yang beragama Islam ialah Melanau, Kedayan, dan Bajau. Perbandaran, mobiliti dan penghijrahan memungkinkan berlakunya perkahwinan campur dan lebih ramai yang memeluk Islam. Mereka yang bukan Islam lebih terdedah kepada agama itu dan kaum utama yang menganut Islam. 
 
 
 
 


Sikap saling menghormati norma dan nilai penganut Islam pada hari perayaan dan pada waktu lain adalah resipi dan formula yang telah melahirkan hubungan etnik dan agama yang begitu harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak. Mereka tahu dan sedar akan sensitiviti agama dan budaya masing-masing. Mereka cuba mengelak mengucapkan dan melakukan tindakan yang dapat menyinggung perasaan dan sensitiviti agama masing-masing. 
 
 
 
 

Sikap tolak ansur
 
 
 


Jika anda bertanya kepada saya, apakah antara kelebihan Sabah dan Sarawak, saya tidak akan teragak-agak untuk menyatakan bahawa sikap menghormati dan bertolak ansur antara pelbagai etnik dan agama sebagai sesuatu yang menakjubkan. Jarang-arang berlaku perkelahian dan permusuhan membabitkan etnik dan agama, sekali gus memperlihatkan sikap toleran yang tinggi dalam kalangan mereka.
 
 
 
 
 
 


Perayaan dan makanan memenuhi keperluan sosiologi dan biologi masyarakat pelbagai etnik. Dalam perayaan seperti Aidilfitri, tuan rumah biasanya cuba memenuhi kehendak dan keperluan tetamu dari segi juadah asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Justeru, makanan tradisi dan moden, termasuk daripada etnik lain, dihidangkan sehingga memberi impak sosial yang positif dalam hubungan etnik dan agama. Tindakan sedemikian memperlihatkan tahap kesedaran, kefahaman dan saling menghormati yang tinggi dan sebati terhadap budaya dan etnik yang berbeza sehingga dapat mengukuhkan dan memantapkan kesepaduan sosial dan perpaduan kaum di negara ini. Makanan seperti rendang, kuih lapis dan seumpamanya menjadi lambang 
persahabatan dan keakraban yang dikongsi bersama. 
 
 
 
 
 


Malah, sejak sekian lama, sepanjang bulan Ramadan, kita menyaksikan bazar jualan penuh sesak dengan orang ramai, termasuk golongan bukan Islam di bandar dan pekan di seluruh Sabah dan Sarawak. Hotel yang menyediakan bufet Ramadan turut disertai oleh mereka yang bukan Islam sama ada mereka hadir untuk menikmati juadah atas inisiatif sendiri atau atas jemputan rakan Islam. Yang menarik, mereka menghormati rakan Islam dengan hanya menjamah makanan apabila sudah masuk waktu berbuka. 
 
 
 


Rumah terbuka, termasuk rumah terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan, rakan, pemimpin politik dan jiran tetangga meriah dan riuh-rendah dan lebih bermakna apabila dihadiri masyarakat pelbagai etnik dan agama. Rumah terbuka adalah platform terbaik untuk menjalin hubungan sosial dan hubungan etnik yang lebih kukuh. 
 
 


Penulis ialah 
pensyarah di 
Universiti Malaysia Sarawak
 
 
 
 
Sumber 
 
 
 
 http://i.123g.us/c/edec_eidulfitr_relbless/card/105256.gif

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...