Sahabat Maya :

Thursday, May 2, 2013

SUMBANGSARAN

(BRAINSTORMING)

SUMBANGSARAN (BRAINSTORMING) DI BILIK SENI

Bagi menggalakan dan merangsang pemikiran kreatif di kalangan pelajar, kaedah sumbangsaran boleh digunakan dalam proses pembelajaran. Asas kepada sumbangsaran ialah mengasingkan proses penghasilan idea daripada proses penilaian. Aktiviti perlaksanaan sumbangsaran ini perlu dijalankan dengan memfokuskan kepada kuantiti idea-idea baru dan saranan-saranan yang telah disampaikan melalui interaksi sesama pelajar. 



Definisi Sumbangsaran

Kaedah sumbangsaran ini juga dikenali sebagai Brainstroming, Perah Otak, Pecah Minda dan Percambahan Fikiran. Walaupun berbagai istilah dalam bahasa diterjemahkan, namun ia tetap merujuk kepada perkara yang sama dan tidak pernah mengubah kandungan pengertiannya. Perah otak ini adalah kaedah yang paling popular digunakan dalam teknik kreatif secara berkumpulan.

Unsur-unsur kreativiti adalah merupakan elemen yang utama kepada teknik perbincangan yang dikenali sebagai kaedah sumbangsaran. Pengasasnya ialah Alex Osborn dan kaedah ini wujud pada awal tahun 1930an kemudian diperkenalkan pada umum secara rasmi pada tahun 1953 melalui bukunya berjudul ‘Applied Imagination’.

Menurut Rowlinson (1981) di dalam Mohd. Azhar Abd. Hamid, Othman A. Kassim & Muhammed Fauzi Othman (2005) mentakrifkan kaedah sumbangsaran adalah satu pendekatan yang digunakan semasa aktiviti perbincangan dalam satu kumpulan untuk mendapatkan seberapa banyak idea dalam masa yang singkat.

Bagi menggalakkan dan merangsangkan pertumbuhan pemikiran kreatif di kalangan pelajar, maka kaedah sumbangsaran adalah di antara kaedah yang berkesan boleh dipraktikkan. Asas kepada kaedah sumbangsaran adalah proses pengasingan penghasilan idea daripada menilai. Aktiviti-aktiviti dalam kaedah ini perlulah ditekankan kepada jumlah idea-idea dan saranan yang perlu disampaikan kepada pelajar melalui interaksi di kalangan mereka.

Semasa kaedah sumbangsaran dijalankan, guru perlulah bijak melaksanakan dan mengendalikannya agar tiada pelajar yang terlepas dari melibatkan diri mereka. Ini bertujuan untuk menggalakan proses kreativiti berlaku di samping meningkatkan lagi keyakinan pada diri mereka. Pengawalan sesi sumbangsaran yang sempurna juga akan dapat memastikan agar semua idea dan penyelesaian masalah yang dibangkit dan dikemukakan oleh seseorang pelajar itu, tidak akan terbantut. Kadang-kadang penyelesaian masalah yang diberikan mungkin tidak logik.

Manakala proses penilaian, perbincangan dan kritikan perlu dikemudiankan. Ini bertujuan agar keseluruhan sesi sumbangsaran dapat berjalan dengan lancar. Kecenderungan guru untuk membuat penilaian bagi melihat sejauh mana keberkesanan sesi sumbangsaran yang dilaksanakan sama ada ianya berjaya atau sebaliknya boleh mengganggu keseluruhan sesi ini.


 
Prinsip Asas Sumbangsaran

Kaedah Sumbangsaran adalah satu sesi perbincangan yang melibatkan satu kumpulan individu. Ketika sesi ini berlaku, penilaian perlu dielakkan bagi memastikan wujud satu suasana yang lebih produktif. Perkara ini dilakukan dengan cara, setiap ahli kumpulan diberikan peluang dan masa untuk mengemukakan sebarang idea. Idea-idea yang diberikan tidak boleh dikritik dan dinilai oleh ahli dalam kumpulannya.

Bersandarkan pada amalan-amalan dan definisi yang dinyatakan oleh Rowlinson, beliau menjelaskan kepada kita bahawa kaedah sumbangsaran mengandungi enam prinsip yang utama :

(a) Semua ahli yang terlibat dalam sesuatu sesi sumbangsaran itu hendaklah mengemukakan penilaian yang hendak dibuat pada suatu idea. Ini bermaksud, setiap daripada seorang ahli tidak boleh mengkritik idea-idea yang di kemukakan oleh ahli-ahli yang lain.

(b) Tujuan akhir yang hendak diperolehi oleh di dalam sesuatu sesi sumbangsaran itu adalah untuk mendapatkan seberapa banyak kuantiti idea yang dibincangkan. Semakin banyak idea yang dihasilkan, semakin banyak pilihan idea yang boleh difikirkan oleh setiap ahli kumpulan itu. Setiap ahli kumpulan amat digalakkan memberikan idea.

(c) Setiap ahli kumpulan juga digalakkan berfikir secara bebas dengan menggunakan segala imaginasi yang ada pada diri mereka.

(d) Semua idea-idea yang dihasilkan boleh digabung, diubahsuai, dikembangkan dan dibaiki bagi mendapat satu keputusan dan jalan penyelesaian yang terbaik.

(e) Jangka masa yang sesuai bagi sesuatu sesi sumbangsaran yang berkesan adalah antara 15 minit hingga 30 minit. Lebih lama masa yang digunakan untuk sesuatu sesi sumbangsaran itu, suasanan sesi berkenaan akan menjadi hambar dan ahli-ahlinya menjadi bosan serta letih. Ini secara tidak langsung mengakibatkan sesi sumbangsaran berkenaan tidak akan mencapai objektif yang disasarkan.

(f) Aktiviti ini hendaklah dijalankan secara berkumpulan. Untuk sesi sumbangsaran yang baik ahli-ahli kumpulan tidak melebihi daripada lima belas orang. Sekiranya satu sesi sumbangsaran itu mempunyai ahli yang lebih daripada lima belas orang ianya akan menjadi satu sesi yang tidak terkawal. 


 
Matlamat Sumbangsaran

Matlamat utama sumbangsaran adalah untuk menerbitkan idea sangat bernilai tanpa batasan yang dianggap logik dalam suasana yang tenang dan menghiburkan.

Di samping itu juga idea-idea daripada ahli kumpulan akan dapat menyelesaikan permasalahan yang selama ini tidak ditemui jalan penyelesaiannya. Pekara yang paling penting dalam aktiviti sumbangsaran adalah mencari dan membangunkan idea-idea yang berkualiti berdasarkan pada idea-idea yang di terbitkan dan dikemukakan oleh ahli kumpulan.

http://www.workshopexercises.com/cluster_diagram.gif

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...