Sahabat Maya :

Monday, July 1, 2013

Budaya fitnah cetus celaru dalam organisasi

http://4.bp.blogspot.com/-lRz9GSJIMDM/TtxmvLqAAVI/AAAAAAAAACc/YR8Wjpdp2ko/s1600/allahswt1.jpg

Budaya fitnah cetus celaru dalam organisasi



 


Jatuh bangun sesebuah organisasi banyak tergantung kepada sejauh mana kesatuan dan kesepaduan setiap warga di dalamnya dalam mendukung misi, visi dan agendanya secara bersama. Sehebat manapun misi atau sekudus manapun agenda yang hendak dibawa tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya ikatan ukhuwah sesama warga kerja tidak terpateri dengan kuat.



Namun, sering kesatuan yang menjadi teras kekuatan sesebuah organisasi amat mudah dirobek apabila wujud polemik dan konflik yang semacam tiada kesudahannya. Konflik dan polemik yang melanda hakikatnya menjadi punca utama keruntuhan sesebuah organisasi sehinggakan apa saja yang direncana tidak mampu direalisasikan.



Daripada isu kecil dan terpinggir sering menjadi besar dan merebak bagaikan wabak yang boleh memudaratkan seluruh warga tanpa ada yang terkecuali. Jika dikaji secara objektif, polemik dan konflik yang melanda sama ada kecil mahupun besar amat terkait dengan fenomena adu domba sesama warga kerja.



Sebab itulah Islam keras mencela golongan pencacai dan pengadu domba yang sentiasa berusaha menyalakan obor kebencian”



Pembudayaan adu domba atau dalam istilah al-Quran disebut ‘namimah’ dilihat semakin menggejala dalam realiti masyarakat hari ini yang hidup dalam dunia tanpa sempadan. Kemudahan dan kecanggihan teknologi seperti Facebook, Twitter, telefon bimbit, SMS, dan instrumen lainnya turut merangsang dan menyuburkan lagi budaya negatif ini. 




Cetus kecelaruan 
 

Sebab itulah isu yang kecil cukup mudah untuk diperbesar-besarkan, malah mampu direka dan disensasikan dengan hanya menekan beberapa butang tanpa perlu menunggu tempoh masa lama untuk disebarkan. 



Apa yang lebih membimbangkan ialah fenomena namimah atau adu domba yang tidak dibendung mampu mencetuskan kecelaruan dan kekeliruan dalam warga organisasi yang sudah pasti menatijahkan suasana negatif yang boleh memporak-perandakan kerukunan hidup bermasyarakat. 



Jika ditelusuri sejarah, fenomena namimah menjadi penyebab utama berlakunya peristiwa pemberontakan terbesar dalam sejarah awal Islam khususnya selepas kewafatan Rasulullah SAW. Pemberontakan yang membawa kepada peristiwa pembunuhan Khalifah ketiga Saidina Uthman bin Affan adalah detik paling tragis dalam sejarah umat Islam hingga melarat kepada pertelingkahan hebat dalam kalangan sahabat.



Mengikut riwayat yang dikemukakan oleh Saif bin Umar di dalam buku Tarikh al-Tabariy, fitnah terbesar itu berlaku akibat kegagalan mengekang usaha pengadu domba yang diketuai Abdullah bin Saba’ yang berketurunan Yahudi.



Beliau dan pengikutnya bersungguh-sungguh bergerak dari satu tempat ke tempat lain termasuk ke Kufah, Basrah hingga Mesir untuk menyesatkan dan mencetuskan keraguan terhadap kepemimpinan dan keislaman Uthman yang berpusat di Madinah ketika itu.



Natijah daripada gerakan namimah ini telah berjaya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat hingga membiakkan sejumlah kelompok pelampau yang akhirnya sanggup membunuh Saidina Uthman dengan cara yang tidak berperikemanusiaan. 



Pada hari Khalifah Uthman dibunuh, 3,000 pemberontak mengepung rumah baginda ketika ramai sahabat sedang menunaikan haji di Makkah. Baginda bukan saja dipukul dengan besi, bahkan mashaf al-Quran yang dibacanya ketika itu dipijak hingga darah baginda terpercik ke mashaf isteri baginda yang turut dipotong jarinya.


Hancur keharmonian

 

Demikianlah hakikat adu domba yang bukan saja mampu mencetuskan fitnah besar hingga menumpahkan darah seorang pemimpin agung umat, bahkan berupaya menghancur keharmonian dan memporak-perandakan kestabilan agama dan negara.


Sebab itulah Islam keras mencela golongan pencacai dan pengadu domba yang sentiasa berusaha menyalakan obor kebencian dan membakar api permusuhan hingga terlerai ikatan ukhuwah dalam kalangan umat. 


Amaran keras Allah jelas ternukil dalam al-Quran yang bermaksud:


 “Dan janganlah kamu ikuti 
setiap orang yang banyak bersumpah
 lagi hina, yang banyak mencela,
 yang ke sana ke mari menghambur fitnah.

 (al-Qalam : 10-11).'


Kesan menggejalanya penyimpangan besar seperti adu domba dan fitnah begitu besar bukan hanya kepada individu, malah seluruh anggota masyarakat. Malah organisasi yang dihinggapi gejala namimah tentu tidak akan sekali-kali mampu melaksanakan apa saja dirancang mahupun direncanakan.


Justeru, usaha bersepadu setiap warga dalam sesebuah organisasi amat perlu bagi menangani budaya songsang daripada berleluasa. Kegagalan menanganinya dengan bijaksana hanya akan membawa sesebuah organisasi ke kancah kehancuran dan kemudaratan. 



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...