Sahabat Maya :

Tuesday, July 9, 2013

Perkenal subjek kenegaraan

Perkenal subjek kenegaraan

 

Perkenal subjek kenegaraan 
 Raja Nazrin diberi penerangan oleh Zulkifeli pada
 Majlis Syarahan Angkatan Tentera 2013 di Wisma Perwira,
 Kuala Lumpur, semalam.
  
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan harus segera memperkenalkan subjek berkaitan kenegaraan bagi memastikan rakyat memahami Perlembagaan dan ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.’ 


 


Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertitah asas kenegaraan perlu ditekankan sejak di bangku sekolah bagi mendidik rakyat pelbagai agama dan bangsa mengenai simbol kebesaran negara. 




“Simbol seperti Raja Pemerintah, Yang di-Pertuan Agong, Jalur Gemilang, lagu Negaraku dan seumpamanya penting kerana tanpa pendidikan itu, akan ada segelintir anggota masyarakat yang bukan setakat tidak memahaminya, malah menghina lambang kedaulatan dan simbol berkenaan. 





Kurikulum kandungan 



 


“Kurikulum kandungan dan kaedah pengajaran mengenai aspek kenegaraan hendaklah segera diperkenalkan tanpa tertangguh, dijadikan kandungan pengajian bukan saja di sekolah, malah di maktab, kolej dan institusi latihan serta diuji dalam urusan pelantikan serta kenaikan pangkat pegawai sektor awam,” titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah demikian ketika menyampaikan syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ‘Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13): Permuafakatan dan Perpaduan Nasional’ di Wisma Perwira, di sini semalam. 



 


Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara; Tan Sri Khalid Abu Bakar. 






Dalam syarahan hampir sejam itu, baginda bertitah, kes seorang wanita disiasat polis kerana dipercayai menghina Yang di-Pertuan Agong dalam facebook membuktikan aspek kenegaraan perlu segera dijadikan satu daripada kurikulum pendidikan dan pendekatan menahan serta menghukum mereka yang seumpama wanita terbabit tidak akan menyelesaikan masalah. 



 


Daulat Raja Pemerintah 



 


“Jika kita mempercayai pendekatan sedemikian untuk menangani masalah, jangan disalahkan anak jalan berbogel kalau ibu bapa tidak membekalkan baju. Ketika Beta di bangku sekolah, Beta diasuh mendaulatkan Raja Pemerintah, menghormati bendera negara dan lagu kebangsaan, tetapi hari ini ada kontinjen Hari Kebangsaan turut menyalahgunakan pemakaian bendera negara,” titah baginda. 



 


Raja Dr Nazrin bertitah, kaedah lain bagi membina jambatan permuafakatan dan perpaduan antara kerajaan dengan rakyat ialah media harus mengamalkan pengolahan berita bijaksana, membezakan antara kepentingan kerajaan dengan kepentingan berpihak parti politik. 


 


Titah baginda, pengolahan berita terlalu memihak, tidak memberi manfaat kepada kerajaan, bersifat ‘counter productive’ dan semakin memisahkan rakyat dengan kerajaan. 


 



Baginda bertitah, kini ada sebahagian rakyat menolak maklumat diuar-uarkan melalui saluran berita rasmi kerajaan kerana mual dengan pengolahan keterlaluan yang memuji atau mengeji sesuatu pihak. 
Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...