Sahabat Maya :

Thursday, August 15, 2013

CUEPACS mahu 1.4 juta penjawat awam kibar Jalur Gemilang

CUEPACS mahu 1.4 juta

 penjawat awam kibar Jalur Gemilang

 

 

 

MELAKA: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman meminta 1.4 juta penjawat awam di negara ini memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 negara. 
 
 
 


Malahan kata beliau, semua kenderaan rasmi kerajaan termasuk lori dan bas juga perlu dipasang Jalur Gemilang sebagai lambang semangat cintakan negara selaras dengan tema sambutan 'Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku'
 
 
 

Langkah ini juga sebagai penghargaan kepada kerajaan yang sering menambah baik sektor perkhidmatan awam melalui pelbagai inisiatif dan insentif, katanya. 
 
 
 
 


"Saya selalu dapat aduan menyatakan penjawat awam kalau hal hendak naik gaji, bonus atau elaun semua bersemangat tapi bila hendak meriahkan sambutan hari
 kemerdekaan setahun sekali pasang bendera susah. 
 
 
 


"Baru-baru ini kerajaan dah bagi bonus RM500 untuk penjawat awam dan RM250 untuk pesara takkan hendak beli bendera sebatang pun tak boleh," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 
 
 
 


Beliau sebelum itu hadir sesi kunjungan hormat Cuepacs Melaka terhadap Ketua Menteri Datuk Idris Haron sempena 100 hari pentadbiran beliau. 
 
 
 


Omar berkata beliau juga akan mengadakan lawatan mengejut ke beberapa bangunan rasmi kerajaan di seluruh negara untuk melihat pelaksanaan pemasangan Jalur Gemilang sepanjang bulan Kemerdekaan ini. 
 
 
 
 

"Tahun lepas saya pergi di kebanyakan pejabat kerajaan tapi sambutan kemerdekaan sunyi sepi tanpa pemasangan bendera. Bukan perlu belanja yang besar pasang lampu macam sambutan hari raya," katanya. 
 
 
 


Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan penjawat awam terutama golongan suami agar tidak melakukan perkara yang boleh mencemarkan imej sektor itu. 
 
 
 


Beliau mengulas rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan seorang lelaki, dipercayai penjawat awam, membelasah isterinya di hadapan dua anak mereka, ketika berada di dalam lif di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang. 
 


Rakaman itu disebar luas menerusi media sosial. 
 
 


Sementara itu pada satu majlis di NILAI, Negeri Sembilan, Omar berkata Cuepacs melihat saranan penambahan anggota polis sebagai tepat pada masanya susulan kejadian jenayah yang dilihat meningkat, terutama membabitkan kes tembak. 
 
 
 

Langkah itu juga katanya dilihat dapat mempertingkatkan lagi keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan. - BERNAMA 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...