Photobucket

Sahabat Maya :

Monday, July 22, 2013

Dasar 1M1S asah bakat sukan pelajar





Dasar 1M1S asah bakat sukan pelajar

Pelaksanaan program bantu
 gilap potensi, tingkat perpaduan


Putrajaya: Bakat dalam apa juga bidang sukan tidak datang menggolek, sebaliknya perlu dipupuk dari bangku sekolah menerusi dasar kerajaan yang mantap selain jurulatih dan pengurusan yang berkesan.
Sukan di sekolah, selain mampu menjadi alat perpaduan, juga mampu menghasilkan pelajar yang seimbang fizikal dan mental selain berupaya cemerlang dalam bidangnya jika diasah bakat seawal usia. 
 
 

Modul ini boleh digunakan sebagai panduan menguruskan kelab sukan, pengenalan kepada peralatan, peraturan dan contoh latihan yang sesuai untuk sukan tertentu bagi pelajar rendah serta menengah. Kita juga perkenalkan alat suaian, contohnya bola lembut dan kayu hoki suaian bagi murid yang masih ragu-ragu bersukan sebelum mereka bermain m enggunakan alat sebenarnya." Ee Hong, Pengarah Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan


Justeru, pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan (1M1S) di semua sekolah bermula 2011 adalah inisiatif Kementerian Pendidikan ke arah itu yang mendapat sokongan padu guru, murid dan ibu bapa.


Kementerian Pendidikan komited untuk memastikan 1M1S dapat terus dilaksanakan dengan berkesan melalui pelbagai perancangan jangka pendek dan panjang membabitkan sekolah, guru serta murid.
 


Libatkan semua pelajar


Dasar 1M1S mendokong Dasar Sukan Untuk Semua, yang mana dasar itu menitikberatkan penglibatan semua murid dalam pelbagai aktiviti dan peringkat sukan.
Dasar itu dibentuk atas rasional segala kegiatan sukan adalah sebahagian daripada transformasi pendidikan yang diusahakan oleh Kementerian Pendidikan.


Sukan seharusnya mendapat pengiktirafan, sokongan dan galakan yang sama sebagaimana juga yang diberikan kepada aspek-aspek yang lain seperti mata pelajaran akademik dan kegiatan kokurikulum supaya dapat melahirkan murid yang seimbang dari segi kesejahteraan minda dan jasmani.


Dasar itu juga menyumbang kepada penggalakan pertandingan yang sihat, semangat muhibah, kesefahaman, toleransi dan meningkatkan nilai moral dan fizikal yang memberi satu landasan yang betul dalam mengintegrasikan pelbagai kumpulan etnik kepada satu bangsa yang bersatu padu serta memupuk semangat cintakan negara.


Dalam jangka masa panjang, dasar ini berhasrat membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dalam kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun serta memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat, cergas dan berdaya saing tinggi.


Pengarah Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan, Ee Hong, berkata melalui dasar itu sukan yang terbahagi kepada dua iaitu sukan untuk semua dan sukan untuk kecemerlangan, dijalankan serentak bagi membantu murid yang baru mengenali sukan selain menggilap potensi mereka.


20 modul sukan


Kementerian turut membantu sekolah yang masih samar untuk memulakan sukan dan kejohanan, dengan penyediaan 20 modul sukan, antaranya bola sepak, badminton dan bola baling selain pengurusan kejohanan balapan serta padang di sekolah bagi membantu guru dan murid.


“Modul ini boleh digunakan sebagai panduan menguruskan kelab sukan, pengenalan kepada peralatan, peraturan dan contoh latihan yang sesuai untuk sukan tertentu bagi pelajar rendah serta menengah.


“Kita juga perkenalkan alat suaian, contohnya bola lembut dan kayu hoki suaian bagi murid yang masih ragu-ragu bersukan sebelum mereka bermain menggunakan alat yang sebenarnya,” katanya.


Bagi murid yang berpotensi, bakat mereka dipupuk melalui program sukan berprestasi tinggi sekolah seperti olahraga, badminton, gimnastik, memanah, hoki, bola sepak dan akuatik.


1,000 jurulatih

“Jika prestasi murid itu tinggi, mereka akan diserapkan ke sekolah sukan pada peringkat negeri dan jika berbakat tinggi, mereka akan diserapkan ke sekolah sukan Malaysia,” katanya.


Ee memaklumkan, pihaknya sudah melatih lebih 1,000 jurulatih dalam kalangan guru yang mempunyai sijil jurulatih diiktiraf bagi melatih murid berpotensi dalam sukan tertentu.


Selain itu, katanya, mulai 2011, Kem Sukan 1M1S telah diadakan bagi melatih guru mengenai cara mengendalikan sukan serta menerangkan kepada murid peranan mereka untuk menggalakkan sukan di sekolah.
 


“Dalam tempoh tiga tahun ini, kita lebih menekankan kepada pendedahan, pengenalan dan menarik minat guru serta murid kepada sukan melalui 1M1S dan mulai 2014, kita tumpukan kepada meningkatkan kemahiran mereka dalam sesuatu jenis sukan itu.


Kementerian menggalakkan sekolah mengadakan pertandingan antara kelas, dorm atau sekolah selain penganjuran sukan peringkat daerah, negeri serta kebangsaan dan jika layak, hingga ke peringkat antarabangsa. 
 
 
 
Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...