Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, June 14, 2013

Kekayaan diperoleh secara haram tak berkat



Khutbah Jumaat: 

Terap kualiti insaniah, rohaniah dalam pekerjaan


Kekayaan diperoleh secara haram tak berkat

Bulan Rejab sudah berlalu, kini kita berada pada bulan Syaaban untuk menanti kehadiran Ramadan. Bersempena bulan mulia ini, marilah bersama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.


Sesungguhnya matlamat utama Allah SWT menciptakan manusia adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya melakukan ibadah dan amal soleh termasuk tanggungjawab serta amanah memakmurkan bumi ini mengikut acuan panduan digariskan syarak.



Pada dasarnya setiap pekerjaan orang Islam mempunyai dua sasaran utama iaitu melaksanakan hak Allah SWT dan melaksanakan muamalah sesama manusia seperti dalam politik, undang-undang, pendidikan, ekonomi, pertanian, kesihatan dan sebagainya.



Allah SWT tidak memperoleh faedah atau keuntungan daripada apa yang dilakukan manusia melainkan semua kebaikan itu akan kembali untuk diri mereka sendiri.


Firman-Nya: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah, Dialah saja Yang Memberi rezeki, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya.” 

(Surah adz-Zaariyat, ayat 56-58)


Bekerja sebagai ibadah

 

Ingatlah, agama Islam menuntut umatnya bekerja dengan menjadikannya sebagai ibadah yang berpahala atau dengan kata lain, bekerja penuh tanggungjawab untuk meraih pendapatan dan keredaan Allah SWT. 



Islam melarang keras umatnya yang tidak bertanggungjawab, malas bekerja, menipu atau menyeleweng dalam pekerjaannya. Persoalannya adakah kerja dilakukan selama ini bertepatan dengan syariat Islam.


Pada dasarnya setiap pekerjaan orang Islam mempunyai dua sasaran utama iaitu melaksanakan hak Allah SWT dan melaksanakan muamalah sesama manusia seperti dalam politik, undang-undang, pendidikan, ekonomi, pertanian, kesihatan dan sebagainya. 



Bagaimanapun, isu yang sering menjadi perbahasan hangat mengenai pekerja ialah kualiti insaniah dan rohaniah dalam usaha memberi perkhidmatan memuaskan kepada dua pelanggan tadi iaitu Allah SWT dan manusia. 


Insaniah mencakupi beberapa aspek iaitu kualiti peribadi seperti tanggungjawab, kepercayaan diri, kemampuan berkomunikasi dengan baik, pengendalian diri, berintegriti dan jujur. Ia juga membabitkan keterampilan pekerja, misalnya sejauh mana kita bergaul dengan masyarakat atau berinteraksi dalam organisasi.


Prinsip ihsan ialah berakhlak mulia, mempunyai keterampilan dan kemahiran tinggi, mempunyai ilmu pengetahuan, pengalaman serta kecerdasan menganalisis sesuatu maslahah selain peka keperluan masyarakat. 


Mempunyai wawasan dan dapat membuat jangkaan keperluan masa depan, keyakinan diri yang tinggi dalam menghasilkan kecemerlangan sesuatu aktiviti. Pekerja yang melaksanakan tugas mengikut bidang ditetapkan dengan penuh ihsan dijanjikan pahala besar daripada Allah Taala.


Berani buat perubahan positif

Selari tuntutan ajaran Islam, Allah SWT menegur manusia supaya berani membuat perubahan positif dalam kehidupan. Bekerja atas dasar ihsan untuk memenuhi hak Allah SWT dan keperluan manusia akan memperkasa jati diri serta meningkatkan harga diri pekerja. 


Seseorang akan takut melakukan perbuatan keji, tercela seperti melakukan kerosakan, penipuan, rasuah, mencuri tulang, ponteng kerja, dan perbuatan negatif lain. Jangan mendapatkan rezeki atau kekayaan dengan jalan haram, penipuan, rasuah, penyelewengan dan lain-lain. 


Ingatlah, semua rezeki kekayaan yang didapati dengan cara haram apalagi dengan menganiaya pihak lain adalah kekayaan yang tidak berkat. Kekayaan secara haram hakikatnya tidak membawa kesenangan dan kebahagiaan dalam hidup, tetapi membawa kesengsaraan di dunia dan akhirat. 



Mimbar juga mengambil kesempatan menyatakan kekesalan dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan biadab sesetengah pihak yang menghina Islam dan Rasulullah SAW dalam laman sosial facebook. 


Sesungguhnya perbuatan biadab ini mencerminkan sikap kurang akhlak pengguna yang boleh mendatangkan kemudaratan dan kekacauan kepada masa depan ummah.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...